Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IMDA sekat laman Singapore Herald; editor gagal turunkan rencana kontroversi pertikaian S'pura-M'sia

Akses ke 'Singapore Herald' disekat selepas editor laman sosiopolitik itu gagal menurunkan rencana-rencana yang "boleh menimbulkan kontroversi", menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) hari ini (16 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Dec 2018 03:18PM Dikemas Kini : 16 Dec 2018 08:50PM

SINGAPURA: Akses ke 'Singapore Herald' disekat selepas editor laman sosiopolitik itu gagal menurunkan rencana-rencana yang "boleh menimbulkan kontroversi", menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) hari ini (16 Dis).

Laman itu menerbitkan lapan rencana antara 6 Dis hingga 12 Dis yang "terang-terangan memberi gambaran salah" tentang kedudukan Singapura dalam pertikaian dengan Malaysia, tambah penguasa itu dalam satu kenyataan media sebagai menjawab pertanyaan pihak media.

"Kenyataan palsu seperti itu, terutama sekali dengan penggunaan frasa-frasa seperti "mengancam" dan "memprovokasi", boleh mengapi-apikan keadaan, terutama sekali terhadap Singapura. Ini juga akan menjejas usaha kedua-dua pihak untuk meleraikan pertikaian secara damai," menurut IMDA.

Salah satu rencana yang diterbitkan mendakwa Menteri Khaw Boon Wan mengancam Malaysia dengan menggunakan angkatan tentera di Selat Johor. Ia didapati "tidak boleh diterima sama sekali atas dasar kepentingan awam" dan dianggap sebagai bahan terlarang bawah Kod Amalan Internet, tambah IMDA.

Penyunting Singapore Herald diarah menurunkan rencana-rencana tersebut sebelum jam 4.00 petang pada 14 Dis. Namun, dia tidak melakukannya, menurut IMDA.

Pihak berkuasa kemudian mengarahkan para penyedia khidmat Internet supaya menyekat akses ke laman tersebut.

"Memandangkan Singapore Herald tidak mematuhi arahan mengikut masa yang ditetapkan, IMDA mengarahkan supaya para Penyedia Khidmat Internet (ISP) menyekat akses ke laman itu. Semua ISP sudah mengenakan sekatan itu," menurut IMDA.

Rencana-rencana dari laman Singapore Herald sudah dikongsi di laman Facebook States Times Review (STR), satu lagi laman berita alternatif.

STR disekat selepas penyuntingnya, Alex Tan, enggan menurunkan rencana yang dianggap tidak berasas dan satu bentuk fitnah oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS). Beliau kemudian mengatakan bahawa STR akan ditutup.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan