Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA beri amaran 3 produk kesihatan kandungi bahan 'kuat', terlarang

Orang ramai diberi amaran untuk tidak mengambil tiga produk kesihatan yang didapati mengandungi "bahan ubatan yang kuat" dan satu bahan terlarang, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu kenyataan pada Isnin (9 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
HSA beri amaran 3 produk kesihatan kandungi bahan 'kuat', terlarang

(Gambar: HSA)

Diterbitkan : 09 Mar 2020 02:45PM Dikemas Kini : 09 Mar 2020 02:47PM

SINGAPURA: Orang ramai diberi amaran untuk tidak mengambil tiga produk kesihatan yang didapati mengandungi "bahan ubatan yang kuat" dan satu bahan terlarang, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu kenyataan pada Isnin (9 Mac).

Produk-produk itu termasuk shen qi dan bai nian cao yao dan Ricalinu, yang diiklankan sebagai dapat merawat rasa sakit dan penyakit seperti sakit sendi dan gout, manakala produk Freaky Fitz membuat "dakwaan berlebih-lebihan" bahawa ia dapat membantu para pengguna mengurangkan berat badan "dalam masa beberapa hari".

WANITA ALAMI KETIDAKSELESAAN PADA DADA SETELAH MAKAN PRODUK

Menurut HSA, seorang wanita dalam lingkungan 70an tahun yang mengambil produk shen qi dan bai nian cao yao mengalami rasa ketidakselesaan pada dadanya. Beliau mendapatkan produk itu daripada seorang teman yang memperolehinya daripada Malaysia.

Produk itu mendakwa hanya mengandungi bahan-bahan herba seperti cordycep dan ginseng, tetapi HSA menemui "pelbagai bahan ubatan", termasuk bahan antihistamin, steroid, ubat tahan sakit dan ubat yang digunakan untuk mengeluarkan kandungan air berlebihan daripada tubuh.

"Bahan-bahan kuat ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius jika digunakan tanpa pemantauan perubatan," jelas HSA.

Ricalinu, dipercayai membantu dalam mengurangkan kesakitan seperti penyakit gout, juga mengandungi bahan steroid dan beberapa "ubat tahan sakit yang kuat".

Seorang lelaki dalam lingkungan 40an tahun cuba membawa masuk 20 kotak produk Ricalinu dari Indonesia namun ditahan di Pusat Pelayaran Singapura oleh para pegawai pusat pemeriksaan.

MINUMAN PELANGSING KANDUNGI BAHAN TERLARANG

HSA juga memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak memakan produk pelangsing tubuh bernama Freaky Fitz yang mengandungi bahan terlarang. Produk itu dijual di wadah e-dagang tempatan seperti Shopee, Carousell, Lazada dan Qoo10.

Freaky Fitz dipromosikan sebagai minuman pelangsing yang mengandungi bahan-bahan asli yang mendakwa dapat memberikan "hasil pelangsingan cepat" dan membakar lemak tanpa perlu diet atau bersenam.

HSA mendapati produk itu mengandungi bahan sibutramin, ubat preskripsi yang dilarang di Singapura sejak 2010 kerana menyebabkan risiko meningkat menghidap penyakit jantung dan angin ahmar.

Produk itu diiklankan sebagai "selamat untuk dimakan", dan mempunyai tanda piawai pensijilan yang palsu.

HSA memberi amaran kepada mereka yang telah memakan produk shen qi dan bai nian cao yao dan Ricalinu supaya berjumpa doktor secepat mungkin kerana "bahan steroid yang kuat" di dalamnya mungkin menyebabkan simptom-simptom penarikan seperti penat, kebingungan dan tekanan darah rendah jika pengambilan dihentikan tanpa pemantauan perubatan yang betul.

HSA juga menasihatkan para pengguna supaya berhenti memakan produk Freaky Fitz dengan serta merta dan memberi amaran kepada mereka supaya jangan mengambil produk yang menjanjikan hasil yang cepat dan menakjubkan melalui iklan mereka.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan