Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu tunggal korban kerjaya demi anak

Seorang ibu akan rela mengorbankan apapun demi anaknya. Bagi ibu tunggal Cik Suzanna Dewi Ismail, beliau sanggup meninggalkan kerjaya sebagai seorang jurutera bergaji lumayan demi menumpukan perhatian kepada anak bongsunya yang didiagnos menghidap sindrom gangguan perkembangan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Seorang ibu akan rela mengorbankan apapun demi anaknya. Bagi ibu tunggal Cik Suzanna Dewi Ismail, beliau sanggup meninggalkan kerjaya sebagai seorang jurutera bergaji lumayan demi menumpukan perhatian kepada anak bongsunya yang didiagnos menghidap sindrom gangguan perkembangan.

Itulah pengorbanan tidak ternilai Cik Suzanna dalam menggalas tanggungjawab sebagai ibu, demi memastikan anaknya dapat tumpuan dan rawatan sewajarnya.

Beliau melakukannya meski bergelar satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga tiga beranak itu.

Anak bongsu Cik Suzanna disahkan menghidap Gangguan Spektrum Autisme (ASD) semasa di tadika.

Keadaan tersebut mempengaruhi kemampuannya dalam berkomunikasi, interaksi sosial serta tingkah laku.

"ASD ini sebenarnya dia ada sedikit gangguan dari segi perkembangan saraf. Kelakuannya berlainan sedikit. Apabila saya lihat anak saya, dia suka mengasingkan diri dan bersendirian, buat kerja dan bermain sendiri," kongsi Cik Suzanna, 45 tahun.

Hakikatnya, demi menyara perbelanjaan keluarga, Cik Suzanna terpaksa melakukan dua pekerjaan.

Beliau mengambil tempahan membuat kek dan roti serta bertugas sebagai pekerja pejabat sementara.

Setiap bulan, sepertiga duit gajinya digunakan untuk menampung perbelanjaan perubatan serta kos rawatan dan terapi anak bongsunya itu.

Jadual beliau yang padat seringkali memaksa Cik Suzanna bersengkang mata sehingga larut malam untuk menyiapkan tempahan kek yang diterima.

Menurut Cik Suzanna: "Dari waktu pagi, saya harus menghantar anak-anak ke sekolah dan baru saya dapat melakukan tugas seharian. Mereka selalu perlukan tumpuan, apa-apa saya ketepikan, kadang-kadang selepas mereka tidur."

Di sebalik cabaran dan liku kehidupan yang terpaksa diharunginya, beliau bersyukur dapat membesarkan anak-anaknya dengan contoh yang baik, dalam suasana bahagia dan penyayang.

Yang pasti, itulah pengorbanan luar biasa seorang insan bergelar ibu yang tidak kenal erti penat demi kebahagiaan anak-anak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan