Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Imbasan terperinci tingkatkan peluang pulih bagi pesakit angin ahmar yang lambat terima rawatan

Seseorang yang diserang angin ahmar dan tidak mendapat rawatan segera kini mempunyai peluang lebih baik untuk sembuh sepenuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Oct 2018 08:02PM Dikemas Kini : 14 Oct 2018 12:14AM

SINGAPURA: Seseorang yang diserang angin ahmar dan tidak mendapat rawatan segera kini mempunyai peluang lebih baik untuk sembuh sepenuhnya.

Para doktor di Singapura akan menimbangkan kemungkinan melakukan pembedahan bagi mengeluarkan darah beku di otak pesakit berkenaan di luar tempoh enam jam yang disarankan selepas diserang angin ahmar.

Beberapa kajian di luar negara baru-baru ini menunjukkan pembedahan sedemikian boleh membantu pesakit meskipun jika dilakukan selepas tempoh enam jam setelah diserang angin ahmar.

Sebelum ini, jika pesakit tiba di hospital selepas enam jam diserang angin ahmar, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh para doktor.

Bagaimanapun pandangan itu berubah berikutan hasil dua penyelidikan yang diterajui Amerika Syarikat.

"Lebih dari enam jam, kami tidak tahu kerana masa berlalu lebih banyak tisu -tisu otak mati dan tidak ada yang boleh diselamatkan. Namun dengan penerbitan dua hasil penyelidikan ini, ia telah menunjukkan dengan pengimejan lebih canggih, terdapat golongan kecil dalam kalangan pesakit yang boleh dibantu dengan teknik mengeluarkan darah beku di otak pesakit," menurut konsultan jabatan neurologi di Institut Neuro Nasional (NNI) Dr Wee Chee Keong.

Sejak awal tahun ini pula para doktor di NNI menggunakan teknologi pengimejan lebih canggih untuk melakukan imbasan terperinci.

Ia akan menentukan jumlah tisu otak yang masih boleh diselamatkan.

Ini akan membantu para doktor membuat keputusan sama ada seseorang pesakit angin ahmar itu boleh menjalani pembedahan atau sebaliknya.

"Kami mempunyai beberapa pesakit yang telah kami rawat di NNI di luar jangka masa tersebut. Dan para pesakit berada dalam keadaan baik. Saya rasa mereka mempunyai hasil yang baik. Mereka telah dapat semula fungsi dan pergerakan," kongsi Dr Joanna Pearly Ti, konsultan di jabatan radiologi neuro di NNI.

Namun begitu, para doktor berkata dianggarkan hanya satu peratus hingga 3 peratus pesakit yang dihantar ke hospital selepas enam jam diserang angin ahmar, layak untuk menjalani pembedahan itu.

Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti umur dan keadaan kesihatan pesakit sebelum diserang angin ahmar.

Angin ahmar merupakan punca utama yang menyebabkan golongan dewasa hilang upaya di negara ini.

Setiap tahun hampir 8,000 orang dikesan menghidap angin ahmar.

Rawatan awal merupakan cara terbaik bagi pesakitnya untuk berpeluang sembuh sepenuhnya. 

Sumber : CNA/UR/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan