Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA beri amaran terhadap produk kandungi bahan terlarang sibutramin, ubat atasi mati pucuk

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (6 Ogos) mengeluarkan amaran terhadap dua produk pelangsingan yang didapati mengandungi bahan terlarang dan boleh menimbulkan risiko kesihatan serius. 

Anggaran Waktu Membaca:
HSA beri amaran terhadap produk kandungi bahan terlarang sibutramin, ubat atasi mati pucuk

(Dari kiri) Coco Curv, Choco Fit dan Hamer Candy. (Gambar-gambar: HSA)

Diterbitkan : 06 Aug 2020 02:07PM Dikemas Kini : 06 Aug 2020 02:09PM

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (6 Ogos) mengeluarkan amaran terhadap dua produk pelangsingan yang didapati mengandungi bahan terlarang dan boleh menimbulkan risiko kesihatan serius.

Satu bahan perubatan yang digunakan untuk merawat masalah mati pucuk juga ditemui dalam satu lagi produk yang dijual online sebagai gula-gula, menurut pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan media.

HSA dimaklumkan tentang produk Coco Curv oleh seorang pengguna yang membelinya di Malaysia. Wanita itu mengesyaki produk tersebut mungkin berbahaya dan melaporkannya kepada pihak berkuasa tersebut.

Dipasarkan secara online sebagai produk pelangsingan, Coco Curv mendakwa ia boleh "membakar lemak dan kalori", "meningkatkan tenaga dan tahap metabolisme" serta "mengawal keiinginan karbohidrat".

Semasa siasatan ke atas Coco Curv, HSA mendapati satu lagi produk pelangsingan dijual online yang dipanggil Choco Fit.

Ujian mendedahkan kedua-dua produk itu mengandungi bahan terlarang, sibutramin.

Ubat itu pernah diberikan atas nasihat doktor untuk menurunkan berat badan tetapi dilarang di Singapura sejak 2010 kerana peningkatan risiko serangan jantung dan angin ahmar.

HSA menyatakan kesan sampingan serius lain yang dilaporkan oleh para pengguna yang mengambil produk-produk mengandungi sibutramin termasuk degupan jantung kencang, masalah sukar tidur dan pemikiran untuk bunuh diri.

UBAT MATI PUCUK DIDAPATI DALAM GULA-GULA HAMER

Dalam kenyataannya, HSA menambah ia juga dimaklumkan oleh seorang pengguna tentang satu lagi produk bernama Hamer Candy yang mengandungi satu ramuan kuat.

Produk itu, yang dijual sebagai gula-gula, didapati mengandungi nortadalafil yang ada kaitan kimia dengan tadalafil.

Tadalafil adalah ubat yang diberikan atas arahan doktor untuk merawat masalah mati pucuk di kalangan kaum Adam, menurut HSA.

Penggunaan tadalafil secara tidak sesuai tanpa pengawasan perubatan boleh menyebabkan priapisme iaitu keadaan alat kelamin tegang buat jangka masa yang lama dan menyakitkan.

Tadalafil juga boleh menimbulkan risiko serius kepada pesakit tertentu termasuk mereka dengan masalah berkaitan jantung. Bahan itu tidak seharusnya diambil oleh para pesakit yang sedang mengambil ubat sakit jantung seperti nitrat kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah rendah yang mungkin mengancam nyawa.

HSA menambah penggunaan nortadalafil boleh menyebabkan peningkatan risiko kesan buruk yang serius termasuk tekanan darah rendah, angin ahmar dan serangan jantung.

Orang ramai sebelum ini sudahpun diberi amaran terhadap kedua-dua Hamer Candy dan Choco Fit, masing-masing pada 2018 dan 2019, menurut HSA. Senarai penjualan online produk-produk itu juga sudah dipadamkan.

Bagaimanapun, menurut HSA, produk-produk tersebut muncul kembali secara online dengan bungkusan yang baru.

Ini adalah "taktik biasa digunakan oleh pengeluar yang tidak berprinsip dalam percubaan untuk mengelakkan pengesanan dan menarik perhatian pengguna".

Kesemua tiga produk itu dijual di wadah online tempatan termasuk Shopee, Qoo10 serta di Facebook dan Instagram.

HSA menyatakan ia sudahpun mengeluarkan amaran kepada para penjual dan mengarahkan pentadbir laman web berkenaan untuk memadamkan senarai penjualan produk-produk yang terjejas itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan