Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA kaji semula ubat semput setelah ibu bapa gesa amaran dikeluarkan

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sedang mengkaji semula sejenis bahan yang ditemui dalam ubat semput dan alahan yang diberikan oleh doktor-doktor di Singapura. Ini setelah ia didapati, dalam kejadian yang jarang berlaku, menyebabkan gangguan tidur, keresahan dan kemurungan. 

Anggaran Waktu Membaca:
HSA kaji semula ubat semput setelah ibu bapa gesa amaran dikeluarkan

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 29 Sep 2020 09:20AM Dikemas Kini : 29 Sep 2020 09:21AM

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sedang mengkaji semula sejenis bahan yang ditemui dalam ubat semput dan alahan yang diberikan oleh doktor-doktor di Singapura. Ini setelah ia didapati, dalam kejadian yang jarang berlaku, menyebabkan gangguan tidur, keresahan dan kemurungan.

Bahan tersebut, montelukast - ditemui dalam ubat biasa yang dikenali sebagai Singulair dan ia diberikan kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami semput atau alahan yang disebabkan oleh zarah udara.

HSA turut mendedahkan bahawa setelah kajian semulanya dijalankan, ia akan mengeluarkan nasihat untuk mengingatkan karyawan jagaan kesihatan tentang "kesan sampingan yang diketahui tetapi jarang berlaku" yang disebabkan oleh ubat tersebut. Ia akan menjadi nasihat pertama HSA mengenai montelukast.

Sesetengah ibu bapa di sini menggesa supaya para doktor diwajibkan menerangkan tentang risiko-risiko ubat tersebut sebelum memberikannya kepada pesakit. Ini setelah anak-anak mereka mula mengalami episod keresahan dan kemurungan selepas menggunakan ubat berkenaan - satu kesan sampingan yang menurut para ibu bapa tidak diterangkan dengan jelas kepada mereka.

Anak perempuan Cik Jacqueline Lim yang berusia 11 tahun menggunakan Singulair setiap hari sejak 2018. Beliau berkata doktor memberitahunya bahawa ubat itu selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak.

Namun, awal tahun ini, Cik Lim mula perasan anak perempuannya itu menjadi lebih resah dan bersikap pesimis daripada biasa. Bagaimanapun, beliau tidak bimbang pada awalnya.

Anaknya itu kemudian berhenti menggunakan ubat tersebut pada Jun setelah doktor kedua mengisytiharkannya bebas daripada semput. Dua bulan kemudian, sikap anak Cik Lim berubah secara mendadak sehingga bertambah buruk.

Anak perempuannya itu mula menjadi paranoid bahawa dia akan ditikam dan mula berkhayal tentang dirinya dicubit. Budak itu juga akan berulang kali mengira alat tulisnya dan menjadi cemas jika dia tersalah letak sesuatu.

Menerusi rakan-rakannya, Cik Lim mendapat tahu tentang ibu bapa lain yang anak-anak mereka juga melalui perubahan sikap yang serupa.

Cik Lim memulakan satu petisyen online pada Ogos, yang menerima sekitar 540 tandatangan, antara lain bagi menggesa HSA supaya mewajibkan semua doktor memaklumkan ibu bapa tentang risiko ubat berkenaan dan mengkaji semula protokol klinikal bagi penggunaan ubat itu.

Pengetahuan tentang kesan sampingan itu bukan baru tetapi perkembangan di luar negara baru-baru ini" menggesa HSA untuk mengkaji semula bahan tersebut, menurut seorang jurucakap penguasa itu minggu lalu dalam kiriman emel kepada pertanyaan Mediacorp. Jurucakap itu bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut apakah perkembangan yang dimaksudkan.

Pada Mac, Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) menegaskan amaran sedia ada mengenai perubahan serius pada tingkah laku dan berkaitan ragam yang terkait dengan montelukast, termasuk mempunyai fikiran untuk bunuh diri. Lantas ia memerlukan amaran dicetakkan dengan lebih jelas dalam bentuk format berkotak pada lampiran bungkusan ubat itu.

Jurucakap HSA berkata amaran itu sudahpun dinyatakan di lampiran bungkusan produk montekulast yang berdaftar di Singapura meskipun dalam format berbeza.

KESAN SAMPINGAN JARANG BERLAKU

Dr Steve Yang, seorang doktor pernafasan, berkata beliau bahkan pernah melihat orang dewasa bersikap agresif setelah menggunakan beberapa dos Singulair.

"Ini tentunya membimbangkan kerana halusinasi, perubahan sikap boleh menyebabkan kemurungan dan fikiran untuk membunuh diri," katanya.

Dr Jenny Tang, seorang pakar pediatrik di Klinik Bayi dan Kanak-kanak SBCC, berkata kesan sampingan itu jarang berlaku.

"Beberapa kajian telah melaporkan kes kemungkinan kesan sampingan neuropsikiatrik dengan penggunaan montelukast. Namun, memandangkan ini kebanyakannya adalah kajian yang meninjau kembali pangkalan dan kajian pemerhatian, kejadian dan kematian sebenarnya belum diketahui,” katanya.

Apa yang merumitkan lagi adalah keadaan semput kronik dan rinitis alahan - di mana montekulast digunakan sebagai rawatan - boleh dengan sendirinya mempengaruhi masalah tidur, tingkah laku dan sikap, tambah beliau.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan