Images
  • josephine teo
    Gambar fail Cik Josephine Teo.

Ibu bapa tetap nikmati subsidi 'besar' meski sebilangan tajaka naikkan harga yuran, jamin Josephine Teo

SINGAPURA: Meskipun sebilangan pusat jagaan kanak-kanak di sini akan menaikkan yuran masing-masing, yuran jagaan kanak-kanak secara keseluruhannya akan tetap dapat dikurangkan dengan banyaknya dengan subsidi prasekolah yang dipertingkat.

Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo memberikan jaminan sedemikian dalam wawancara radio CNA938 pagi ini (20 Sep).

Ia menyusuli pengumuman oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) awal minggu ini yang menyatakan 330 pusat jagaan kanak-kanak akan menaikkan yuran penjagaan sepenuh hari pada tahun depan.

Menurut agensi tersebut, kenaikan purata 5 peratus yuran jagaan kanak-kanak, adalah dalam jangkauan kenaikan yang dicatatkan dalam tahun-tahun sebelumnya.

Antara pusat prasekolah yang akan menaikkan yuran mereka termasuk Yayasan Masyarakat PAP dan Star Learners.

Berita tersebut mencetuskan rasa kurang senang di kalangan sesetengah ibu bapa.

IBU BAPA MASIH BAYAR YURAN LEBIH RENDAH

Cik Teo, yang juga menangani isu-isu tentang penduduk berkata, pusat-pusat jagaan itu adalah pengendali utama dan rakan kongsi yang menerima dana pemerintah bagi mengekalkan yuran rendah.

Namun, mereka tetap perlu ada had yuran yang perlu dipatuhi.

Kenaikan terbaru yuran itu adalah akibat penyusunan semula kadar yuran agar lebih setara.

Cik Teo memberi jaminan kepada warga Singapura, dengan kenaikan subsidi yang diumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan yang lalu, orang ramai sebaliknya akan membayar yuran jagaan kanak-kanak yang lebih rendah.

"Katalah prasekolah tersebut menaikkan yuran sebanyak S$20, dalam lingkungan had kenaikan 5 peratus. Dengan subsidi baru, mereka masih bayar yuran lebih rendah iaitu S$130. Daripada S$350 menjadi S$130, ia masih pengurangan yang besar," jelas Cik Teo.

SUSUN SEMULA KEUTAMAAN HIDUP JIKA INGIN TIMANG CAHAYA MATA LEBIH AWAL

Berhubung panel perbincangan rakyat tentang keseimbangan kerja dengan kehidupan, Cik Teo pula berkata, pemerintah menerima respons baik tetapi prihatin panel tersebut tidak harus menjadi terlalu besar.

Panel tersebut tambah beliau, dihadkan tidak melebihi 50 anggota - saiz yang sesuai untuk bekerjasama.

Jika saranan-saranan yang dikemukan adalah cukup kukuh, Cik Teo terbuka terhadap kemungkinan ia menjadi undang-undang satu hari nanti.

Mengenai proses keibubapaan pula, Cik Teo berkata warga Singapura harus menyusun semula keutamaan hidup jika mahu menimang cahaya mata, lebih awal lagi.

Beliau mengakui, generasi sekarang ada keutamaan yang bersaing seperti kerjaya dan impian peribadi.

Berkongsi pengalamannya sendiri, Cik Teo mengatakan beliau dan suaminya mengubah keutamaan dan keperluan mereka apabila mendapat anak.

Cik Teo berharap pemerintah boleh memberikan isyarat kukuh kepada golongan muda yang mahu berkahwin dan menimang cahaya mata bahawa ia adalah sesuatu yang boleh dicapai dan menyeronokkan.

- CNA938/AA/tq

Top