Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA rayu penderma darah; bekalan merosot ke paras kritikal semasa penularan COVID-19

Sedang bank darah Singapura memantau dengan teliti proses memeriksa penderma darah semasa wabak virus korona COVID-19, pihak berkuasa merayu kepada penderma darah yang sihat untuk mendermakan darah kerana bekalan sudah merosot ke paras rendah atau kritikal. 

Anggaran Waktu Membaca:
HSA rayu penderma darah; bekalan merosot ke paras kritikal semasa penularan COVID-19

(Gambar: Sasiistock/Canva)

Diterbitkan : 15 Feb 2020 12:27PM Dikemas Kini : 15 Feb 2020 12:28PM

SINGAPURA: Sedang bank darah Singapura memantau dengan teliti proses memeriksa penderma darah semasa wabak virus korona COVID-19, pihak berkuasa merayu kepada penderma darah yang sihat untuk mendermakan darah kerana bekalan sudah merosot ke paras rendah atau kritikal.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp pada Jumaat (14 Feb), Penguasa Sains Kesihatan (HSA) yang menguruskan bank darah Singapura menyatakan: "Bekalan darah kami kini menyaksikan trend yang merosot. Maka itu, kami menggesa penderma yang sihat dan layak untuk tampil kerana para pesakit kami benar-benar memerlukan sokongan anda semasa waktu mencabar ini".

Dengan langkah berjaga-jaga tambahan, seperti pemeriksaan lebih ketat ke atas para penderma sebelum mereka dibenarkan ke dalam bank darah, HSA menyatakan risiko dijangkiti COVID-19 ketika mendermakan darah dinilai sebagai rendah.

Palang Merah Singapura menyatakan di laman webnya pada Jumaat (14 Feb) bahawa bekalan bagi darah jenis A+, B+, O+ serta AB+ berada pada paras "kritikal" dan tahap "rendah" bagi darah jenis A-, B-, O- serta AB-.

Apabila bekalan darah berada pada paras kritikal, ini bermakna bahawa penderma diperlukan dengan segera dan akan digesa supaya mendermakan darah pada hari yang sama.

Bagi jenis darah di mana bekalannya rendah, para penderma digesa mendermakan darah mereka dalam tempoh minggu yang sama.

HSA menyatakan darah diperlukan setiap hari untuk menyokong keperluan para pesakit di Singapura. Penguasa itu menambah bahawa adalah penting untuk mengekalkan bekalan darah bagi tempoh sekurang-kurangnya selama enam hari pada setiap masa untuk keperluan memasukkan darah dan kes-kes kecemasan melibatkan pendarahan.

Tahun lalu, terdapat 75,655 penderma darah atau hanya sekadar 1.87 peratus daripada penduduk tempatan.

Buat masa ini, HSA menyatakan, tiada bukti bahawa COVID-19 boleh dijangkiti menerusi darah.

Sekalipun demikian, pihak berkuasa sudahpun meletakkan pelbagai langkah untuk menjaga keselamatan bekalan darah dan kesihatan para pendermanya.

Sejak 7 Februari lalu - apabila Singapura menaikkan tahap amaran DORSCON kepada Jingga - HSA sudah mula memeriksa para penderma yang berpotensi serta peneman mereka bagi tanda-tanda demam atau simptom pernafasan seperti batuk atau selesema serta sejarah perjalanan ke China, sebelum mereka boleh memasuki bank darah atau pusat derma bergerak.

Mereka yang tidak sihat, menjalani cuti ketidakhadiran (LOA) selama 14 hari atau yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lalu akan dilarang dari memasuki kemudahan itu.

Selain meningkatkan pemeriksaan ke atas para penderma, HSA menyatakan kakitangannya juga memeriksa suhu badan mereka dua kali sehari dan disuruh memakai pelitup serta berjumpa doktor jika mereka demam atau mengalami simptom pernafasan.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan