Images
  • security guard
    Gambar fail pegawai keselamatan.

Hukuman lebih berat diusul terhadap orang yang aniaya pengawal keselamatan

SINGAPURA: Pengawal keselamatan bakal mendapat lebih banyak perlindungan daripada menjadi mangsa penganiayaan semasa bertugas, dengan hukuman dikenakan terhadap orang yang mengganggu, menyerang atau mencederakan mereka di bawah pindaan Rang Undang-Undang Industri Keselamatan Swasta yang dibentangkan di Parlimen hari ini (13 Sep).

Hukuman itu lebih berat daripada yang dikenakan ke atas individu yang melakukan kesalahan sama terhadap orang awam.

Dibentangkan oleh Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen, pindaan tersebut juga mengusulkan untuk menggugurkan keperluan bagi perunding keselamatan mendapatkan lesen di bawah Undang-Undang tersebut.

Konsultan keselamatan akan sebaliknya digalak mendapat pentauliahan di bawah Program Pentauliahan Konsultan Keselamatan (Scap) yang diterajui industri berkenaan.

Program yang dilancarkan pada Januari tahun lalu itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menambah bekalan konsultan keselamatan yang cekap.

Sejauh ini, terdapat 17 konsultan keselamatan yang diiktiraf di bawah Scap.

Undang-Undang Industri Keselamatan Swasta digubal pada 2007 bagi mengendalikan hal ehwal industri keselamatan swasta, termasuk penyiasat, pengawal keselamatan dan agensi.

Pembentangan pindaan tersebut dibuat menyusuli beberapa insiden berprofil tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan pengawal keselamatan dianiaya oleh orang awam.

Pada tahun 2019, satu rakaman video yang tular menunjukkan seorang lelaki bercakap kasar kepada seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium berhubung bayaran S$10 untuk meletak kereta bagi pelawat. Lelaki itu, jurubank pelaburan Ramesh Erramalli, kemudian diberi amaran keras oleh polis.

Pada tahun yang sama, warga Britain, Stuart Boyd Mills dipenjara seminggu kerana melemparkan kata-kata kesat pada seorang penyelia keselamatan berusia 59 tahun di Pusat Beli-belah Roxy Square, menyebabkannya jatuh tersungkur dan kemudian menumbuk muka pegawai tersebut.

Tinjauan bersama yang dijalankan Kesatuan Pekerja Keselamatan dan Universiti Sains Kemasyaratan Singapura pada tahun lalu mendapati kes melibatkan penganiayaan pegawai keselamatan di tempat kerja meningkat hampir satu pertiga sejak pandemik COVID-19 bermula.

Selain itu, kira-kira 40 peratus pegawai melaporkan mengalami beberapa bentuk penderaan semasa bertugas.

HUKUMAN DISARANKAN

Pindaan terhadap Rang Undang-Undang itu akan memperkenalkan kesalahan baru bagi menangani jenis penganiayaan dan gangguan yang biasa dihadapi pegawai keselamatan semasa bertugas.

Kesalahan itu termasuk sengaja menyebabkan gangguan, rasa cemas atau gelisah kepada pegawai keselamatan.

Sekiranya diluluskan, pesalah boleh dipenjara hingga satu tahun, didenda tidak lebih S$5,000, atau kedua-duanya.

Sebagai perbandingan, mereka yang melakukan kesalahan yang sama terhadap orang awam boleh dipenjara hingga setengah tahun, didenda hingga S$5,000, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap pegawai keselamatan, pesalah boleh dipenjara hingga dua tahun, didenda tidak lebih S$7,500, atau kedua-duanya.

Hukuman itu adalah lebih berat daripada jenayah serupa terhadap orang awam iaitu penjara hingga tiga bulan, denda hingga S$1,500, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, pesalah boleh dihukum penjara hingga lima tahun, denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya.

- CNA/SU/ha

Top