Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ini caranya jika ada kematian Muslim di S'pura akibat COVID-19...

Jika ada saudara mara kita yang meninggal dunia akibat wabak COVID-19 sekarang ini, bagaimana agaknya cara-cara mengendalikan jenazah tersebut? 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika ada saudara mara kita yang meninggal dunia akibat wabak COVID-19 sekarang ini, bagaimana agaknya cara-cara mengendalikan jenazah tersebut? Apakah proses-proses khusus yang perlu dilaksanakan dan dipatuhi pihak keluarga mangsa dan juga pengendalil jenazah di Singapura?

Menurut Pengurus Operasi syarikat pengurusan jenazah Singapore Muslim Casket and Marble Contractor Pte Ltd, Encik Iskandar Dzulkhairi, prosesnya tidak sama seperti menguruskan jenazah biasa.

(Encik Iskandar)

Berdasarkan panduan dan nasihat daripada Pejabat Mufti di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Encik Iskandar berkata jenazah pesakit beragama Islam yang mempunyai COVID-19 tidak boleh dimandikan.

Semalam (27 Mar) MUIS mengeluarkan irsyad (panduan) tentang bagaimana solat jenazah masih boleh dijalankan tetapi pelaksanaannya perlulah disesuaikan demi membendung penularan COVID-19. Irsyad yang dikeluarkan itu meskipun tidak ditujukan kepada jenazah yang disyaki dijangkiti atau dijangkiti dengan COVID-19, namun panduan bagi solat jenazah dalam situasi COVID-19.

Antaranya masyarakat dinasihat mengelakkan solat jenazah di tempat awam seperti di bawah blok untuk
mengelakkan percampuran jemaah dengan orang awam lain.

Solat jenazah masih boleh dilakukan, tetapi hendaklah tidak lebih 10 orang, menurut MUIS. Jika lebih ramai, lakukan beberapa sesi solat jenazah berkenaan.

Langkah-langkah lebih "ketat" itu sudah diberitahu kepada pihak beliau kata Encik Iskandar.

MAYAT AKAN DIMASUKKAN DALAM BEG ZIP 2 KALI

Encik Iskandar berkongsi, dalam keadaan darurat seperti sekarang ini, jenazah yang positif COVID-19 terlebih dahulu akan dimasukkan ke dalam sejenis beg zip sebanyak dua kali - disebut “double body bags”. Proses pertama ini akan dikendalikan oleh kakitangan hospital.

(Demonstrasi menguruskan jenazah dengan beg zip)

"Setelah itu baru pihak kami akan kafankan jenazah di luar penyarungan itu," jelas Encik Iskandar.

Encik Iskandar berkongsi bahawa langkah-langkah yang diambil itu serupa dengan proses mengendalikan mayat pesakit MERS, Ebola atau SARS sebelum ini.

Beliau sendiri pernah menguruskan proses pengebumian jenazah pesakit SARS apabila kejadian itu mengorbankan nyawa seorang jururawat Muslim pada tahun 2003.

JENAZAH TIDAK PERLU DIMANDI ATAU DIKAFAN SEBENARNYA...

Sebelum beg ditutup, muka dan lengan jenazah itu juga dibenarkan untuk ditayamum atau disapu dengan debu. Tetapi menurut Encik Iskandar, sapuan tidak dilakukan secara langsung sebagaimana lazimnya pada jenazah, sebaliknya dilakukan "secara simbolik" menerusi cara 'renjisan'.

Selepas beg yang mengandungi jenazah itu ditutup. Pengurus jenazah akan merenjiskan air sebanyak tiga kali sebagai langkah simbolik 'memandikan jenazah'.

Jenazah kemudian akan dikafankan bersama beg oleh pengurus jenazah.

"Di dalam irsyad MUIS itu, tidak seharusnya dimandikan atau dikafankan jadi jenazah itu akan terus dipakai beg zip. Tetapi dengan cara tertib, kami akan mengkafankan bahagian luarnya dengan kain kafan supaya jenazah itu lihat lebih rapi.

"Sebelum kami mengafankan jenazah itu, kami akan merenjiskan air bersih sebanyak tiga kali daripada kepala ke tengah dan ke kaki, dan kami niat cara mandi," terang Encik Mohamed Sapie, tukang mandi jenazah syarikat itu.

Seperti garis pandu yang ditetapkan oleh Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), kedua-dua mereka berkongsi bahawa sepanjang proses tersebut pengurus jenazah tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian tubuh jenazah. Begitu juga pihak anggota keluarga.

Malah, anggota keluarga yang sedang menjalani kuarantin atau tidak sihat atau sedang menjalani rawatan tidak dibenarkan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.

GUNA KERANDA TERTUTUP SEKIRANYA DISOLATKAN DI MASJID

Tidak seperti proses biasa di mana jenazah akan dimasukkan ke dalam 'papan long', jenazah yang dijangkiti COVID-19 sebaliknya akan dimasukkan ke dalam sebuah keranda khas yang ditutup rapat. Ini bukan keranda biasa yang masyarakat Islam gunakan. Keranda seperti ini mesti digunakan sekiranya pihak keluarga ingin jenazah tersebut disembahyangkan di masjid.

"Sekiranya jenazah perlu disolatkan di masjid, cara pengurusannya agak berbeza. Jenazah harus diletakkan di peti dan ditutup rapi sebab jenazah tidak boleh didedahkan," terang Encik Iskandar.

Malah, Encik Iskandar berkata proses untuk mendirikan solat di dalam masjid "tidak akan dijalankan" atau tidak boleh, sekiranya jenazah kes COVID-19 tidak diletakkan di dalam keranda tertutup.

(Keranda khas tertutup)

Sekiranya keluarga membuat keputusan untuk tidak mengadakan solat jenazah di masjid, maka keranda tertutup tidak perlu digunakan.

Meskipun begitu, Pejabat Mufti semalam menasihatkan keluarga si arwah supaya melakukan solat jenazah di rumah sahaja selagi terdapat ruang yang mencukupi.

Jangan lakukan solat jenazah di kolong blok contohnya kerana ia tempat awam, menurut MUIS. Semasa menunaikan solat jenazah pula, para jemaah tetap perlu menjaga jarak selamat antara satu sama lain.

Irsyad yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti pada (10 Apr) pula menekankan bahawa solat jenazah hanya boleh didirikan di rumah.

Sewaktu 10 anggota keluarga mendirikan solat jenazah, MUIS menasihatkan agar mereka mematuhi jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter di dalam saf mereka.

Ini bermakna, jenazah tidak boleh dibawa ke mana-mana masjid untuk dimandikan atau diuruskan.

Solat jenazah, tambah MUIS, hanya dibenarkan di satu-satunya masjid saja - iaitu Masjid Pusara Aman, sekiranya jenazah tidak mempunyai keluarga terdekat.

Dalam pada itu, Encik Mohamed berkongsi bahawa tidak perlu untuk menciumkan jenazah itu dengan tanah semasa proses pengebumian. Ini nasihat agama yang dikeluarkan dan sejajar dengan panduan pihak Kementerian Kesihatan yang tidak membenarkan mayat dibawa keluar daripada beg.

"Irsyad yang dikeluarkan sebelum ini tentang menguruskan mayat dengan penyakit berjangkit (termasuklah) - tidak dibolehkan membuka jenazah itu lagi," kata Encik Mohamed.

PERALATAN PERLINDUNGAN PERIBADI

Daripada mula ketibaan pengurus jenazah di rumah sehingga kepada proses pengebumian, pengurus jenazah perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) apabila menguruskan mayat mereka yang disyaki mahupun positif dengan COVID-19.

"Untuk keselamatan pihak kami, memang telah sedia daripada masa SARS dahulu. Gunakan perlengkapan perlindungan peribadi (PPE) seperti sarung tangan dan pelindung. Itu juga telah dilakukan daripada waktu SARS pada tahun 2003," kongsi Encik Iskandar.

Peralatan tersebut termasuk sarung tangan, pelitup N95, serta gaun pakai buang. Mereka juga mesti mencuci tangan dengan cara yang betul selepas menguruskan mayat, mengurangkan jumlah mereka yang menguruskan mayat, serta membuang barang dan peralatan yang digunakan ke dalam beg biobahaya.

*Artikel ini dikemaskini bersesuaian dengan pengumuman Irsyad pihak MUIS*

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan