Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ini cara bagaimana 90,000 kamera polis merata negara bantu selesaikan kes jenayah

SPF sasar 200,000 PolCam merata negara jelang 2030.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Oct 2021 05:29PM Dikemas Kini : 10 Oct 2021 09:30PM

SINGAPURA: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bertopeng dengan pakaian gelap melintasi jalan yang kosong.

Dia kemudian hilang dari liputan rakaman, sebelum dilihat semula sedang lari menuju ke arah lorong yang sempit.

Apa yang tidak diketahui lelaki itu ialah dalam kurang 17 jam, polis akan menangkapnya kerana menyerang seorang lelaki 92 tahun dan merompak S$1,200 daripada mangsa pada awal pagi itu.

Rakaman dari kamera polis menunjukkan lelaki itu ulang alik ke Jalan Enam, iaitu tempat rompakan itu berlaku.

"Berdasarkan itu, kami meneliti kamera di sekitar estet sehingga mengesan suspek," kata Inspektor Zaidi Salim, seorang pegawai penyiasat dari Divisyen Polis Bedok, semasa menceritakan semula kejadian pada Mac 2020 itu.

Suspek berusia 51 tahun itu akhirnya ditangkap dan dihukum penjara enam tahun.

LEBIH 5,000 KES DIHURAIKAN SEJAK 2012

Kes itu adalah antara lebih 5,000 yang berjaya diselesaikan dengan bantuan kamera polis sejak ia diperkenalkan di seluruh negara pada 2012, kata polis dalam kenyataan media pada Ahad (10 Okt).

Hingga kini, lebih 90,000 kamera polis atau "PolCam" dipasang di blok-blok perumahan awam, tempat meletak kereta bertingkat, pusat kejiranan dan pusat bandar. Polis menyatakan alat itu "terbukti menjadi sumber petunjuk penyelidikan yang tidak ternilai keberkesanannya".

SPF menyasarkan untuk memasang lebih 200,000 kamera seperti itu menjelang 2030.

Inspektor Zaidi, yang merupakan pegawai penyiasat selama lebih satu dekad, berkata: "Sebelum ini, semasa kami lakukan siasatan, kami hanya boleh bergantung pada mangsa dan saksi, jadi agak sukar bagi kami.

"Sekarang, kami ada rakaman untuk mencari orang itu, untuk mengenal pasti orang itu dan juga mengesahkan kalau dia ada di tempat kejadian. Bahkan kelakuan dan tindakannya dapat membantu dalam siasatan kami,” katanya.

Rakan sekerjanya Inspektor Tan Wan Ting, menambah dengan kemajuan teknologi, liputan lebih meluas serta gambar menjadi lebih jelas, telah membantu mengenal pasti suspek.

Teknologi analitik video, yang memudahkan pegawai untuk meneliti rakaman, juga "terus diperhalusi", menurut pihak berkuasa.

Namun kedua-dua inspektor itu menekankan bahawa walaupun kamera dapat membantu menghuraikan kes, ia hanyalah "salah satu daripada pelbagai" alat siasatan yang digunakan.

CEGAH JENAYAH, BANTU CARI ORANG HILANG

Selain menyelesaikan kes, kamera juga mencegah jenayah daripada berlaku, kata polis.

Contohnya, kes gangguan berkaitan pinjaman wang tanpa lesen (UML) yang melibatkan kerosakan harta benda, pecah rumah dan kecurian kenderaan bermotor.

Tahun lalu, terdapat 561 kes gangguan berkaitan UML yang melibatkan kerosakan harta benda di estet HDB - penurunan 67.9 peratus berbanding 1,745 kes yang dilaporkan pada 2015.

Bagi kes pecah rumah di estet HDB, jumlahnya menjunam sebanyak lebih separuh - kepada 32 pada 2020 berbanding 74 pada 2015.

Kes pencurian kenderaan di tempat meletak kenderaan juga turun 82.1 peratus daripada 251 menjadi 45 dalam tempoh yang sama.

Bagi kes merompak kenderaan bermotor di tempat meletak kenderaan, jumlahnya jatuh 65.4 peratus, kepada 239 berbanding 690.

Kamera polis juga membantu mencari orang yang dilaporkan hilang.

Misalnya pada April 2020, seorang wanita yang mengalami dimensia dilaporkan hilang pada sekitar 10.50 malam di kawasan timur laut.

Hasil bantuan kamera polis, dia ditemui sekitar tiga jam setelah laporan dibuat, di kawasan timur negara ini.

KEBIMBANGAN TENTANG PRIVASI

Menjawab pertanyaan mengenai isu privasi, Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Polis Kenneth Nge dari divisyen sistem operasi berkata dalam menggunakan kamera, pihak polis "sentiasa (berusaha) menangani kepentingan keselamatan umum yang lebih meluas, sambil menghormati privasi ruang privet".

Oleh itu, kamera dipasang di tempat-tempat "yang hanya meliputi ruang awam dalam sudut pandangan alat itu", jelasnya.

Beliau menambah bahawa terdapat kawalan dan langkah perlindungan data yang ketat berhubung rakaman disimpan, diakses dan digunakan.

"Rakaman itu disimpan dengan selamat, dan hanya orang yang diberi izin dibolehkan untuk menyemak rakaman atas tujuan rasmi. Mana-mana orang yang melihatnya untuk tujuan yang tidak dibenarkan akan ditangani dengan tegas. " 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan