Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hospital Tan Tock Seng mula terima pesakit 18 Mei

Hospital Tan Tock Seng (TTSH) akan menerima semula pesakit mulai Selasa (18 Mei), setelah selesai menjalankan enam pusingan ujian COVID-19 bagi semua pesakit dan kakitangannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital Tan Tock Seng mula terima pesakit 18 Mei

Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 18 May 2021 12:38AM Dikemas Kini : 18 May 2021 01:23AM

SINGAPURA: Hospital Tan Tock Seng (TTSH) akan menerima semula pesakit mulai Selasa (18 Mei), setelah selesai menjalankan enam pusingan ujian COVID-19 bagi semua pesakit dan kakitangannya.

"Hasil ujian swab bagi semua pusingan adalah negatif," kata TTSH dalam satu kenyataan media.

"Ini memberi kami keyakinan tambahan bahawa langkah-langkah pembendungan adalah ketat, dan proses yang kami laksanakan berkesan di seluruh hospital."

Tiada kes baru COVID-19 tanpa hubung kait dikesan di TTSH sejak 28 April, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan media berasingan, sambil menambah bahawa hospital tersebut akan secara beransur-ansur terima semula pesakit.

Khidmat ambulans ke TTSH juga sebahagiannya akan disambung semula, bermula dengan kes mendesak yang dibawa ke hospital oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

TTSH tetap menjadi kelompok aktif COVID-19, dengan 46 kes disahkan.

TTSH menyatakan ia akan mengambil "pendekatan serampang tiga mata" bagi mengurangkan risiko jangkitan tersembunyi.

"Kami akan memperkukuh protokol kami untuk menguji lebih kerap, memantau rapi, dan melindungi pesakit dan kakitangan kami," tambahnya.

LANGKAH-LANGKAH BARU BAGI PESAKIT

Semua pesakit akan dikenakan ujian swab semasa masuk, dan juga mengikut jadual sepanjang mereka dirawat di hospital dan sebelum dibenarkan pulang.

"Ujian kerap ke atas pesakit akan membantu kami mengesan kes tanpa gejala dan kes lain yang mungkin memeram virus," kata TTSH. "Jika dikesan, mereka dapat segera diasingkan, dan kontak rapat dikuarantin."

Semua pesakit juga perlu memakai pelitup pembedahan sekiranya keadaan perubatan mereka membolehkan mereka berbuat demikian.

Selain itu, hospital akan meningkatkan pengawasan klinikal, dengan pemantauan proaktif dan ujian ke atas semua pesakit yang mengalami gejala pernafasan akut.

Sekatan pelawat juga akan diteruskan, kata TTSH.

Selama dua minggu akan datang, seorang sahaja pelawat yang sudah berdaftar dibenarkan bagi setiap pesakit, dengan had satu lawatan sehari sehingga 30 minit. Pelawat dikehendaki memakai pelitup sepanjang masa masa dan tidak boleh makan dan minum semasa berada di dalam wad.

TTSH juga telah menambah kekerapan jadual pembersihan di semua wad dan seluruh hospital.

KESELAMATAN BAGI KAKITANGAN

Selaras dengan arahan MOH, semua pekerja TTSH akan menjalani ujian rutin berjadual.

Mereka juga akan terus mengikuti protokol pengawasan, seperti pemantauan suhu badan dan cuti sakit.

"Kami juga telah mendirikan klinik ARI bagi kakitangan kami di kampus supaya mereka boleh mendapatkan rawatan tepat pada masanya," kata TTSH.

Pemakaian alat pelindung diri juga dipertingkatkan di seluruh hospital.

"Langkah-langkah ini akan memastikan keselamatan kakitangan kami dalam menjaga pesakit."

Ketua Pegawai Eksekutif TTSH, Dr Eugene Soh berkata,hospital tersebut akan memberi tumpuan tindak balas pandemiknya terhadap peningkatan kes dalam masyarakat.

"Langkah-langkah kami adalah ketat tetapi perlu untuk membendung kelompok di hospital," katanya.

"Kami harus terus waspada, memantau situasi dan saling menjaga satu sama lain dalam memerangi COVID-19." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan