Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras S'pura pada Julai tertinggi dalam hampir 4 tahun

Indeks harga pengguna (CPI) teras Singapura meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh empat tahun pada Julai berbanding setahun sebelumnya, ekoran kenaikan harga elektrik dan gas, menurut data yang dikeluarkan pada Khamis (23 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Aug 2018 03:42PM Dikemas Kini : 23 Aug 2018 09:20PM

SINGAPURA: Indeks harga pengguna (CPI) teras Singapura meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh empat tahun pada Julai berbanding setahun sebelumnya, ekoran kenaikan harga elektrik dan gas, menurut data yang dikeluarkan pada Khamis (23 Ogos).


Inflasi teras pada Julai meningkat 1.9 peratus setahun sebelumnya, lebih pantas daripada kenaikan 1.7 peratus yang dicatat pada Jun. Satu tinjauan Reuters juga meramalkan peningkatan 1.7 peratus.

Ini merupakan peningkatan paling tinggi sejak Ogos 2014, apabila inflasi teras naik 2 peratus berbanding setahun sebelumnya.

"Ini mencerminkan peningkatan tarif elektrik pada Julai ekoran kenaikan harga minyak global pada suku sebelumnya," menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media.

Harga bekalan gas dan elektrik melonjak 12.7 peratus pada Julai berbanding setahun sebelumnya. Pada Jun, peningkatannya sebanyak 3.7 peratus.

Meskipun demikian, CPI umum Singapura meningkat 0.6 peratus pada Julai berbanding setahun sebelumnya, sejajar dengan kenaikan yang dicatat pada Jun dan rendah sedikit daripada jangkaan median dalam tinjauan Reuters iaitu peningkatan 0.7 peratus.

Pada Julai, inflasi harga makanan mencatat 1.5 peratus, tidak berubah berbanding bulan Jun.

Inflasi harga perkhidmatan turun sedikit kepada 1.5 peratus berbanding 1.7 peratus pada Jun. Ini menyusuli peningkatan yang lebih kecil pada kos pendidikan dan penjagaan kesihatan serta tambang penerbangan dan yuran perkhidmatan domestik.

Kos pengangkutan privet turun 0.2 peratus, berbanding kenaikan 0.4 peratus yang dicatat pada Jun. Ini disebabkan harga kereta merosot lebih banyak berbanding setahun sebelumnya, selaras dengan penurunan harga premium COE.

Harga perumahan turun tiga peratus pada Julai, sama seperti Jun. Kadar penurunan harga sewa rumah lebih sederhana, namun kesannya diimbangi oleh peningkatan lebih kecil pada kos penyenggaraan dan pembaikan rumah.

MAS dan MTI menjangkakan inflasi dari luar meningkat sedikit akibat kenaikan harga minyak global serta harga komoditi bahan makanan sedunia yang dijangka naik.

Inflasi dari sumber domestik juga dijangka meningkat selaras kadar pertumbuhan gaji lebih pantas dan permintaan domestik yang meningkat.

"Meskipun demikian, jangkauan peningkatan CPI kekal sederhana, sedang harga sewa kekal rendah dan kuasa pembeli firma tersekat oleh persaingan pasaran," menurut mereka.

Bagi tempoh seluruh tahun, inflasi teras dijangka naik bertahap-tahap pada bulan-bulan akan datang untuk mencapai kadar ramalan purata antara satu hingga dua peratus. Inflasi umum juga dijangka meningkat antara sifar hingga satu peratus bagi keseluruhan tahun.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan