Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu bapa tetap perlu bayar yuran sepanjang penutupan sebulan prasekolah, menurut MSF

Ibu bapa akan tetap perlu membayar yuran prasekolah walaupun pusat-pusat itu ditutup selama sebulan sebagai sebahagian daripada langkah jaga jarak selamat yang dipertingkat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa tetap perlu bayar yuran sepanjang penutupan sebulan prasekolah, menurut MSF

Guru Bahasa Melayu di prasekolah, Norhaizahwati Mohd, sewaktu mengajar di kelas pada 2017. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 10:42PM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 10:44PM

SINGAPURA: Ibu bapa akan tetap perlu membayar yuran prasekolah walaupun pusat-pusat itu ditutup selama sebulan sebagai sebahagian daripada langkah jaga jarak selamat yang dipertingkat. Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengesahkan perkara itu pada Sabtu (4 Apr).

Mediacorp mengajukan pertanyaan itu kepada MSF sama ada ibu bapa perlu terus membayar yuran prasekolah dan jika mereka harus membayar jumlah penuh. Menjawab, seorang jurucakap MSF berkata dalam keadaan COVID-19 sekarang, banyak perkhidmatan sudahpun digantung atau dikurangkan skalanya dan bukan sahaja prasekolah.

"Jika Pemerintah meminta semua penyedia khidmat, kebanyakannya perusahaan kecil dan sederhana (SME), untuk membuat pengembalian wang sedangkan mereka terus menanggung kos, kebanyakan syarikat itu mungkin akan gulung tikar dan perlu memberhentikan pekerja mereka atau memotong gaji mereka," jelas jurucakap MSF itu. 

"Daripada mewajibkan pengembalian wang yang akan membantu keluarga tetapi menyakitkan perniagaan, Pemerintah melaksanakan langkah-langkah bantuan untuk membantu kedua-dua keluarga serta perniagaan."

Jurucakap MSF menarik perhatian langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan Berdaya Tahan untuk membantu keluarga dengan perbelanjaan kehidupan mereka. Semua rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada 2020 akan menerima wang tunai antara S$300 hingga S$600. Setiap ibu bapa yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia 20 tahun dan ke bawah juga akan menerima tambahan wang tunai sebanyak S$300.

Langkah-langkah untuk memberi lebih banyak bantuan kepada keluarga dan perniagaan akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (6 Apr).

Untuk terus membantu ibu bapa semasa tempoh itu, Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) akan mengecualikan keperluan hadir sekurang-kurangnya sehari dalam bulan April agar ibu bapa boleh terus menerima subsidi prasekolah.

'Ibu bapa juga boleh menghubungi prasekolah mereka kerana prasekolah mungkin ada dasar pentadbiran tersendiri mengenai pengembalian wang atau pengecualian yuran, mengambil kira bantuan yang dihulurkan Pemerintah kepada perniagaan," jelas jurucakap itu lagi.

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung pada Jumaat menyatakan semua prasekolah, tadika dan pusat jagaan pelajar akan ditutup mulai 8 April hingga 4 Mei tetapi akan menyediakan khidmat terhad kepada kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka perlu bekerja dan tidak dapat mencari penjaga.

Semasa tempoh itu, selain menyokong kanak-kanak dan ibu bapa menerusi sumber kegiatan berasaskan rumah, prasekolah juga akan terus berhubungan dengan ibu bapa untuk memantau kesejahteraan anak-anak mereka, menurut MSF.

Kementerian itu menyatakan pusat-pusat tersebut mungkin ditutup jika ia tidak mempunyai kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan terhad yang disediakan. Bagi pusat yang akan terus dibuka secara terhad, hanya kakitangan yang diperlukan untuk menyokong operasi terhad harus kembali ke pusat berkenaan. Ini termasuk sejumlah kecil kakitangan yang untuk merancang pelajaran, kata MSF.

Jika tidak, kakitangan harus bekerja dari rumah semasa penutupan prasekolah dan mengendalikan tugas mereka dari rumah - sebagai contoh, menghubungi ibu bapa untuk mendapatkan maklumat perkembangan anak mereka, menyiapkan pelan pelajaran dan sumber pembelajaran di rumah.

MSF menambah penyedia khidmat harus terus membayar gaji pekerja mereka semasa tempoh ini kerana mereka akan terus menyokong operasi pusat-pusat tersebut.

Majikan seharusnya mengambil kira bantuan yang disediakan Pemerintah untuk membuat bayaran kepada kakitangan mereka, menurut MSF.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan