Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ikon seni tari Melayu Som Said kongsi pengalaman NDP pertama S'pura

Dalam masa seminggu lagi, rakyat Singapura akan meraikan ulang tahun negara yang ke-54.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam masa seminggu lagi, rakyat Singapura akan meraikan ulang tahun negara yang ke-54.

Lebih istimewa lagi, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini
akan kembali diadakan di Padang, yang menyaksikan perbarisan pertamanya pada 1966.

BERITAmediacorp sempat bertemu dengan tokoh seni tari Melayu yang juga seorang pemenang Pingat Budaya untuk menceritakan pengalaman beliau mengenai NDP pertama di tapak bersejarah itu.

PENGALAMAN SEUSIA NDP

Sekiranya rakyat Singapura ingin memilih individu yang dianggap paling berpengalaman berdasarkan pelibatannya dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), Cik Som Said dikatakan orangnya.

Ini kerana sejak Singapura mencapai kemerdekaan dan meraikan Hari Kebangsaannya yang pertama di Padang pada 1966, Cik Som sudahpun melibatkan diri sebagai seorang peserta dalam segmen persembahan tarian.

Menariknya 54 tahun kemudian, beliau masih lagi bergiat aktif dalam NDP dan kini memegang peranan yang lebih besar.

"Hari Kebangsaan yang pertama saya sudah melibatkan diri tapi sebagai seorang penari sahaja, penari kata orang tu 'chorus dancer' dan seterusnya melibatkan diri sebagai penari utama dan seterusnya melibatkan diri sebagai guru tari untuk NDP hinggalah sekarang," kata beliau yang juga merupakan Pengasas serta Pengarah Artistik Sri Warisan.

PERBEZAAN DAHULU & SEKARANG

Mengimbas kembali pengalamannya, Cik Som berkata beliau bangga melihat perkembangan tarian NDP yang saban tahun semakin menghiburkan dan menyerlah.

Misalnya, jika tarian pada tahun 1960-an lebih menonjolkan nilai-nilai kekampungan, tarian hari ini pula lebih mengutamakan nilai-nilai masyarakat majmuk seperti semangat kejiranan dan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Perbezaan dari aspek tarian juga semakin ketara.

"Dulu mana ada 'flooring' putih yang indah yang senang untuk penari-penari melihat tanda, dulu semuanya hijau, rumput hijau," kongsinya lagi.

MASIH DIUNDANG UNTUK NDP

Meskipun beliau tidak terlibat secara langsung bagi acara NDP tahun ini, Cik Som berkongsi beliau masih menerima undangan pihak sekolah dan juga persatuan-persatuan dari luar negara untuk melatih dan membimbing kumpulan tarian masing-masing sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Dengan pelibatannya yang seusia dengan NDP, ikon seni tari tempatan ini berharap dapat terus menabur bakti kepada negara ini.

Apabila ditanya apakah harapannya untuk negara ini, ini kata beliau:

"Untuk NDP pada tahun ini dan seterusnya, saya merasa bangga dengan NDP sekarang, kalau kita nak bandingkan sekarang dan dulu memang kita lalui banyak kesukaran tapi gembira, sekarang banyak kemudahan, sesungguhnya anak-anak di luar sana itu akan lebih nanti-nantikan kepada hari besar inilah, Selamat Hari Kebangsaan!"
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan