Images
  • sg skyline
    (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Inflasi teras S’pura merosot ke paras terendah dalam setahun pada April

SINGAPURA: Inflasi teras Singapura merosot ke paras terendah dalam tempoh setahun pada April lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh kos elektrik dan gas serta inflasi makanan yang lebih rendah.

Inflasi teras – tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan darat privet – mencecah 1.3 peratus pada April berbanding tempoh yang sama setahun lalu, turun sedikit daripada 1.4 peratus berbanding bulan Mac, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (23 Mei).

Paras itu adalah yang paling rendah sejak April tahun lalu, di mana inflasi teras juga mencecah paras 1.3 peratus.

Meskipun inflasi teras lebih rendah, Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi kesemua barangan meningkat kepada 0.8 peratus pada bulan April berbanding tempoh yang sama setahun lalu, berbanding 0.6 peratus pada bulan Mac, dipacu oleh kenaikan kos pengangkutan darat privet, menurut MAS dan MTI.

Perangkaan bagi kedua-kedua catatan inflasi sejajar dengan ramalan Reuters pada awal minggu ini.

Kos pengangkutan darat privet naik 1.1 peratus pada bulan April berbanding tempoh yang sama setahun lalu selepas merosot 0.9 peratus pada bulan Mac. Ini disebabkan oleh harga kereta yang lebih tinggi dan kenaikan harga minyak petrol, tambah MAS dan MTI.

Inflasi perkhidmatan pula mencecah 2 peratus pada April berbanding tempoh yang sama setahun lalu, iaitu lebih tinggi berbanding 1.7 peratus pada bulan Mac.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan percutian yang lebih ketara, yuran perkhidmatan domestik dan perkhidmatan budaya dan riadah yang lebih tinggi.

Sementara itu, kos elektrik dan gas jatuh 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu selepas mencatat peningkatan 3.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini disebabkan tarif elektrik lebih rendah dan kesan pelancaran Pasaran Elektrik Terbuka secara bertahap-tahap pada harga elektrik, menurut MAS dan MTI lagi.

RAMALAN KESELURUH 2019

Sumber-sumber luar inflasi tidak begitu ketara bagi keseluruh 2019, menurut MAS dan MTI.
Pihak berkuasa meramalkan inflasi teras antara 1 dengan 2 peratus pada 2019.

Kos pengangkutan darat privet pula diramal tidak berubah berbanding 2018 manakala kos penginapan dijangka merosot pada rentak yang lebih perlahan tahun ini. 

- CNA/SM/sm

Top