Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu dituduh bunuh anaknya berusia 4 tahun pilih peguam

Seorang ibu yang dituduh membunuh anak perempuannya yang berusia empat tahun dan membakar mayat mangsa mengesahkan pilihan peguamnya pada Khamis (6 Ogos), setelah dua pasukan peguam hadir dalam perbicaraan sebelum ini untuk mewakili wanita tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu dituduh bunuh anaknya berusia 4 tahun pilih peguam

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 06 Aug 2020 09:08PM Dikemas Kini : 06 Aug 2020 09:17PM

SINGAPURA: Seorang ibu yang dituduh membunuh anak perempuannya yang berusia empat tahun dan membakar mayat mangsa mengesahkan pilihan peguamnya pada Khamis (6 Ogos), setelah dua pasukan peguam hadir dalam perbicaraan sebelum ini untuk mewakili wanita tersebut.

Dalam perbicaraan yang sama, peguam bagi tertuduh bersama membantah permohonan pihak pendakwaan untuk menahan reman suspek selama seminggu lagi, dengan mengatakan bahawa tuduhan ke atas anak guamnya bukan kerana membunuh.

Foo Li Ping, 24, dituduh membunuh anak perempuannya Megan Khung Yu Wai pada Februari tahun ini di sebuah kondominium. Dia didakwa melakukannya dengan tertuduh bersama Wong Shi Xiang, 33, yang juga menghadapi tuduhan yang membawa hukuman mati itu.

Mereka berdua menghadapi tuduhan kedua menghapuskan mayat pada Mei dengan membakarnya dalam sebuah tong besi di Taman Perusahaan Paya Ubi.

Tertuduh ketiga Nouvelle Chua Ruoshi, hanya menghadapi satu tuduhan - terlibat dalam pembuangan mayat mangsa dengan Foo dan Wong.

Pada Khamis, peguam Josephus Tan dari Invictus Law mengesahkan di mahkamah bahawa beliau akan mewakili Foo secara pro bono atau percuma bersama rakannya Marshall Lim dan Cory Wong.

Kedua-dua Encik Tan dan peguam Wong, Vinit Chhabra tidak membantah permohonan pihak pendakwa untuk melanjutkan tempoh reman ketiga-tiga tertuduh selama seminggu lagi untuk siasatan.

Bagaimanapun, peguam Chua, Encik Thangavelu membantah anak guamnya ditahan reman lebih lama, dengan berhujah bahawa dia sudahpun berada dalam tahanan polis sejak 24 Jul.

BANTAHAN TAHANAN LANJUT

"Yang paling penting ... dua yang dituduh selain Nouvelle menghadapi tuduhan membunuh, sedangkan (tuduhan) anak guam saya adalah ... menghapuskan mayat," katanya.

Beliau memohon agar kes anak guamnya dipisahkan daripada tuduhan pembunuhan utama, kerana tuduhan anak guamnya dapat dibicarakan di mahkamah daerah dan bukannya di mahkamah tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Marcus Foo berkata hujah Encik Thangavelu adalah "terlalu awal pada ketika ini" kerana hanya dua minggu reman telah berlalu.

"Sepanjang seminggu lalu, bahan baru telah muncul dan siasatan diperlukan untuk mendapatkan kenyataan tertuduh berkaitan dengan bahan tersebut," tambahnya.

Kerja-kerja perlu dilakukan agar "gambaran lengkap diperolehi", katanya, namun Encik Thangavelu berkata bahawa Chua masih boleh bekerjasama dengan siasatan ketika diikat jamin.

Hakim Daerah Terence Tay berkata bahawa kes ini, adalah "hanya reman ketiga" yang dipohon oleh pihak pendakwaan, dan bukti perlu dikumpulkan.

"Memandangkan kesalahan berat yang disabitkan terhadap tertuduh bersama, saya cenderung untuk mengizinkan permohonan (pihak pendakwaan)," katanya.

Jika sabit kesalahan membunuh, Foo dan Wong boleh dijatuhkan hukuman mati, atau penjara seumur hidup, dengan Wong boleh dikenakan hukuman sebat.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan sengaja menghapuskan mayat, Chua boleh dipenjara sehingga tujuh tahun.

Ketiganya-tiganya akan kembali ke mahkamah pada 13 Ogos.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan