Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Import beras Thai 'mudah diganti' dengan sumber alternatif; namun perubahan iklim boleh jejas keselamatan makanan

Import beras Thai di Singapura boleh diganti dengan mudah oleh sumber-sumber alternatif, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp berhubung laporan-laporan baru-baru ini mengenai kemarau yang teruk di Thailand yang menjejas penuaiannya di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Import beras Thai 'mudah diganti' dengan sumber alternatif; namun perubahan iklim boleh jejas keselamatan makanan

Seorang petani Thai berdiri di tengah sawah padi kering akibat kemarau (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Sep 2019 04:33PM Dikemas Kini : 10 Sep 2019 04:38PM

SINGAPURA: Import beras Thai di Singapura boleh diganti dengan mudah oleh sumber-sumber alternatif, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp berhubung laporan-laporan baru-baru ini mengenai kemarau yang teruk di Thailand yang menjejas penuaiannya di negara itu.

"Permintaan beras Singapura sangat kecil berbanding keseluruhan pengeluaran beras di peringkat global. Misalnya, kita membentuk hanya 1.2 peratus eksport beras dari Thailand, 1.2 peratus (Vietnam) dan 0.6 peratus (India) pada 2018," kata seorang jurucakap MTI kepada Mediacorp.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sengaja melakar strategi bagi mempelbagaikan sumber kita. Selain Thailand, Vietnam dan India, kita juga mengimport beras dari Myanmar, Kemboja, Jepun dan Amerika Syarikat. Sesetengah negara seperti Amerika Syarikat, tidak begitu terjejas oleh masalah kekurangan bekalan dalam negeri itu sendiri. Ia sebaliknya dapat menangani sebarang kekurangan dengan mendapatkan bekalan daripada negara-negara sumber yang lain."

Menurut MTI, Skim Simpanan Bekalan Beras (RSS) akan memastikan Singapura mempunyai bekalan beras yang mencukupi dalam pasaran apabila berlaku gangguan pada bekalan dan semua beras putih, beras basmati, beras ponni dan beras keling disifatkan sebagai beras bertaraf simpanan bekalan.

"Para pengimport diwajibkan menyimpan stok yang boleh menampung keperluan selama dua bulan di gudang-gudang yang diperuntukkan pemerintah," kata jurucakap itu lagi.

KESELAMATAN MAKANAN MUDAH TERDEDAH KEPADA PERUBAHAN IKLIM

Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik perhatian bahawa keselamatan makanan negara ini mudah terdedah kepada permintaan dan trend global, seperti pertumbuhan jumlah penduduk, pembandaran dan pendapatan yang kian meningkat, penularan penyakit, kekurangan sumber dan lebih-lebih lagi akibat perubahan iklim.

"Singapura mengimport lebih 90 peratus daripada bekalan makanan negara ini. Kita terdedah kepada harga global dan perubahan pada bekalan serta ancaman-ancaman terhadap bekalan makanan dan pencemaran makanan di peringkat antarabangsa," menurut jurucakap SFA.

“Kelemahan-kelemahan ini akan menjadi lebih ketara pada masa akan datang; sedang hasil tani dan tangkapan ikan dianggarkan merosot sejajar akibat perubahan iklim."

Merujuk kepada Jan 2018 apabila pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia terjejas akibat musim tengkujuh, jurucakap itu berkata bekalan sayur-sayuran Singapura dari Malaysia merosot sekitar 20 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu. Menurut SFA, Malaysia membekalkan sekitar 70 peratus daripada keseluruh import sayur-sayuran di Singapura pada 2017.

"Sungguhpun demikian, tiada kesan yang ketara terhadap Singapura kerana para pengimport mempunyai sumber-sumber alternatif seperti Thailand dan China yang tidak terjejas oleh keadaan tengkujuh untuk memenuhi permintaan penduduk Singapura dan menstabilkan bekalan," jelas jurucakap SFA tersebut.

Selain mempelbagaikan sumber, jurucakap itu turut mendedahkan bahawa SFA juga memberi tumpuan kepada usaha untuk mengembangkan hasil tuaian di peringkat tempatan dan luar negara.

"Pengeluaran tempatan akan membantu mengurangkan pergantungan kita terhadap import dan bertindak sebagai penampan semasa berlaku gangguan pada bekalan sumber import. Industri agromakanan kita huga perlu berubah menjadi industri yang sangat produktif di samping menggunakan teknologi-teknologi yang lasak iklim dan mampan,” kata jurucakap berkenaan.

Menebarkan sayap ke luar negara juga berupaya membuka pasaran baru dan membantu para petani tempatan untuk mengatasi masalah kekangan tanah, kata jurucakap SFA itu.

"Hasil tani daripada ladang-ladang tempatan yang dibangunkan di luar negara juga boleh dieksport semula ke Singapura, sekaligus menyumbang kepada keselamatan makanan negara ini."

Sumber : CNA/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan