Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA beri amaran 2 produk pelangsingan mengandungi bahan terlarang

Dua produk yang dipasarkan sebagai boleh membantu mengurangkan berat badan didapati mengandungi bahan terlarang serta mempunyai empat kali ganda kandungan julap (laxative) berbanding jumlah biasa, dedah Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Isnin (1 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
HSA beri amaran 2 produk pelangsingan mengandungi bahan terlarang

Gambar: HSA

Diterbitkan : 01 Mar 2021 02:10PM Dikemas Kini : 01 Mar 2021 02:15PM

SINGAPURA: Dua produk yang dipasarkan sebagai boleh membantu mengurangkan berat badan didapati mengandungi bahan terlarang serta mempunyai empat kali ganda kandungan julap (laxative) berbanding jumlah biasa, dedah Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Isnin (1 Mac).

Orang ramai dinasihati agar tidak membeli atau mengambil Bobba Fitz dan Bobba Toxx yang selalunya dijual sebagai satu set.

Ujian-ujian yang dijalankan ke atas Bobba Fitz menunjukkan bahawa ia mengandungi bahan terlarang dan Bobba Toxx pula mengandungi sennosides iaitu julap sekitar empat kali ganda berbanding dos biasa.

Kedua-dua produk dibungkus dalam kotak-kotak mengandungi 10 uncang serbuk dan dijual di platform-platform e-dagang tempatan dan di media sosial.

Bobba Fitz dilabel sebagai mengandungi bahan-bahan semula jadi seperti protein whey, serbuk koko dan Garcinia Cambogia iaitu bahan yang berasal daripada buah-buahan.

HSA menyatakan ia sudah bekerjasama dengan pelbagai pentadbir platform termasuk Shopee, Lazada, Facebook dan Instagram untuk menurunkan iklan-iklan yang terjejas dan mengeluarkan amaran kepada para penjual.

PENGGUNA ALAMI DEGUPAN JANTUNG PANTAS DAN PERUBAHAN EMOSI

HSA mengeluarkan amaran selepas seorang wanita mengalami degupan jantung lebih pantas dan perubahan emosi mendadak selepas mengambil Bobba Fitz dan Bobba Toxx. Beliau berhenti mengambil kedua-dua produk dan sejak itu, kesan-kesan tersebut berkurangan, tambah HSA.

"Jika beliau terus mengambil kedua-dua produk itu, kesan-kesan buruk berkenaan mungkin akan lebih teruk," tambah kenyataan tersebut.

PENGGUNA HARUS BERHENTI AMBIL PRODUK DENGAN SEGERA

Para pengguna turut dinasihati berhenti mengambil kedua-dua produk dengan segera dan berjumpa doktor jika mereka rasa kurang sihat atau bimbang tentang kesihatan mereka.

HSA juga menasihati para pengguna agar berwaspada terhadap produk-produk membuat dakwaan berlebihan seperti boleh mengurangkan berat badan tanpa perlu bersenam atau menjaga makanan atau kononnya boleh memberi hasil dengan cepat.

Dalam pada itu, ia menegaskan kesemua penjual dan pembekal mesti berhenti menjual produk-produk tersebut dengan serta-merta.

Para penjual mahupun pembekal boleh didakwa. Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang penjualan atau pembekalan produk-produk tersebut boleh menghubungi HSA di 6866 3485 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat atau menghantar emel ke hsa_is [at] hsa.gov.sg

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan