Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ini antara pelbagai inovasi baru teknologi yang digunakan SAF demi tingkatkan pertahanan

Sejumlah teknologi inovasi baru akan digunakan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Mar 2018 07:20PM Dikemas Kini : 04 Mar 2018 12:01AM

SINGAPURA: Sejumlah teknologi inovasi baru akan digunakan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara ini.

Ia termasuk pelbagai sistem berautonomi atau 'autonomous system' yang dapat mengurangkan pergantungan terhadap tenaga manusia.

Beberapa teknologi canggih terbaru yang digunakan SAF bagi meningkatkan lagi kecekapan operasinya di darat, laut dan udara, termasuk kapal yang tidak dipandu manusia (USV).

TIDAK PERLU GUNAKAN BANYAK TENAGA MANUSIA

USV adalah satu daripada tiga jenis yang akan digunakan Tentera Taut Singapura bagi mengesan periuk api.

Dalam satu-satu masa, hanya dua askar diperlukan bagi mengendalikannya dari pusat arahan.

Kenderaan Penangkis Periuk Api yang biasa digunakan memerlukan lebih 30 askar untuk mengendalikannya.

Menara Pengawasan Tanpa Manusia atau UWT ini pula dapat mengurangkan beban tugas kakitangan dalam menjaga keselamatan kawasan pantai Singapura.

Lebih ramai anggota Perkhidmatan Negara sedang dilatih untuk melakukan pemantauan menggunakan teknologi jarak jauh serta penderia di pusat arahan.

"Dengan adanya Menara Pengawasan Tanpa Manusia ia akan menjadikan askar-askar di Pulau Jurong lebih berkesan. Tidak lagi mencabar untuk mereka mengenal pasti sasaran dalam keadaan kurang cahaya kerana kini video analitik akan membantu mengenal pasti sasaran yang berada di kawasan yang lebih luas secara automatik sama ada dalam keadaan siang ataupun malam," kata 2SG Endy Othman, Sarjan Platun 9SIR.

PENGGUNAAN DRON DALAM TENTERA

Dalam pada itu Tentera Udara RSAF sedang mencuba alat 'Penangkap Dron'. Ia dihubungkan kepada satu sistem yang menggunakan sensor-sensor canggih dan video analitik.

Apabila rangkaian itu mengesan pencerobohan dron, ia akan mengerahkan 'Penangkap Dron'.

RSAF sedang membangunkan Pangkalan Udara Bijak yang akan menyepadukan teknologi-teknologi sedemikian bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan negara dan kerja penyenggaraan.

Dron akan digunakan untuk melakukan penilaian pantas dan memperbaiki landasan penerbangan yang rosak.

Selain itu RSAF juga sedang menguji sistem pemeriksaan pesawat secara automatik dan penyenggaraan proaktif. Prototaip ini boleh mengesan permukaan yang bercalar dan skru serta mungkin juga kebocoran hidraulik.

SAF akan terus menggunakan kelebihan teknologi bagi meningkatkan keupayaannya dan mengatasi pelbagai keterbatasan untuk menangani ancaman dalam sekitaran keselamatan yang semakin rumit. 

Sumber : CNA/MU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan