Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Impikan haji pada usia muda

“Pengalaman pergi haji untuk saya dan suami merupakan satu impian yang menjadi kenyataan kerana memang sudah lama rasa cinta untuk menunaikan fardhu haji."

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Beliau menerima berita dapat mengerjakan haji tahun ini hanya sekitar sebulan sebelum tarikh keberangkatan ke Tanah Suci. Walaupun agak suntuk, Cik Yasmin Azahari, 35 tahun sebenarnya sudah melakukan persiapan sejak berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sekitar lima tahun lalu. Beliau yang akan berangkat ke Arab Saudi bersama suaminya Encik Feroz Muhamad, 40 tahun pada 11 Ogos ini ialah antara sebilangan jemaah lebih muda yang berkesempatan mengerjakan haji tahun ini.

Sememangnya untuk menunaikan haji pada usia yang muda bukanlah perkara yang mudah kerana seseorang itu perlu menunggu giliran setelah berdaftar dengan MUIS. Giliran ini semestinya memakan masa yang lama dan bertahun-tahun.

Namun, kuota haji yang terhad sebanyak 900 tempat tidak melunturkan harapan bakal jemaah lebih muda seperti Cik Yasmin, yang merupakan jemaah termuda mengikuti rombongan Noor Mohamad Services & Travel.

Berita bahawa beliau dan suami dapat ke haji satu impian yang menjadi nyata.

“Pengalaman pergi haji itu, untuk saya dan suami merupakan satu impian yang menjadi kenyataan kerana memang sudah lama rasa cinta untuk menunaikan fardhu haji, untuk menunaikan rukun Islam kelima itu sudah terpendam di dalam hati. Bila diberi undangan dan kesempatan sebegini sememangnya kami berdua akan melakukan yang terbaik dan menghargai setiap saat kerana saya percaya haji ini merupakan undangan untuk yang terpilih”, kata Cik Yasmin.

SEPERTIGA SENARAI MENUNGGU HAJI 49 TAHUN DAN KE BAWAH

Dalam jawapan kepada pertanyaan BERITAMediacorp, MUIS menyatakan bahawa senarai menunggu pendaftaran haji buat masa ini adalah hampir 31,000 meningkat daripada 21,000 pada 2016. Meskipun senarai menunggu panjang, pengalaman umrah yang dilalui jemaah-jemaah lebih muda mendorong mereka untuk turut mengerjakan haji.

“Kita lihat daripada waktu-waktu cuti sekolah terutama pada bulan 11,12, bulan tiga dan bulan enam itu sendiri, kelihatan trend anak-anak muda menunaikan umrah ini begitu tinggi. Apabila mereka menunaikan umrah, pastilah mereka akan terdetik untuk menunaikan ibadah haji tetapi dengan kuota yang terbatas pada waktu ini, mungkin kurang dapat melihat orang-orang muda - yang kita maksud di sini yang berusia 30 tahun hingga 40 tahun, 45 tahun,” jelas Ustaz Jalaluddin Hassan, pemilik syarikat Jalaluddin Travel & Services yang membawa sekitar 100 jemaah haji tahun ini.

Menurut MUIS, daripada 900 jemaah haji tahun ini, hanya sekitar lima peratus berusia 49 tahun dan ke bawah. Namun golongan usia ini membentuk kadar peratusan lebih signifikan dalam senarai menunggu. Daripada 31,000 dalam senarai pendaftaran sekarang, dianggarkan 11,000 atau lebih 30 peratus berusia 49 tahun dan ke bawah.

“Apa yang mendorong saya dan suami saya untuk menunaikan fardhu haji pada usia yang muda merupakan keinginan yang sangat kuat. Mungkin ramai yang akan mengatakan perkara yang sama tetapi untuk kami berdua memang sejak kebelakangan ini, sejak beberapa tahun ini keinginan itu sangat meluap-luap. Mentelah lagi kami ada ramai rakan dan juga ahli keluarga yang beruntung kerana diundang untuk menunaikan fardhu haji. Dengan mendengar pengalaman mereka kami lebih terdorong untuk menunaikan fardhu haji dan mengalami sendiri ritual-ritual ibadah haji," kata Cik Yasmin yang juga merupakan ibu kepada seorang anak berusia 11 tahun.

LEBIH RAMAI DAFTAR HAJI SEKELUARGA

Pada masa yang sama, Ustaz Jalaluddin membuat pemerhatian tentang lebih ramai jemaah yang mendaftar sekeluarga termasuk anak-anak mereka. Ini juga menyumbang kepada jumlah agak signifikan golongan lebih muda di dalam senarai menunggu.

“Kami melihat ada trend keluarga mendaftar untuk haji. Setiap ketua keluarga - ayah - mendaftar untuk anak-anaknya. Sekarang sudah kelihatan lebih ramai jemaah yang datang dengan empat orang, ramai datang dengan lima orang, Ataupun mereka datang bersama dengan satu unit keluarga yang besar. 10 orang atau sebagainya. Jadi yang kita lihat pada hari ini ramai pemuda yang dapat melaksanakan ibadah haji mereka telah mendaftar jauh lebih awal dahulu dan pendaftaran ini dilakukan oleh ahli keluarga,” jelas beliau.

Cik Yasmin berkata, ramai dari kalangan teman-temannya yang sebaya juga sudah melahirkan hasrat untuk menunaikan haji. Namun mereka akur dengan batas kuota haji buat masa ini.

“Mereka mahu sangat menunaikan fardhu haji tetapi mereka juga memahami sekatan yang diberi dari pihak sana dan juga kuota yang harus kami tepati dari pihak Singapura. Jadi mereka sabarlah, banyak bersabar cuma jika diberi lebih, Insya-Allah lebih orang muda yang ingin menunaikan fardhu haji lebih-lebih lagi dengan adanya kesihatan, masih lagi bertenaga. Mungkin itu menjadi pendorong yang lebih kuat,” tambahnya.

900 tempat yang diperuntukkan untuk jemaah haji tahun ini merupakan peningkatan daripada 800 tempat yang disediakan pihak berkuasa Saudi pada tahun sebelumnya. Sedang proses pembangunan semula kota Makkah diteruskan, MUIS sebagai menjawab pertanyaan pihak kami menyatakan, “seperti tahun-tahun sebelumnya, kami berhubung rapat dengan pihak berkuasa Saudi dalam hal-hal berkaitan haji, termasuk jumlah tempat haji”. 

Sumber : BERITA Mediacorp/EM/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan