Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA nasihat elak guna pelitup keluaran syarikat Vision Empire International

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menasihatkan orang ramai agar berhenti memakai pelitup keluaran syarikat tempatan yang sedang disiasat atas dakwaan menghasilkannya secara haram di sebuah kemudahan di Ubi Crescent.

Anggaran Waktu Membaca:
HSA nasihat elak guna pelitup keluaran syarikat Vision Empire International

Kotak pelitup keluaran syarikat Vision Empire Healthcare yang dirampas. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)

Diterbitkan : 11 Jun 2021 02:08PM Dikemas Kini : 11 Jun 2021 02:15PM

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menasihatkan orang ramai agar berhenti memakai pelitup keluaran syarikat tempatan yang sedang disiasat atas dakwaan menghasilkannya secara haram di sebuah kemudahan di Ubi Crescent.

Kemudahan itu yang dimiliki Vision Empire International, disyaki menghasilkan pelitup tanpa lesen daripada HSA, iaitu satu syarat di bawah Akta Produk Kesihatan, menurut agensi tersebut dalam satu kenyataan media pada Jumaat (11 Jun).

HSA menyatakan ia menemui kemudahan yang didakwa digunakan untuk membuat dan membungkus semula pelitup secara haram itu pada 31 Mei. Menurut agensi itu lagi, pelitup-pelitup didapati "dihasilkan dalam sekitaran tidak bersih serta diletakkan dalam kotak-kotak karton yang terbiar."

Kemudahan di Ubi Crescent di mana pelitup-pelitup yang dihasilkan secara haram ditemui. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)

Sebanyak 33 karton mengandungi sekitar 2,500 pelitup setiap satu dirampas, menurut HSA.

Syarikat itu juga disyaki mengimport pelitup dari luar negara yang kemudian dibungkus dan dilabel dengan jenama lain sebelum dijual semula, meskipun tidak mempunyai lesen untuk melakukan sedemikian.

Pelitup-pelitup yang dibungkus semula dijual di bawah jenama "Vision Empire Healthcare," menurut HSA lagi.

Siasatan awal mendapati pelitup-pelitup itu dijual di platform e-dagang tempatan pada harga antara S$10 hingga S$22 untuk setiap satu kotak yang mengandungi 50 pelitup.

Ia sudahpun diturunkan daripada platform-platform tersebut dan HSA sudahpun mengarah syarikat itu untuk menarik balik produk-produk mereka di pasaran.

Siasatan lanjut sedang dijalankan, menurut HSA.

Dalam amaran tersebut, HSA menyatakan pelitup-pelitup dari kemudahan-kemudahan tidak berlesen tidak disahkan sebagai memenuhi piawaian mutu, keupayaan penapisan dan kebolehan pernafasan yang sesuai.

Apabila dihubungi Mediacorp, Pengarah Penjualan Vision Empire Healthcare Kelviin Tay berkata beliau "agak terkejut".

"Saya tidak rasa ia benar untuk katakan ia haram kerana buat masa ini, kami sedang bekerjasama dengan mereka (HSA)," kata Encik Tay.

"Tidak ada sebarang tuduhan atau rumusan tentang perkara ini," tambahnya.

Menurut beliau, syarikat itu mula menghasilkan pelitup sekitar Ogos tahun lalu tetapi henti beroperasi pada awal Februari kerana tidak mampu bertahan.

"Kami memang ada lesen untuk import dan eksport pada ketika itu. Pada ketika itu, HSA mahu memastikan pelitup kami mematuhi syarat," dakwa beliau.

Encik Tay berkata syarikatnya sudahpun menghantar pelitup-pelitup mereka untuk ujian dan sudahpun menghantar keputusan keberkesanan pelitup itu untuk menapis bakteria kepada HSA.

Ia juga sudah menghentikan penjualan pelitup pada hujung bulan Mei, seperti yang diarahkan HSA.

HSA menyatakan ia akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam pengilangan atau/dan pembekalan pelitup secara haram. Sesiapa yang didapati berbuat demikian boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan