Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman lebih berat bagi kesalahan mencabul, dua jenayah seksual lain di bawah saranan pindaan Kanun Keseksaan

Satu rang undang-undang baru dibentangkan pada Isnin (2 Ogos) yang memperuntukkan hukuman lebih berat bagi tiga jenis kesalahan seksual.

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman lebih berat bagi kesalahan mencabul, dua jenayah seksual lain di bawah saranan pindaan Kanun Keseksaan

(Gambar hiasan: Ekaterina Bolovtsova/Pexels)

Diterbitkan : 02 Aug 2021 10:38PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 11:47PM

SINGAPURA: Satu rang undang-undang baru dibentangkan pada Isnin (2 Ogos) yang memperuntukkan hukuman lebih berat bagi tiga jenis kesalahan seksual. Ia menyusuli satu semakan tentang bagaimana jenayah seksual dan jenayah berkaitan kesan trauma, termasuk perbuatan intai dan mengedarkan gambar-gambar intim, dikenakan hukuman oleh mahkamah Singapura.

Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang K Shanmugam mengumumkan demikian pada bulan Mac ketika memberi ucapan di Parlimen berhubung perdebatan hangat tentang hukuman ke atas beberapa pelajar universiti yang melakukan kesalahan seksual. Ramai yang mengatakan hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal kesalahan yang dilakukan.

Jika diluluskan, ini merupakan kali kedua Kanun Keseksaan - satu bahagian penting rangka kerja undang-undang jenayah Singapura - dipinda sepanjang tiga tahun lalu. Ia melalui perubahan besar pada 2019 apabila beberapa undang-undang baru digubal bagi menangani trend jenayah baru, di samping mengemaskini undang-undang sedia ada agar lebih mudah difahami dan jelas.

Rang undang-undang terbaru, yang dijangka dibahaskan di Parlimen pada September, termasuk usaha meluaskan dan menjelaskan skop kesalahan dan pembelaan tertentu, selain mengemaskini bahasa istilah-istilah tertentu.

Berikut adalah pindaan yang dicadangkan:

HUKUMAN LEBIH BERAT BAGI TIGA JENAYAH SEKSUAL

Tempoh hukuman penjara maksimum ke atas tiga kesalahan seksual ini akan ditambah iaitu:

  • Mencabul, atau mencabul kehormatan: Dari dua tahun kepada tiga tahun
  • Perbuatan seksual dengan kehadiran individu bawah umur berusia antara 14 dengan 16, atau menunjukkan gambar seksual kepada individu bawah umur: Dari setahun kepada dua tahun
  • Perbuatan seksual dengan kehadiran individu bawah umur berusia antara 16 dengan 18, atau menunjukkan gambar seksual kepada individu bawah umur, jika pesalah menjalin hubungan tidak sihat dengan pasangan bawah umur: Dari setahun kepada dua tahun

Hukuman lebih berat bagi kesalahan mencabul itu diusul menyusuli peningkatan 24 peratus kes yang dilaporkan dari 2016 hingga 2020, dengan purata 1,190 kes mencabul kehormatan dilaporkan setiap tahun.

Menurut kenyataan bersama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw), pindaan itu bertujuan meningkatkan pencegahan dan membolehkan mahkamah menangani kes yang lebih teruk dengan hukuman yang lebih berat.

Perubahan kepada dua lagi kesalahan, yang berkuat kuasa dari 1 Jan 2020, bertujuan menetapkan hukuman maksimum melibatkan komunikasi seksual dengan budak bawah umur yang sudah membawa hukuman penjara dua tahun.

MENGEMBANGKAN DAN MENJELASKAN SKOP KESALAHAN TERTENTU

Rang undang-undang itu juga meluaskan skop kesalahan untuk merangkumi:

  • Penipuan berkaitan risiko dijangkiti penyakit melalui hubungan seks (misalnya, seorang individu boleh didakwa kerana berbohong kepada mangsa akan menggunakan perlindungan apabila mengadakan hubungan seks, dan gagal menyatakan mereka dijangkiti penyakit jangkitan kelamin)
  • Individu yang mendorong mangsa untuk setuju disentuh secara seksual oleh pihak ketiga
  • Kesalahan berkaitan perbuatan intai, bahan berkaitan penderaan kanak-kanak, bahan melibatkan individu bawah umur berusia antara 16 dengan 18

Pindaan akan menjelaskan lebih terperinci:

  • Bahawa kesalahan berkaitan perbuatan intai dan gambar-gambar intim atau rakaman boleh dianggap sedemikian jika bahagian kelamin mangsa, bukan sahaja kemaluannya, dilihat atau dirakam
  • Bahawa istilah "punggung" yang digunakan untuk kesalahan berkaitan perbuatan intai, bahan penderaan kanak-kanak, serta bahan yang melibatkan individu bawah umur berusia antara 16 dengan 18 merangkumi bahagian dubur, demi mengelakkan kesamaran dalam penggunaan istilah-istilah tersebut
  • Bahawa "bahan penderaan kanak-kanak" dan "bahan penderaan" merangkumi gambar-gambar bahagian kelamin individu di bawah umur, tidak kira terdedah atau tertutup

BERI MAKLUMAT PALSU KEPADA PENJAWAT AWAM

Pindaan rang tersebut juga berusaha meningkatkan tempoh penjara maksimum kepada mereka yang memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam, dari tiga bulan menjadi enam bulan.

Undang-undang sedia ada tidak mengenakan tindakan ke atas mereka yang mengelirukan polis tentang identiti suspek, menyebabkan pegawai polis meluangkan lebih banyak masa untuk mencari suspek.

Perubahan yang disarankan dalam mengatasi senario sedemikian kerana "ini bukan hanya masalah membazir sumber daya polis, tetapi juga membahayakan keselamatan masyarakat". "Jika suspek masih berleluasa, dia boleh melakukan lebih banyak kesalahan, yang mungkin akan mengakibatkan lebih banyak mangsa,” kata kenyataan itu.

Rang Undang-Undang itu juga akan menjelaskan bahawa halangan terhadap pekerjaan penjawat awam mungkin timbul apabila maklumat palsu diberikan.

Halangan yang dimaksudkan itu bukan hanya berbentuk fizikal.

Di bawah pindaan yang diusulkan, seseorang yang memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam dengan niat untuk menyebabkan mereka melakukan pekerjaan dengan kurang berkesan dan cekap akan menjadi suatu jenayah.

Rang undang-undang tersebut menyarankan tempoh hukuman penjara maksimum kepada mereka yang memberikan maklumat palsu ditambah dari tiga bulan menjadi enam bulan.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan