Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IMDA akan nilai acara pentas RuPaul's Drag Race

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menerima permohonan lesen hiburan seni bagi acara pentas 'RuPaul's Drag Race' yang dijadual berlangsung bulan depan. IMDA juga akan menilai klasifikasi bagi kandungannya.

Anggaran Waktu Membaca:
IMDA akan nilai acara pentas RuPaul's Drag Race

(Gambar: Facebook/Werq the World)

Diterbitkan : 16 Jan 2019 10:15AM Dikemas Kini : 16 Jan 2019 10:17AM

SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menerima permohonan lesen hiburan seni bagi acara pentas 'RuPaul's Drag Race' yang dijadual berlangsung bulan depan. IMDA juga akan menilai klasifikasi bagi kandungannya.

Ini didedahkan dalam jawapan bertulis bagi soalan parlimen yang diserahkan Anggota Parlimen GRC Nee Soon Lee Bee Wah, yang bertanya jika Kementerian Perhubungan dan Penerangan menerima sebarang bantahan terhadap persembahan Werq the World di Singapura.

Beliau juga bertanya tentang kriteria meluluskan acara pentas seperti itu, cara IMDA memberi kelulusan dan menapis persembahan-persembahan yang menyentuh isu LGBT serta bagaimana IMDA menentukan larangan umur terhadap para penonton bagi acara pentas seperti itu.

RuPaul's Drag Race adalah satu siri realiti yang mengisahkan tentang "drag queens" (mereka yang lazimnya lelaki dan berpenampilan dengan ciri-ciri kewanitaan) yang merebut untuk menjadi pemenang satu peraduan. Para peserta perlu melalui pelbagai cabaran dalam peraduan itu. Acara realiti itu dijangka berlangsung buat pertama kalinya di negara ini pada 2 Feb, di Kallang Theatre.

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran dalam jawapan bertulisnya berkata, IMDA mengikut Kod Klasifikasi Hiburan Seni (AECC) yang membentangkan sistem dan prinsip klasifikasi.

Encik Iswaran akur bahawa beberapa acara serupa sebelum ini dipentaskan di Singapura, dan persembahan-persembahan diklasifikasikan sebagai 'R18' memandangkan ia mengandungi elemen-elemen dewasa dan tidak menarik begitu banyak maklum balas.

Terdapat empat klasifikasi bagi hiburan seni - Umum, Memerlukan Bimbingan Ibu Bapa (Advisory), NC16 (tidak boleh ditonton kanak-kanak bawah umur 16 tahun) dan R18 (hanya bagi tontonan mereka yang berusia 18 tahun ke atas).

Bagi menentukan klasifikasi sesuai bagi sesebuah pementasan, IMDA mengambil kira tema keseluruhan filem, elemen-elemen kandungan, mesej dan kesan hasil karya serta kesesuaian bagi para penonton dalam kumpulan umur berbeza-beza.

Sebarang bahan hiburan dengan tema atau kandungan dewasa, termasuk tentang LGBT, akan diberikan klasifikasi lebih tinggi. Kandungan yang mendapat klasifikasi lebih tinggi daripada R18 tidak akan dibenarkan (untuk dipentaskan atau ditayangkan).

Bagi persembahan yang diklasifikasikan lebih tinggi daripada 'Umum', IMDA akan mengeluarkan makluman bagi membolehkan orang ramai untuk membuat keputusan sebelum menonton persembahan serta membantu ibu bapa membuat penilaian sama ada pementasan sesuai untuk ditonton anak-anak mereka.

Nasihat pelanggan dan klasifikasi yang dikeluarkan IMDA bagi sesebuah persembahan juga perlu dipaparkan dalam semua bahan-bahan pemasaran, di kaunter-kaunter tiket serta tempat acara.

IMDA sudah menerima permohonan lesen hiburan seni bagi pementasan RuPaul's Drag Race dan akan menilai persembahan itu mengikut AECC, kata beliau.

AECC dilakarkan setelah mengumpul maklum balas masyarakat dan bermatlamat mencerminkan norma masyarakat, melindungi kanak-kanak daripada kandungan tidak sesuai sambil membolehkan golongan dewasa membuat keputusan sebelum menontonnya. 

Sumber : CNA/AQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan