Images

Ibu bapa, wadah keibubapaan akur 'waktu skrin' berlebihan beri kesan negatif kepada anak kecil

SINGAPURA: Sebahagian ibu bapa dan badan sokongan keibubapaan akur bahawa memberi 'waktu skrin' berlebihan kepada anak-anak kecil boleh mendatangkan kesan negatif.

Mereka mengulas dapatan kajian Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) bersama Universiti Nasional Singapura (NUS), bahawa lebih 50% anak-anak sedemikian mengalami gangguan tidur dan sebagainya.

Anak-anak dengan waktu skrin berlebihan juga didapati mengalami gangguan emosi dan tingkah laku, serta sukar memberikan tumpuan selain cepat meradang dan bertengkar.

Ibu seperti Cik Rabiahtul Adawiyah Amat, yang mempunyai dua orang anak berusia lima tahun dan sembilan bulan, setuju dengan dapatan kajian tersebut.

Lantaran itulah, kedua-dua anaknya hanya dibenarkan menggunakan peralatan digital ataupun menonton televisyen sejam dalam seminggu.

"Ada kalanya atas desakan anak saya, saya juga terpaksa memberikannya telefon bijak saya. Akan tetapi, saya akan menetapkan berapa lama saya membenarkan anak saya menggunakan telefon bijak saya. Saya juga akan menetapkan apa yang anak saya boleh tonton," kongsi beliau.

Selain daripada itu, beliau juga menggantikan 'waktu skrin' dengan meluangkan masa melakukan kegiatan-kegiatan bersama seperti melukis, membaca dan juga melakukan kegiatan riadah.

Cik Rabiahtul menambah: "Saya juga sering menekankan kepada anak saya tentang kepentingan mengeratkan silaturahim dan bermesra dengan sanak saudara ketika majlis keramaian. Saya rasa hal ini penting untuk memastikan aspek sosial kanak-kanak."

Hakikatnya, pendekatan yang diambil Cik Rabiahtul itu mungkin kurang dilakukan ibu bapa lain.

IBU BAPA KINI LEBIH CENDERUNG KEPADA 'WAKTU SKRIN'

Menurut wadah bimbingan keibubapaan, MuslimParents.SG, ibu bapa sekarang sebaliknya lebih cenderung mendedahkan anak-anak mereka kepada skrin peranti digital seperti telefon bimbit dan tablet.

Lebih membimbangkan lagi menurut badan berkenaan, ramai ibu bapa tidak peka akan kesan sebenar atas tindakan mereka.

"Saya tidak mengatakan bahawa pendedahan digital itu tidak bagus langsung. Memang ada masa-masa yang kita perlu menggunakan alat digital bagi pembelajaran tetapi ia harus dihadkan.

"Ibu bapa bagi saya perlu peka dengan cabaran yang dihadapi dan akan dihadapi oleh anak-anak mereka. Jadi, mereka harus meningkatkan kemahiran mereka dalam aspek-aspek yang mungkin dianggap remeh misalnya kemahiran berbincang dengan anak mereka dengan berkesan," kata Pengasas MuslimParents.SG Suliyati Berori.

Dengan cuti sekolah bakal menjelang, Cik Suliyati berharap ibu bapa dapat lebih prihatin terhadap dapatan kajian-kajian seperti yang didedahkan KKH dan NUS semalam (12 Nov).

Beliau percaya ini mampu mengubah pemikiran ibu bapa dan mengukuhkan azam mereka untuk mencari wadah-wadah alternatif untuk memperkaya masa lapang anak-anak. 

- BERITAmediacorp/fz

Top