Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu bapa bayi kembar perlu lebih banyak bantuan, sokongan

Seruan agar pasangan dengan bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan atau bayi kembar diberi bantuan menjadi perhatian apabila seorang anggota parlimen mengutarakan isu itu di Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Feb 2018 07:12PM Dikemas Kini : 25 Feb 2018 10:03PM

SINGAPURA: Seruan agar pasangan dengan bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan atau bayi kembar diberi bantuan menjadi perhatian apabila seorang anggota parlimen mengutarakan isu itu di Parlimen.

AP Louis Ng mengimbas kembali pengalaman beliau sendiri menjaga bayi kembar perempuan, yang dilahirkan beberapa minggu lebih awal.

Laporan ini mengupas apakah antara cabaran yang dilalui pasangan dengan bayi kembar dan sokongan yang diperlukan?

Bagi pasangan dengan bayi kembar dua atau mungkin yang jarang kedengaran, kembar tiga, pengalaman menjaga mereka amat berbeza. Ini perkongsian mereka:

"Apabila orang lain tahu kami akan mendapat bayi kembar, mereka katakan 'wah beli dua pada harga satu' dan ini tidak benar sama sekali. Sebaliknya ia beli dua pada dua harga atau mungkin lebih," kata pasangan Debra dan Andrew Low.

"Ia mencabar kerana anak pertama kami seorang sahaja dan kemudian kami mendapat bayi kembar jadi kami dapat membuat perbandingan dan melihat betapa sukarnya (menguruskan bayi kembar)," menurut Encik Louis Ng.

"Apabila mereka jatuh sakit, kami harus membawa ketiga-tiga anak berjumpa doktor dan perbelanjaannya juga agak mahal sekarang," kongsi pasangan Rashidah Yahya dan Awal Khan, yang mempunyai bayi kembar tiga.

PERMINTAAN IVF KIAN MENINGKAT

Di Singapura, jumlah kelahiran secara amnya berkurangan.

Keseluruhan kadar kesuburan penduduk juga merosot dari 1.96 kelahiran pada tahun 1988 kepada hanya 1.20 kelahiran pada 2016.

Dalam tahun yang sama, terdapat sekitar 560 pasangan kembar yang dilahirkan serta lapan kembar tiga daripada lebih 40 ribu kelahiran.

Keinginan Cik Rashidah dan suaminya, Encik Awal untuk menimang seorang lagi cahaya mata bertambah kuat setelah anak pertama mereka kerap meminta diberikan adik.

Mereka kemudian mencuba pelbagai cara untuk hamil menerusi rawatan kesuburan seperti rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

Semasa percubaan IVF kali kedua, sebanyak tiga embrio dipindahkan kepada Cik Rashidah.

Ia membuahkan hasil dan beliau menjadi ibu kepada bayi kembar tiga pada usia 37 tahun.

Jika dilihat keletah ketiga-tiga bayi - Amirah, Adilah dan Amir - bayi berusia tiga bulan ini amat ceria dan bertenaga. Namun, mereka sebenarnya dilahirkan tidak cukup bulan.

"Mereka perlu menjalani terapi pergerakan otot dan pertuturan kerana doktor mereka bimbang terhadap kemungkinan mereka mengalami kelengahan pertumbuhan kerana dilahirkan pramatang," menurut Cik Rashidah.

Para doktor berkata permintaan bagi IVF semakin meningkat.

Namun IVF mungkin meningkatkan peluang hamil bayi kembar.

Ini pula boleh menyebabkan si ibu terpaksa dimasukkan ke hospital pada tempoh yang lama sekaligus menimbulkan kos yang mahal serta masalah-masalah kesihatan.

RISIKO HAMIL BAYI KEMBAR MUNGKIN LIMA KALI GANDA

Oleh itu, para doktor menggalak pemindahan satu embrio berbanding beberapa embrio.

"Tubuh manusia direka untuk mengandung satu bayi dan jika anda mengandung bayi kembar, maka risiko ke atas kedua-dua ibu dan bayi semasa hamil akan meningkat. Risikonya mungkin lima kali ganda berbanding hamil satu bayi," kata Pengarah Perubatan ACRM Hospital Gleaneagles, Dr Lim Min Yu.

"Mungkin ramai yang tidak mengetahui matlamat utama IVF adalah untuk memudahkan dan membantu pasangan mendapatkan seorang bayi yang sihat. Ini untuk mengurangkan risiko bayi kembar dua ataupun tiga. Sebahagian risikonya mungkin termasuk kelahiran pramatang, menurut Pengarah Puusat KKIVF, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Profesor Madya Tan Heng Hao.

Anggota Parlimen Louis Ng amat memahami cabaran-cabaran mempunyai bayi kembar tidak cukup bulan. Beliau sendiri bapa kepada bayi kembar perempuan yang dilahirkan 10 minggu lebih awal.

"Saya memperjuangkan lebih banyak cuti keibubapaan kerana mustahil untuk menumpukan sepenuh perhatian di tempat kerja di samping memikirkan bahawa anak kembar saya berada di hospital. Mereka mungkin berhenti bernafas, mungkin tidak panjang umur, maka cuti keibubapaan itu penting bagi ibu bapa dengan bayi-bayi pramatang baik seorang mahupun kembar. Ini memberikan ibu bapa ketenangan fikiran, memberikan masa bukan hanya untuk anak tetapi juga untuk pasangan," ujar Encik Ng.

Beliau juga berharap lebih banyak perbincangan awam berhubung cuti keibubapaan akan diadakan supaya lebih banyak ibu bapa dengan bayi kembar boleh mendapatkan sokongan yang diperlukan.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan