Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IATA "kecewa" dengan levi baru ke atas penumpang Lapangan Terbang Changi

"Tidak adil bagi para penumpang dan syarikat penerbangan membayar terlebih dahulu kemudahan-kemudahan yang mereka mungkin atau tidak gunakan pada masa akan datang."

Anggaran Waktu Membaca:
IATA "kecewa" dengan levi baru ke atas penumpang Lapangan Terbang Changi

Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: Changi Airport Group)

Diterbitkan : 01 Mar 2018 12:51AM Dikemas Kini : 01 Mar 2018 01:00AM

SINGAPURA: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) "kecewa" dengan keputusan untuk mengenakan bayaran ke atas para penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Changi, dengan levi baru bagi membiayai pembangunan Changi East dan Terminal 5.

Naib Presiden Serantau (Asia Pasifik) syarikat penerbangan global itu, Conrad Clifford memberitahu Mediacorp hari ini (28 Feb) bahawa industri itu tidak bersetuju dengan pembiayaan terlebih dahulu bagi projek-projek prasarana, yang mana para penumpang dan syarikat penerbangan perlu membayar bagi khidmat dan kemudahan yang belum boleh digunakan.

"Tidak adil bagi para penumpang dan syarikat penerbangan membayar terlebih dahulu kemudahan-kemudahan yang mereka mungkin atau tidak gunakan pada masa akan datang. Ia juga bercanggah dengan prinsip Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam mengenakan bayaran bagi kos berkaitan - di mana para penumpang dan syarikat penerbangan dikenakan bayaran bagi kos khidmat yang digunakan," kata beliau.

Beliau menambah sementara IATA mengiktiraf Pemerintah Singapura akan membiayai "sebahagian besar kos" bagi pembangunan Changi East dan Terminal 5, ia masih berasa "kecewa" dengan keputusan untuk meneruskan dengan bayaran tersebut "walaupun sudah menerima maklum balas industri".

"Kami berharap untuk lebih telus berhubung kos yang diunjurkan bagi Changi East dan Terminal 5 dan bagaimana kos itu dibahagikan antara pemerintah, Changi Airport Group, syarikat-syarikat penerbangan dan para penumpang," kata Encik Clifford.

Beliau menekankan sektor penerbangan adalah pemangkin ekonomi dan menambah kapasitinya bukan hanya memanfaatkan masyarakat penerbangan malah seluruh ekonomi Singapura, termasuk pelancongan, perdangangan dan pengilangan.

"Menjadikan kos penerbangan lebih mahal bagi para penumpang akan mewujudkan kesan negatif ke atas pelancongan dan sumbangan sektor penerbangan kepada ekonomi. Menaikkan caj ke atas syarikat-syarikat penerbangan juga menjejas daya maju kewangan khidmat dari dan ke lapangan terbang," kata Encik Clifford.

TAMBANG PENERBANGAN NAIK: JETSTAR

Dalam satu kenyataan, seorang jurucakap Jetstar Asia memberitahu Mediacorp bahawa syarikat penerbangan itu "kecewa dengan lebih banyak cukai lapangan terbang untuk membiayai pembangunan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi".

Jurucakap itu menambah kos dan levi baru itu "perlu dikenakan ke atas para penumpang dan ini bermakna tambang penerbangan yang lebih mahal".

Jetstar menambah tambangnya bagi penerbangan yang berlepas dari Singapura mungkin naik antara 10 dengan 25 peratus, bergantung kepada destinasi. Syarikat itu menyatakan buat masa ini sekitar 80 peratus daripada tambangnya dijual pada harga bawah $100.

Dalam responsnya kepada pertanyaan media, Singapore Airlines menyatakan ia "mengetahui tentang yuran-yuran baru itu dan akan melakukan perubahan yang diperlukan".

SIA menambah ia menyokong rancangan pembangunan Terminal 5 itu.

PEMBIAYAAN TERLEBIH DAHULU SAMA DENGAN LAPANGAN TERBANG LAIN

Pelaksanaan bayaran ke atas para penumpang untuk menyokong perancangan pembangunan juga dilakukan oleh lapangan terbang lain di dunia.

Di Hong Kong, yuran pembinaan lapangan terbang dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016 untuk membantu membiayai landasan ketiga yang akan siap pada tahun 2024.

Para penumpang dari Hong Kong membayar tambahan antara HK$70 (S$12) dengan HK$180 (S$30).

Lapangan terbang di Amiriah Arab Bersatu dan Qatar juga mengenakan cukai ke atas penumpang bagi kerja-kerja peluasan yang berterusan, dengan penumpang yang berlepas dari Dubai membayar sekitar 35 dirham (S$12.60).

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan