Images
  • ma'ruf amin
    (Gambar: Mediacorp)

Hubungan Singapura-Indonesia perlu 'terus diperkukuh': Naib Presiden Ma'ruf Amin

JAKARTA: Hubungan antara Singapura dengan Indonesia perlu sentiasa diperkukuh dalam setiap aspek termasuk politik, ekonomi dan keselamatan, kata Naib Presiden Indonesia Ma'ruf Amin.

Dalam wawancara eksklusif bersama Mediacorp pada Khamis lalu (28 Nov), Encik Ma'ruf berkata isu-isu yang berpotensi menggugat kestabilan sesebuah negara seperti pengganasan dan ekonomi yang lemah, akan menjejas satu lagi pihak.

"Sebagai negara jiran, sesebuah negara akan merasakan kesannya apabila satu lagi negara mengalami kesukaran, bencana, ketidakstabilan," kata Encik Ma'ruf dalam wawancara pertamanya dengan media antarabangsa sejak dilantik pada Oktober.

Beliau berkata Singapura dan Indonesia perlu membantu satu sama lain bagi mengekalkan kestabilan dalam rantau ini.

"(Kami) perlu sentiasa mengukuhkan hubungan dalam setiap aspek - politik, ekonomi dan keselamatan," tambahnya lagi.

Singapura merupakan pelabur terbesar Indonesia sejak 2014.

Naib Presiden berusia 76 tahun itu yang merupakan seorang tokoh ulama terkemuka, percaya syarikat-syarikat Singapura boleh melabur dengan lebih banyak di Indonesia. Misalnya, kerjasama ekonomi boleh dipertingkat dalam kawasan khas yang merangkumi Singapura, Batam dan Bintan, katanya.

Indonesia sedang merancang untuk membina jambatan laut terpanjang negara itu yang menghubungkan pulau-pulau Batam dan Bintan yang terletak berhampiran Singapura.

Kerja-kerja binaan jambatan sepanjang 7 kilometer itu akan bermula pada 2020, dalam usaha mengembangkan sektor perniagaan dan pelancongan antara SIngapura dengan Indonesia. Projek itu akan menelan belanja sekitar 4 trilion rupiah (S$389 juta).

PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

Menurut Encik Ma'ruf lagi, terdapat juga potensi bagi lebih banyak kerjasama dalam pendidikan.

"Kami sudah lihat betapa majunya pendidikan di Singapura. Kami mahukan itu (di Indonesia juga), sama ada ia pendidikan formal atau vokasional.

"Kami sedang membangunkan sumber tenaga manusia dan itulah sebabnya kerjasama antara Indonesia dengan Singapura, terutama sekali dalam pendidikan vokasional adalah sesuatu yang sangat diperlukan," katanya.

Encik Ma'ruf berharap Singapura dapat menyediakan latihan vokasional kepada rakyat Indonesia yang tidak menjalani pendidikan vokasional untuk menjadikan mereka pekerja yang produktif.

"Singapura mempunyai semua kekuatan ini dan boleh bekerjasama dengan Indonesia."

Kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju untuk meneroka kerjasama lanjut dalam pendidikan vokasional.

Pemerintah Indonesia yang dipimpin oleh Presiden Joko Widodo menjadikan pembangunan sumber tenaga manusia sebagai salah satu keutamaannya dalam penggal baru pemerintahannya. Keutamaan lain termasuk pembangunan infrastruktur, memudahkan peraturan, serta pembaharuan birokrasi dan transformasi ekonomi.

Indonesia berada pada kedudukan 87 daripada 157 negara dalam indeks modal insan Bank Dunia tahun lalu, yang meneliti jumlah kematian, persekolahan dan kesihatan dalam kalangan belia. Singapura berada di tempat pertama.

"Ini salah satu daripada keutamaan negara, membangunkan sumber tenaga manusia.

"Pendidikan sangat penting supaya para lulusan kami, sama ada menengah atau di peringkat pengajian tinggi cekap dan sedia diambil bekerja (oleh syarikat)," kata Encik Ma'ruf.

Apabila ditanya tentang butiran terperinci mengenai bagaimana Singapura boleh bekerjasama dengan Indonesia dalam sektor pendidikan, Encik Ma'ruf berkata: "Ada beberapa pilihan. Ia mungkin guru-guru (dihantar dari Singapura), ia juga mungkin para pelajar kami dihantar ke Singapura."

"Atau mungkin Singapura boleh membangunkan sekolah-sekolah di sini di bawah pelbagai keadaan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak," tambahnya lagi.

Minggu lalu, Presiden Jokowi mengaku di Forum CEO di Jakarta bahawa membangunkan sumber tenaga manusia adalah tugas paling sukar.

Buat masa ini, terdapat sekitar 220,000 buah sekolah di seluruh kepulauan Indonesia dengan 45 juta pelajar, menurut data pemerintah.

JEREBU RENTAS SEMPADAN

Satu lagi aspek penting yang perlu ditangani oleh kedua-dua negara adalah persekitaran, kata Encik Ma'ruf.

Selama beberapa tahun, Indonesia mengalami kebakaran hutan dan tanah secara musiman yang menyebabkan jerebu di rantau itu.

"Tidak lama dahulu Singapura juga membantu kami menangani kebakaran hutan. Ini juga penting kerana kesannya turut akan dirasakan oleh Singapura," kata Encik Ma'ruf.

Meskipun kebakaran tahun ini tidak seteruk kebakaran pada 2015 apabila 2.6 juta hektar tanah dibakar dan jerebu merebak sejauh Thailand, Filipina dan Vietnam, isu itu terus membelenggu rantau ini.

Agensi bencana kebangsaan menyatakan pada September lalu 99 peratus daripada kebakaran hutan dan tanah berpunca daripada manusia, dipercayai dilakukan dengan sengaja untuk membersihkan tanah pemerintah bagi pertanian.

Menurut Encik Ma'ruf, pemerintah sedang cuba mencegah perkara sama berulang tahun depan.

Buat permulaan, pemerintah Indonesia sedang menumpukan terhadap langkah pencegahan dan melibatkan beberapa kumpulan dan syarikat yang relevan untuk bekerjasama dengan pemerintah.

"Kami bekerjasama dengan mereka untuk mencegah dan membuat persediaan menghadapi kebakaran. Kami sedang memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan." 

- CNA/HA/ha

Top