Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Iktibar Tahun 2017: Kisah 2 wanita bangkit setelah dirundung malang

Menjelang tahun baru 2018, berikut ini kami bawakan dua kisah keazaman dan daya bingkas yang boleh dijadikan inspirasi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Menjelang tahun baru 2018, berikut ini kami bawakan dua kisah keazaman dan daya bingkas yang boleh dijadikan inspirasi.

Yang pertama, seorang pesakit barah yang sudah jatuh ditimpa tangga, namun kini membahagiakan orang lain pula.

Yang kedua, karyawan yang hilang pekerjaan tetapi berganti syukur, apabila menang dua anugerah penulisan.

Ini cerita mereka.

RUHANA SALLEH: BAK HIDUP BARU SEBAGAI SUKARELAWAN

Cik Ruhana Salleh, 54 tahun, kini menjadi sukarelawan berbasikal bersama Palang Merah Singapura – meronda pantai East Coast pada hujung minggu, sedia memberi rawatan kecemasan bila perlu.

Namun, siapa sangka, beliau sebenarnya masih di tahap pemulihan sejak didiagnosis menghidap barah ovari Tahap 3, sejak tiga tahun lalu.

"Itu titik paling.. paling-paling rendah buat saya," luah Cik Ruhana.

Namun di kala saat sukar itu juga suaminya meninggalkannya. Beliau mengalami kemurungan, diikuti sakit kencing manis pula.

BARAH SEBESAR 20 SENTIMETER

Namun, tidak mahu menjadi beban kepada keluarganya, Cik Ruhana menjalani dua pembedahan membuang tumbuhan barah sebesar 20 sentimeter, diikuti rawatan kemoterapi.

"Rasa amat-amat panas seluruh badan saya dan saya rasa mual, saya rasa nak muntah, saya rasa mabuk," kata beliau mengenai rawatannya itu.

Enam bulan lalu, Cik Ruhana yang tinggal sendirian di rumah sewa, dirujuk kepada Palang Merah. Badan ini memberinya baucar pasar raya dan makanan berkhasiat di bawah program FoodAid.

BERPUTIK SEMANGAT BARU

Kini, hari-harinya semakin cerah dengan adanya teman atau "Befriender" yang mengunjungi dan memastikan keperluannya terjaga.

Ini, di bawah program membina daya bingkas yang dipandu masyarakat.
Antara programnya adalah mempelajari kemahiran memberi bantuan kecemasan.

Mendapat rawatan susulan dan jagaan siang hari di Assisi Hospice, memutikkan semangat baru menjadi sukarelawan.

"Saya menyaksikan para sukarelawan bagaimana mereka membantu saya itu, begitulah saya ingin membantu-semula. Saya tak boleh bayar dengan duit, kewangan ke apa, tapi saya boleh tolong dengan tenaga sayalah," kongsi Cik Ruhana.

Perubahan pada Cik Ruhana memang ketara, menurut pandangan Pekerja Sosial Palang Merah Singapura, Cik Su Huiting.

"Setiap kali melawatnya, Ruhana mengagumkan saya. Dia akan tanya, 'Huiting, apa lagi saya boleh lakukan'?" ujar beliau.

"Kalau Pintu sudah tertutup, tapi tingkap masih terbuka, buatlah yang terbaik dan fikir positif." Demikian kata-kata hikmah Cik Ruhana.

NUR-EL HUDAA JAAFAR: HILANG KERJA, TAPI MENANG ANUGERAH PENULISAN

Bagi karyawan wanita bernama Cik Nur-El-Hudaa Jaafar pula, beliau hilang tugasnya sebagai penyunting, apabila lembaga syarikat penerbitan tempat beliau bekerja memansuhkan jawatan tersebut pada April tahun ini demi menjimatkan kos.

"Semasa mula-mula saya terumbang-ambing, saya sibuk fikir apa yang saya tak ada.'Oh kenapalah kau tak ada lesen kereta, kau tak boleh jadi pemandu Uber, pemandu Grab. Kenapalah kau tak pandai masak, buat kek, boleh buat bisnes di rumah. Tapi saya fikir itu benda saya tak ada. Jadi saya tengok apa yang saya ada," kata Cik Nur-el Hudaa kepada BERITAMediacorp.

Yang beliau ada ialah kemahiran menulis.

Dari situlah beliau tidak berpeluk tubuh dan sebaliknya aktif menulis, malah dalam genre di luar zon keselesaannya.

Beliau kemudian cuba menulis puisi, cerpen, membuat terjemahan serta menyertakan karyanya dalam peraduan menulis. Cik Nur-el berkata beliau tidak kesah jika tidak mendapat duit. Pendeknya, beliau mengasah kemahirannya.

2 REZEKI MENDATANG 

Bagaimanapun tuah muncul apabila Cik Nur-El menang tempat kedua dan pertama, Anugerah Pena Emas bagi kategori cerpen Melayu.

Kemenangan berganda seperti itu belum pernah dikecapi mana-mana penulis sebelum ini.

"Apabila saya menang Golden Point Award hadiah pertama, satu, sebagai hadiahnya NAC berikan geran sebanyak - saya pun tak ingat berapa - dan saya akan gunakan geran itu untuk membiayai kursus-kursus penulisan," kongsi beliau.

Sambil itu, wanita pragmatik ini melakar strategi untuk ke pameran kerja, menjalani latihan SkillsFuture, malah bersedia menceburi bidang yang 100% baru baginya.

Dan sebagai pemula, bidang pendidikan awal kanak-kanak serta gerontologi atau yang berkaitan dengan penuaan, akan cuba diterokainya dahulu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan