Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hutang S$3,000 menjadi S$30,000: Realiti di sebalik pembelian secara ansuran

Cerita 'Linda' yang dibebani hutang S$30,000 selepas membuat pembelian S$3,000 mendedahkan satu realiti skim bayaran ansuran yang banyak menjerat keluarga susah

Anggaran Waktu Membaca:
Hutang S$3,000 menjadi S$30,000: Realiti di sebalik pembelian secara ansuran

Apakah kos sebenar apabila membeli barang secara ansuran? (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Jul 2018 11:03PM Dikemas Kini : 31 Jul 2018 11:02PM

SINGAPURA: Disebabkan terdesak, Linda (bukan nama sebenar) mengambil pelan bayaran secara ansuran pada 2010 untuk membeli sebuah komputer riba, sofa dan mesin pencuci bernilai hampir S$3,000 secara keseluruhan.

Namun ibarat kata pepatah, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sehingga hari ini, Linda masih belum dapat melangsaikan hutangnya, yang kini melonjak kepada S$30,000.

Malangnya, Linda tidak keseorangan dihimpit situasi ini. Beliau antara golongan yang 'diumpan' bayaran bulanan rendah yang ditawarkan oleh gedung perabot dan barangan elektronik di Singapura.

BAYARAN TIDAK MASUK AKAL?

Naib presiden GYC Financial Advisory William Cai berpendapat ada skim bayaran ansuran yang tidak munasabah.

Sebagai contoh, pelan bayaran ansuran pada kadar faedah 26.9% membolehkan seseorang membayar ansuran bulanan hanya S$35 untuk peti sejuk yang berharga S$899.

Namun, di akhir tempoh bayaran lima tahun, pembeli sebenarnya membayar S$2,108 - lonjakan 134.5 peratus daripada harga asal.

"Apa yang saya akan lakukan adalah mencari jenama lebih murah atau barangan terpakai yang murah. Atau jika benar-benar tidak mampu, minta rakan ... membantu saya," kata Encik Cai.

"Ini lebih baik daripada membayar faedah yang begitu banyak." tambahnya.

CARA BAYARAN TIDAK ADIL?

Meskipun begitu, Encik Cai menekankan bahawa bayaran ansuran merupakan sejenis hutang tanpa jaminan, sama seperti kad kredit. Berdasarkan itu sebagai rujukan, ia adil, katanya.

Gambar fail kad kredit. (Gambar: AFP/Damien Meyer)

Apa yang beliau ingin lihat adalah lebih ketelusan kepada pengguna. Peruncit patut merangkumkan bayaran keseluruhan agar pembeli tahu jumlah faedah yang perlu mereka bayar.

Tinjauan rambang Mediacorp mendapati, ramai yang tidak akan mengambil bayaran ansuran jika mereka tahu jumlah faedah yang mereka perlu bayar.

Namun, salah seorang responden pula berpendapat: "Alat penghawa dingin boleh dikatakan satu keperluan, kerana cuaca panas di sini ... Jadi untuk membayar sekitar S$100 sebulan agak wajar bagi seseorang yang bergaji bulanan S$1,600 (atau tidak bergaji tinggi)."

MEMENUHI KEPERLUAN KELUARGA

Syarikat Courts Singapura menawarkan bayaran ansuran pada kadar faedah sifar, dengan kerjasama syarikat kad kredit. Namun pihaknya akur tidak semua orang mempunyai gaji yang cukup tinggi untuk memenuhi kriteria memiliki kad kredit.

"Tujuan Courts adalah untuk mengupayakan pelanggan sedemikian (bergaji rendah) yang perlu membeli barangan mahal bagi memenuhi keperluan asas kehidupan keluarga," menurut gedung tersebut, yang menawarkan pelan ansuran antara sifar hingga 33.99 peratus setahun.

Contoh skim bayaran ansuran yang ditawarkan. (Gambar: Petikan lelaman COURTS)

Syarikat Gain City pula menawarkan skim bayaran ansuran untuk penghawa dingin pada kadar sehingga 18 peratus, namun hanya satu peratus pelanggannya menggunakan pelan tersebut.

Pengurus kanan Gain City Sheena Hu berkata pelan tersebut khusus untuk keluarga yang "benar-benar" memerlukan bantuan membeli alat penghawa dingin, seperti keluarga dengan warga emas, anak kecil ataupun anggota keluarga yang mempunyai alahan kulit.

"Cara pendekatan kami terhadap pelanggan yang mungkin gagal buat bayaran, adalah secara damai," kata Cik Hu.

TERJEBAK DALAM KESULITAN HIDUP

Kebanyakan pelan ansuran boleh dilunaskan jika pembeli mempunyai pendapatan tetap. Namun, bagaimana pula mereka yang menghadapi kesulitan hidup dan sukar membuat bayaran?

Pusat Nasihat Hutang (DAC) kendalian Angkatan Karyawan Islam Singapura (AMP) menyatakan sekitar 20 peratus kes yang dikendalikannya melibatkan hutang bayaran ansuran.

65 hingga 75 peratus golongan ini datang dari keluarga berpendapatan rendah.

Encik Saiful Nizam (Gambar: Mediacorp)

Pengurus khidmat sosial di pusat itu, Encik Saiful Nizam Jemain, berkata: "Pihak peruncit menawarkan kemudahan bayaran kredit yang tidak membezakan tahap pendapatan. Maka itu golongan berpendapatan rendah tertarik kerana ... mereka boleh membeli barangan secara termampu."

Meskipun sebahagian peruncit menyatakan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar, ramai yang tidak memaklumkan kepada pembeli denda yang dihadapi jika gagal membuat bayaran.

IBARAT SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

Malah itulah yang berlaku kepada Cik Linda.

Pada mulanya berupaya melunaskan bayaran bulanan, keadaan mula berubah apabila suaminya ditimpa kemalangan.

"Beliau tidak bekerja hampir setahun, jadi sejak hari itu, kami gagal membayar," jelas beliau.

(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Kini beliau dibebani bayaran tertangguh sebanyak S$20,000, termasuk denda kerana lewat bayaran. Beliau juga menerima surat peguam dari pihak kedai dan SMS daripada pengutip hutang yang mengugut untuk datang ke rumahnya jika beliau gagal lagi membuat bayaran.

Cik Linda pernah bertanya kepada jurujual tentang kadar faedah yang perlu ditanggung jika beliau lewat membuat bayaran.

"(Ketika itu) Beliau beritahu saya, 'Sedikit sahaja - jangan takut, kami akan faham'", katanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan