Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ini antara perkara menarik tentang cap mohor Melayu yang anda kurang tahu...

Tidak banyak kajian dibuat mengenai cap mohor, sedangkan ia juga mampu menggali pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu silam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam usaha mengenali dunia Melayu silam, artifak seperti keris dan batik misalnya, sudah banyak dikaji.

Namun bagi satu lagi warisan penting - iaitu cap mohor orang Melayu - tidak banyak kajian dibuat mengenainya, sedangkan ia juga mampu menggali pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu silam.

Demikian kupasan seorang pengkaji cap mohor Melayu silam, Encik Malik Mazlan, dalam satu ceramah mengenai tradisi cap mohor dalam dunia Melayu, yang diadakan di Perpustakaan Negara (NLB) baru-baru ini. Sesi ceramah itu adalah sebahagian daripada program ceramah Siri Dunia Melayu, yang dianjurkan NLB.

PELBAGAI FUNGSI CAP MOHOR & BILA IA DIANGGAP 'KURANG AJAR'

Tahukah anda, cap mohor sebenarnya digunakan dengan meluas dalam persuratan Melayu antara tahun 1560 dengan abad ke-20.

Dari raja-raja Melayu, kepada orang-orang kenamaan hinggalah para pedagang biasa, cap mohor menjadi simbol penting dalam komunikasi mereka pada waktu itu.

Ia menunjukkan status dan kuasa bagi sesebuah pemerintah, juga sebagai mesej menegaskan pendirian sesebuah negara, selain mengesahkan identiti pengirim surat, menurut Encik Malik.

Beliau berkongsi, di bahagian mana mohor dicap pada surat juga ada peranannya bagi raja-raja Melayu pada ketika itu.

Misalnya, para peserta ceramah di Perpustakaan Negara itu diberitahu, jika seseorang mengirim surat kepada Sultan dan meletakkan cap mohor pada bahagian atas surat, ini boleh dianggap kurang ajar.

PENGARUH TULISAN ARAB DALAM CAP MOHOR MELAYU

Corak cap mohor pula berubah-ubah dari semasa ke semasa dan dari satu wilayah ke satu wilayah. Ini bergantung kepada keadaan politik dan agama pada ketika itu, jelas Encik Malik lagi.

Cap mohor orang-orang Melayu juga banyak dipengaruhi ciri-ciri Islam seperti meletakkan ayat-ayat al-Quran atau tulisan dalam bahasa Arab.

Satu lagi fakta menarik ialah, bapa kesusasteraan Melayu moden, Munshi Abdullah, juga merupakan salah seorang pereka cap mohor dan pernah merekanya untuk Sir Stamford Raffles dan beberapa raja Melayu pada zaman itu.

Bagi Encik Malik, yang juga seorang pakar kaligrafi, kepelbagaian seni dan reka bentuk cap mohor sesuatu yang amat menarik perhatian.

"Dari Cap mohor kita tahu pasal sejarah sebuah wilayah atau kesultanan pada masa itu dan bukan sahaja seni mereka. Cap mohor berbeza dari wilayah ke wilayah. Katakan Johor, dia berlainan dengan wilayah lain. Oleh itu kami tahu, oh, inilah seni Melayu," Encik Malik memberitahu BERITAmediacorp.

KEUNIKAN PENGGUNAAN CAP MOHOR ORANG MELAYU

Menerusi kajiannya juga, Encik Malik mendapati terdapat unsur-unsur pelbagai budaya dan agama dalam reka bentuk cap mohor Melayu.

Namun, satu ciri unik cap mohor Melayu yang hanya diamalkan masyarakat Melayu adalah penggunaan jelaga lampu minyak tanah sebagai dakwatnya.

Sekalipun demikian, dakwat jenis itu tidak kekal lama dan cenderung untuk comot jika secara tidak sengaja tergesel padanya.

Lantaran itu, timbul pula idea untuk menggunakan potongan kertas dengan motif dan corak yang halus sebagai sisipan pada cop mohor yang berdakwat jelaga.

"Saya rasa keunikan cap mohor Melayu ialah dalam seninya. Dalam desain cap mohor kami dapat tahu banyak fasal sejarah Melayu dan desain-desain orang Melayu yang saya sebagai seorang Melayu, saya pun dulu tidak tahu," ujar Encik Malik.

Beliau menambah, meskipun tradisi cap mohor sudah tidak lagi diamalkan, kajian tentangnya tetap penting untuk terus dijalankan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan