Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Imbasan suhu badan lebih pantas guna sistem AI, dirintis di 2 lokasi

Sebuah sistem baru menggunakan kecerdasan buatan (AI) oleh Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (IHiS) dan syarikat teknologi penjagaan kesihatan Kronikare menjanjikan pemeriksaan suhu badan lima kali lebih pantas di bangunan-bangunan pejabat.

Anggaran Waktu Membaca:
Imbasan suhu badan lebih pantas guna sistem AI, dirintis di 2 lokasi

(Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 12 Feb 2020 09:27PM Dikemas Kini : 12 Feb 2020 09:39PM

SINGAPURA: Sebuah sistem baru menggunakan kecerdasan buatan (AI) oleh Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (IHiS) dan syarikat teknologi penjagaan kesihatan Kronikare menjanjikan pemeriksaan suhu badan lima kali lebih pantas di bangunan-bangunan pejabat.

Sistem IThermo boleh mengimbas suhu badan sehingga 10 orang setiap minit, berbanding dua hingga tiga orang jika dilakukan secara manual, kata Encik Chua Chee Yong, ketua perkhidmatan dan kemampuan baru di IHiS.

"(Bagi pemeriksaan manual), setiap imbasan mengambil masa 20 hingga 30 saat untuk mendapat bacaan suhu ... Itulah kemampuan maksimum yang boleh dilakukan," katanya.

"Bagi iThermo, kita anggarkan sekitar lapan hingga 10 (imbasan) seminit."

Barisan panjang orang beratur dilihat di luar bangunan-bangunan pejabat di merata Singapura setelah langkah pencegahan dipertingkatkan untuk mencegah penularan penyakit virus korona COVID-19.

Di Suntec City misalnya, orang ramai beratur sehingga 40 minit untuk pemeriksaan suhu badan.

Direka berdasarkan alat Kronikare Wound Scanner, iThermo dibangunkan dalam masa dua minggu, dan dicuba di ibu pejabat IHiS dan Hospital Masyarakat St Andrew's sejak Isnin.

iThermo yang berukuran 25 sentimeter (cm) kali 12cm kali 5cm, terdiri daripada kamera telefon pintar, kamera termal, dan kamera laser. Dengan berat 650g, ia mudah digunakan di pintu masuk tempat-tempat seperti bangunan pejabat dan pusat beli-belah.

Berbanding dengan pemeriksaan manual, iThermo boleh "mengurangkan keletihan, tenaga manusia dan masa", kata CEO IHiS Bruce Liang. Setakat ini, hasil cubaan adalah "menggalakkan", tambahnya, sambil berkata bahawa IHiS sudah menerima pertanyaan daripada institusi-institusi penjagaan kesihatan, bank dan sektor runcit.

Ia juga lebih murah dan lebih mudah alih berbanding pengimbas alat canggih yang digunakan di lapangan terbang.

"Alat ini bertujuan merapatkan jurang antara pemeriksaan manual dan alat pemeriksaan canggih," kata Encik Chua dari IHiS.

IThermo boleh disewa dengan harga S$1,000 sebulan. Sebanyak 50 unit ditawarkan mulai pertengahan Februari dan 50 lagi mulai akhir bulan.

Sistem tersebut sudah menerima pensijilan Kelas A dari Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Kronikare sudahpun meningkatkan pengeluaran iThermo. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan