Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibadah korban luar negara rakyat S'pura berjalan lancar, selamat di tengah COVID-19

Proses ibadah korban rakyat Singapura di negara-negara Asia Tenggara dilaporkan berjalan lancar siang tadi (31 Jul) dengan langkah-langkah jarak selamat tambahan dilaksanakan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Proses ibadah korban rakyat Singapura di negara-negara Asia Tenggara dilaporkan berjalan lancar siang tadi (31 Jul) dengan langkah-langkah jarak selamat tambahan dilaksanakan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Ini menurut dua syarikat tempatan yang menawarkan khidmat korban di negara-negara seperti Indonesia, Vietnam dan Kemboja dengan mengadakan kelainan yang perlu dilakukan.

Bagi syarikat Al-Qiblah International, proses ibadah korban yang dikendalikan di luar negara tahun ini memerlukan pengubahsuaian dari segi persiapan.

"Para pegawai kami diingatkan supaya senantiasa berjaga-jaga dan menghormati undang-undang dan arahan-arahan pihak berwajib. Walaupun orang-orang kampung tidak biasa dengan penjagaan jarak selamat namun untuk para pegawai kami, kita galakkan supaya memakai pelitup terutama sekali ketika melakukan penyembelihan dan pisau digunakan juga kerap kali supaya dibersihkan. Ini untuk elakkan daripada jangkitan-jangkitan atau perkara tidak diingini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Al-Qiblah International Ustaz Azmi Abdul Samad.

Jalaluddin Travel & Services pula tetap mengerahkan kakitangan dari Singapura ke Indonesia bagi memastikan amanah yang diberikan para jemaah tempatan, dapat disempurnakan sebaik mungkin. Ini meskipun mereka terpaksa dikuarantin dua minggu selepas pulang ke sini.

Mereka sendiri mahu memastikan proses ibadah korban dijalankan dengan selamat dan bertanggungjawab mengikut syarat-syarat pastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.

Pengarah Urusan Jalaluddin Travel & Services Ustaz Jalaluddin Hassan berkata: "Proses korban kali ini tanpa hubungan. Kita tidak suruh mereka datang untuk mengambil daging korban, kita sendiri akan keluar untuk memberikan kepada mereka. Agak sulit tetapi kami berasa senang dan berpuas hati kerana kami juga dapat memainkan peranan walaupun dalam keadaan jaga jarak selamat, tidak boleh berkerumunan."

Walaupun pandemik COVID-19 mungkin meningkatkan trend rakyat Singapura melakukan ibadah korban di luar negara, kedua-dua syarikat tempatan ini berharap syiar ibadah korban akan dapat diteruskan di Singapura pada tahun-tahun mendatang.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan