Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA turunkan senarai online produk yang dakwa boleh 'cegah dan sembuh' COVID-19

Senarai online produk yang membuat dakwaan kesihatan palsu atau mengelirukan, seperti dapat mencegah dan menyembuhkan virus korona COVID-19, sudahpun diturunkan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Anggaran Waktu Membaca:
HSA turunkan senarai online produk yang dakwa boleh 'cegah dan sembuh' COVID-19

Contoh produk yang membuat dakwaan kesihatan palsu atau mengelirukan. (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 19 Mar 2020 10:59PM Dikemas Kini : 19 Mar 2020 11:01PM

SINGAPURA: Senarai online produk yang membuat dakwaan kesihatan palsu atau mengelirukan, seperti dapat mencegah dan menyembuhkan virus korona COVID-19, sudahpun diturunkan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan penguatkuasaan berasaskan Internet yang diselaraskan oleh Interpol.

Operation Pangea, yang berlangsung dari 3 hingga 10 Mac, menyaksikan lebih 2,500 senarai produk di wadah-wadah e-dagang tempatan diturunkan, menurut HSA dalam satu kenyataan media pada Khamis (19 Mac).

Kira-kira separuh senarai produk itu membuat dakwaan palsu berkaitan dengan COVID-19 seperti dapat "menguatkan sistem imun terhadap virus korona" atau "mencegah dan menyembuhkan virus korona", menurut HSA lagi.

Antara produk yang disenaraikan ialah “Ayurveda herbs for Corona Virus” dan “Norwegian Spruce Extract” untuk "mencegah COVID-19".

"Tidak ada bukti bahawa sebarang suplemen kesihatan, perubatan Cina, ubat tradisional, herba atau produk "clip-on" boleh meningkatkan sistem imun khusus untuk membantu mencegah, melindungi atau merawat COVID-19," kata pihak berkuasa.

Kit ujian yang mendakwa dapat mendiagnos COVID-19 dalam masa 10 minit juga dikesan. HSA menyatakan tiada bukti bahawa kit ujian yang dibeli online dapat mengesan virus korona baru yang menyebabkan COVID-19 dengan tepat dalam beberapa minit. Ujian hanya boleh dilakukan di makmal klinikal atau karyawan perubatan di klinik serta hospital untuk memastikan keputusan ujian dan diagnosis yang tepat, menurutnya.

HSA menyatakan pengguna yang membeli produk dengan dakwaan mengelirukan itu mungkin akan merasakan dirinya selamat dan berlengah untuk mendapatkan rawatan jika mereka berasa tidak sihat.

BAKI PRODUK KESIHATAN TIDAK DIGUNAKAN DIJUAL

Beberapa penjual mengambil langkah-langkah untuk mengelak daripada ditangkap manakala yang lain pula menjual lebihan produk kesihatan atau yang tidak digunakan, menurut HSA.

Penjual yang cuba mengelak daripada dikesan mengiklankan produk mereka sebagai jenama sabun dan syampu tempatan sedangkan ia sebenarnya adalah produk dan krim perubatan.

Dari 1 Januari hingga 10 Mac 2020, lebih 1,100 akaun penjual unik diberikan amaran mengenai peraturan yang perlu mereka patuhi, menurut HSA.

Terdapat juga individu yang menjual belen produk atau produk kesihatan yang tidak digunakan seperti krim steroid, krim antibiotik dan ubat penahan sakit. Ramai daripada mereka adalah penjual kali pertama yang mendakwa tidak sedar produk tersebut harus diberikan oleh doktor.

HSA menyatakan penjualan ubat yang perlu preskripsi doktor adalah satu jenayah di bawah Akta Produk Kesihatan.

Untuk melindungi diri mereka, pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati apabila membeli produk kesihatan online dan mengambil perhatian terhadap dakwaan yang tidak dapat disahkan.

"Sesiapa yang membekalkan produk kesihatan sedemikian boleh didakwa dan jika disabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga S$100,000." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan