Images
  • hunter
    Orang awam dapat menyaksikan Kenderaan Gempur Berperisai 'Hunter' semasa Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini. (Gambar: Najeer Yusof/TODAY)

'Hunter' kenderaan gempur berperisai terbaru SAF gantikan M113

SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), memperkenalkan aset berperisai terkini - kenderaan generasi baru yang lebih mengancam, lebih cepat dan lebih selamat bagi para pengendalinya.

Kenderaan Gempur Berperisai Hunter itu, yang menggantikan kenderaan lama Ultra M113, dilancarkan oleh Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen hari ini (11 Jun) di Perbarisan menyambut ulang tahun ke-50 Pasukan Berperisai SAF.

Kenderaan berperisai Hunter menggunakan sistem digital sepenuhnya, lantas lebih bijak di medan tempur.

Sistem pengawasannya juga beroperasi sepanjang masa, bermakna ia dapat memantau setiap sudut tanpa terlepas pandang.


Hunter dilengkapi senjata canggih seperti meriam 30 milimeter dan peluru berpandu penangkis kereta perisai. Ia juga lebih pantas dan boleh bergerak pada jarak lebih jauh.

Lebih penting lagi, kakitangan kenderaan Hunter boleh mengenal pasti dan mengongsi maklumat dengan askar-askar negara sahabat.

Namun, gerakan mencari musuh bermula di kokpit menggempur bersepadu. Di kokpit itulah komander kenderaan bersama-sama penembak meriam mengendalikan mesin yang boleh mengesan dan bertindak terhadap sasaran.

"Kenderaan Gempur Berperisai Hunter adalah pusat transformasi generasi akan datang tentera kita.

"Ia kenderaan pertama yang sepenuhnya digital dalam tentera Singapura. Ia menggabungkan teknologi-teknologi bijak dan digital yang memenuhi keperluan askar-askar era modern ini yang kian bijak teknologi," ujar Ketua Pegawai Perisai, Tentera Singapura, Brigadier Jeneral Yew Chee Leung.

Hunter juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti butang kecemasan yang boleh menghentikan kenderaan dengan serta-merta. Ia dibangunkan bersama oleh Tentera Singapura, ST Engineering serta Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA).

Kementerian Pertahanan enggan mendedahkan kos mahupun saiz armada tersebut.

Askar-askar sepenuh masa dan para jurulatih sedang mempelajari cara untuk mengendalikan Hunter. Mulai tahun depan, para kadet dan unit-unit tempur yang lain pula akan menjalani latihan tersebut.


Senjata terbaru Singapura ini akan membuat kemunculan awamnya yang pertama semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) Ogos ini.

Dalam ucapannya Dr Ng menambah bahawa SAF sudah melabur dengan banyak bagi Pasukan Berperisai, termasuk memperkenalkan kenderaan berperisai yang dipertingkat seperti M113, Bionix dan Leopard 2SG.

"Bagi tentera-tentera di seluruh dunia, Pasukan Berperisai masing-masinglah yang menakut-nakuti penceroboh dengan kekuatan keluli dan tembakannya. Jika bukan untuk menghalang, ia bertujuan mencari perdamaian atau sekurang-kurangnya untuk mencatat kebuntuan.

"Ini masih nyata hari ini dalam peperangan moden, walaupun ada kemajuan dalam teknologi dan wadah-wadah baru di udara, darat dan laut," ujar Dr Ng.

Menurut beliau lagi dalam keadaan sebenar ataupun dalam filem, askar-askar bersorak apabila pasukan berperisai muncul.

Ini kerana ia bermakna peluang untuk hidup dan mencapai kejayaan misi lazimnya bertambah baik. 

- CNA/MM/fz

Top