Images
  • haze1
    Keadaan jerebu di Singapura pada 18 Sep. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Hujan awal minggu depan dijangka beri S'pura 'kelegaan sementara' dari jerebu

SINGAPURA: Peralihan arah angin dan hujan di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia awal minggu ini dijangka memberi Singapura "kelegaan sementara" daripada jerebu, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Jumaat (20 Sep).

Selang beberapa hari akan datang, bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) dijangka berada antara tahap lebih tinggi bagi paras sederhana hingga tahap rendah paras tidak sihat, dedah NEA.


Bagaimana, mungkin akan ada sedikit kelegaan dalam beberapa hari akan datang.

"Awal minggu depan, kami menjangkakan hujan di rantau ini, jadi ini dijangka memberi sedikit kelegaan kepada keadaan kering. Hujan itu diharapkan membantu mengurangkan keadaan jerebu di rantau ini," kata pengarah khidmat cuaca bagi Jabatan Kaji Cuaca Singapura, Dr Patricia Ee.

Hujan yang semakin kerap di Sumatera dan Kalimantan juga boleh meningkatkan mutu udara di Singapura, menurut NEA.

Setelah berada di paras tidak sihat sejak hujung minggu lalu, mutu udara semakin baik semalaman pada Khamis dan pagi Jumaat. Bacaan 24 jam PSI pada 1.00 petang pada Jumaat berada dalam lingkungan sederhana.

Menurut NEA, bacaan PSI pada paras 50 ke bawah menandakan mutu udara yang baik, 51 hingga 100 bagi paras sederhana dan 101 hingga 200 bagi paras tidak sihat.

Bacaan sejam PM2.5 pada 1.00 petang pada Jumaat berada antara 26 hingga 36µg/m3, iaitu pada tahap normal.

PM2.5 adalah kiraan partikel kecil kurang dari garis pusat 2.5 mikrometer di udara.

Apabila bacaan PM2.5 berada pada paras yang meninggi, partikel-partikel kecil boleh menjejas jantung dan paru-paru, terutama sekali bagi mereka yang mempunyai keadaan kronik jantung dan paru-paru.

- CNA/IM/im

Top