Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Idea pasangan ini bantu hampir 400 penduduk Bedok dapat barang dapur percuma

Kalau anda tinggal berdekatan Blk 100 Bedok North Avenue 4, anda pasti pernah ternampak ramai penduduk sekali-sekala beratur panjang di kolong blok berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kalau anda tinggal berdekatan Blk 100 Bedok North Avenue 4, anda pasti pernah ternampak ramai penduduk sekali-sekala beratur panjang di kolong blok berkenaan.

Mereka kemudian meninggalkan tempat itu dengan jinjingan beg plastik yang diisi barang-barang dapur seperti sayur-sayuran, makanan dalam tin dan minyak.

Ini perlu anda ketahui. Barang-barang itu mereka 'angkut' secara percuma - dari 'gerai' bergerak yang dibuka Cik Azlina Ahmad, 40 tahun, bersama suaminya, Encik Nurfahmi Sazali.

'Gerai' itu dipanggil Pop-Up Grocery.

(Gambar-gambar: #SmilesSalamSg/Facebook)

APA ITU 'POP-UP GROCERY'?

Sebenarnya tidak ada banyak perbezaan antara Pop-Up Grocery dengan pasar raya biasa.

Hanya sahaja, semua barang dapur di Pop-Up Grocery boleh diambil secara percuma tanpa sebarang syarat.

Inisiatif itu dijalankan Cik Azlina dan suami setiap dua minggu demi membantu keluarga-keluarga memerlukan di kawasan kejiranan mereka.

Menariknya, para penerima juga diajak menyumbang barang-barang dapur yang tidak diperlukan.

"Konsepnya boleh dikatakan seperti membeli-belah. Ada orang cakap macam 'exchange'. Saya beri barang yang saya tidak perlukan tetapi ada makanan dan mungkin sayur-sayuran, buah-buahan yang saya perlukan. Jadi dapat kurangkan pembaziran," terang Cik Azlina kepada BERITAmediacorp.

Beliau mendapat ilham untuk menjalankan usaha murni ini semasa melakukan kerja-kerja sukarelawan.

"Saya melihat ada banyak paket beras di rumah seorang penerima bantuan. Saya memberitahu mak cik itu bahawa saya seorang sukarelawan kemudian tanyalah kalau boleh beri (beras itu) kepada saya supaya dapat diberikan kepada orang lain yang memerlukan. Dia beri. Dari situ saya mengembangkan idea tersebut," kata ibu tiga orang anak itu.

Cik Azlina mula 'membuka' Pop-Up Grocery di Bedok pada Ogos tahun lalu. Inisiatif itu beliau jalankan bersama suami dan kumpulan relawan yang mereka tubuhkan, iaitu #SmilesSalamSg.

"Dana untuk dapat barang-barang dapur, kebanyakannya daripada kami sekeluarga, jiran-jiran, dan para penduduk Bedok."

BUKAN SEKADAR TENTANG AGIH BARANG DAPUR PERCUMA...

Sebelum membuka Pop-Up Grocery, #SmilesSalamSg terdahulu mendekati sendiri para penduduk rumah sewa di Bedok untuk memberitahu mereka tentang inisiatif yang ingin dijalankan.

Meskipun begitu, Pop-Up Grocery dibuka untuk semua. Malah, ia bukan sekadar tentang pengagihan barang dapur.

"Bila mereka nak ambil makanan, mereka akan mendaftar dengan kami. Soalan yang kami tanyakan, ada yang tidak berkaitan dengan keperluan barang dapur mereka. Jadi tanggungjawab kami untuk melihat bagaimana kami boleh membantu," jelas Cik Azlina yang bekerja sebagai seorang pengurus perkhidmatan di sebuah kemudahan pementasan seni.

Sejauh ini, Cik Azlina dan Encik Nurfahmi mempunyai hampir 400 penduduk Bedok dalam senarai bantuan mereka. Sudah sekitar 14 kali Pop-Up Grocery dijalankan di Bedok.

POP-UP GROCERY JUGA DIJALANKAN DI KAWASAN KEJIRANAN...

Dalam tempoh sesingkat kurang enam bulan, siapa sangka inisiatif pasangan itu sudah diperluaskan ke tiga kawasan kejiranan lain - iaitu di Yishun, Tampines dan Macpherson.

Ini dilakukan Cik Azlina dengan menjalin kerjasama bersama kumpulan sukarelawan lain seperti GoodHood.SG, Food Booth dan Kampung Circuit.

(Gambar: Jalan2junkie)

"Saya akan memberi mereka nasihat seperti bagaimana untuk bekerjasama dengan rakan-rakan masyarakat. Kalau kami seorang sahaja buat inisiatif ini mungkin tidak akan bertahan lama," kata Cik Azlina.

Maka itu, jumlah penduduk yang dapat dibantu hasil ideanya sebenarnya lebih daripada 400 penduduk.

Setakat ini, ada sekitar 170 penerima bantuan di Yishun dan lagi 160 keluarga meraih manfaat daripada Pop-Up Grocery di Tampines.

Jadi secara keseluruhannya, idea Cik Azlina dan suami sudah membantu lebih 700 orang memerlukan.

Pop-Up Grocery juga ingin diperluaskan ke Bukit Merah.

DAPAT SOKONGAN DANA DARI PEMERINTAH

Hakikatnya, menjalankan inisiatif yang membangkitkan semangat bergotong-royong ini tidak murah. Ia boleh menelan belanja S$700 setiap kali dijalankan.

Mujur, Cik Azlina dan suami dapat geran Dana Singapura Kita.

Sokongan kewangan daripada Pemerintah - khusus untuk projek-projek yang memenuhi keperluan sosial itu - membantu Cik Azlina menampung 80 peratus kos operasi Pop-Up Grocery.

"Saya menyerahkan pelan saya untuk waktu setahun dan menganggarkan kos perbelanjaan mencecah S$12,000. Apabila permohonan geran diluluskan, kami mendapat sokongan kewangan sekitar S$10,000," jelas Cik Azlina lagi.

Menurutnya, geran itu membantu menjimatkan kos seperti kos pengangkutan dan barang-barang projek.

"Kos pengangkutan tidak murah kerana kami mendapatkan barang-barang dapur seperti sayur-sayuran yang tidak terjual di pasar. Jadi kita tidak boleh mengatur pengambilan makanan sebegitu. Perlu segera atur pengangkutan untuk dihantar ke tempat Pop-Up Grocery dijalankan," tambahnya.

Dengan perbelanjaan kos lebih rendah, lebih banyak sumbangan boleh dibelanjakan untuk membeli barang dapur untuk keluarga-keluarga memerlukan.

"Kami juga dapat adakan aktiviti untuk warga emas. Sebagai contoh pada Tahun Baru Cina lalu, warga emas dapat membuat seni lukis dan membawa balik karya mereka. Mereka juga dapat 'ang pao'."

ALU-ALUKAN SOKONGAN PEMERINTAH

Sokongan seperti ini sememangnya, kata Cik Azlina lagi, mengupaya sukarelawan sepertinya aktif menggerakkan inisiatif membantu masyarakat.

Beliau merujuk kepada peruntukan Belanjawan 2021 yang antara lain mengetepikan S$50 juta untuk menyokong inisiatif-insiatif berasaskan masyarakat.

"Kalau kami tidak ada sokongan Pemerintah, mungkin kami tidak akan dapat meneruskan insiatif ini. Banyak rakyat Singapura ada idea - berjiwa besar untuk berkhidmat dan membantu orang lain. Tapi ada inisiatif menggunakan wang juga," ujar Cik Azlina.

Yang pasti, beliau bersyukur dapat menyuntik inspirasi kepada orang lain sehingga Pop-Up Grocery dijalankan di beberapa kawasan kejiranan.

"Ia membuka mata saya juga kerana baru saya sedar, ternyata ramai di luar sana memerlukan barang dapur. Mereka yang misalnya tidak layak menerima bantuan kewangan dari Pemerintah."

"Dari Pop-Up Grocery juga, kami dapat mendengar rintihan dan cerita mereka. Barulah dapat menghulurkan bantuan. Jadi kepuasan itu pasti ada," luah Cik Azlina.   

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan