Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ikan peliharaan jadi sasaran memerang dekat Terusan Alexandra; cetus kemarahan penghuni kondo

Sekitar 12 ekor memerang 'menyerbu' kondominium The Crest dekat Alexandra Road pada petang Selasa (6 April) lalu mencetuskan kemarahan para penghuni kondominium tersebut setelah haiwan itu memakan hampir kesemua ikan yang dipelihara di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Ikan peliharaan jadi sasaran memerang dekat Terusan Alexandra; cetus kemarahan penghuni kondo

Sekumpulan memerang 'serbu' kondominium The Crest dekat Terusan Alexandra pada 6 Apr 2021 (Gambar: Veron Tan)

Diterbitkan : 06 Apr 2021 10:34PM Dikemas Kini : 06 Apr 2021 10:40PM

SINGAPURA: Sekitar 12 ekor memerang 'menyerbu' kondominium The Crest dekat Alexandra Road pada petang Selasa (6 April) lalu mencetuskan kemarahan para penghuni kondominium tersebut setelah haiwan itu memakan hampir kesemua ikan yang dipelihara di sana.

Kondominium itu terletak bersebelahan dengan Terusan Alexandra.

Salah seorang penghuni, Cik Veron Tan memberitahu Mediacorp bahawa beliau ternampak sekumpulan memerang pada sekitar 4.00 petang, sambil menambah bahawa haiwan-haiwan itu memakan sekitar "80 hingga 90 peratus" ikan yang dipelihara di sebuah kolam.

"Tetamu yang tidak diundang" itu juga didapati berenang di kolam renang kondominium, katanya lagi.

"Dua belas memerang mencetuskan keadaan huru-hara di kondo saya hari ini. Memerang itu memakan sebahagian besar ikan peliharaan kami. Menyedihkan. Kami memberi makan kepada ikan-ikan itu pada setiap hujung minggu," kata Cik Tan.

"Ikan-ikan itu sudah tiada, kami harus mengeluarkan wang untuk membersihkan kolam dan kolam renang."

Cik Tan turut mendedahkan bahawa sebilangan kanak-kanak "ketakutan sehingga menangis" disebabkan oleh kejadian itu.

"Saya juga berasa sedih melihat keadaan ikan-ikan di kolam The Crest," kata beliau. "Ada ikan yang hanya tinggal satu mata, ada yang tiada mata sama sekali."

"Kolam ini tempat kanak-kanak berkumpul untuk memberi makan kepada ikan-ikan itu. Jadi amat sedih melihat haiwan itu tiada lagi," kata seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai JT.

Dalam rakaman video yang dimuat naik ke laman kumpulan Facebook Singapore Wildlife Sightings, 12 ekor memerang dilihat memasuki kolam renang kondominium sebelum memasuki sebuah kolam bersebelahan.

"Pencerobohan memerang! Haiwan-haiwan ini bukan hanya berenang dalam kolam renang kami tetapi juga menjamu selera di kolam yang terletak bersebelahan. Memerang memakan kesemua ikan yang dipelihara di kolam itu," tulis Cik Yvonne Chan, yang memuat naik video itu.

Para pegawai dari Lembaga Taman Negara (NParks) tiba di tempat kejadian pada sekitar 5.00 petang, kata Cik Tan. Mediacorp sudah menghubungi NParks untuk mendapatkan komen. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan