Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hospital Khoo Teck Phuat akan bayar pampasan kepada pesakit barah payu dara yang salah didiagnosis

Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) akan membayar pampasan kepada pesakit barah payudara yang, dalam jangka masa lapan tahun, salah didiagnosis dengan jenis gen yang tidak berfungsi ekoran kelemahan dalam institusi kesihatan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital Khoo Teck Phuat akan bayar pampasan kepada pesakit barah payu dara yang salah didiagnosis

(Gambar: Pexels)

Diterbitkan : 03 May 2021 05:48PM Dikemas Kini : 03 May 2021 05:54PM

SINGAPURA: Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) akan membayar pampasan kepada pesakit barah payudara yang, dalam jangka masa lapan tahun, salah didiagnosis dengan jenis gen yang tidak berfungsi ekoran kelemahan dalam institusi kesihatan itu.

Pihak hospital juga telah mengambil tindakan disiplin terhadap lima kakitangan yang didapati oleh jawatankuasa semakan bebas sebagai tidak cekap dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka, sehingga menyebabkan berlakunya kesilapan tersebut.

Lima individu tersebut termasuk anggota pengurusan dan kakitangan. Hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka termasuk diberhentikan kerja, diberi amaran tegas serta denda.

Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG), yang telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas untuk menjalankan penilaian menyeluruh terhadap salah diagnosis itu, mengumumkan demikian dalam satu kenyataan pada Isnin (3 Mei), sambil menambah siasatan jawatankuasa itu sudah selesai.

180 PESAKIT SALAH DIDIAGNOSIS

Pada Disember tahun lalu, KTPH menyatakan sekitar 180 pesakit barah payudara yang dirawat di hospital tersebut mungkin salah didiagnosis selama tempoh lapan tahun lalu dengan sejenis gen yang tidak berfungsi, dan separuh daripada mereka mungkin telah mendapat rawatan yang tidak perlu.

Siasatan awal menunjukkan ia berpunca daripada proses di makmalnya berkaitan dengan ujian HER2, yang merupakan gen yang menentukan bagaimana sel sihat tumbuh.

Setelah disiasat sepenuhnya, jawatankuasa siasatan bebas, yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang di industri penjagaan kesihatan, mendapati bahawa kadar positif HER2 yang tidak tepat disebabkan oleh protokol pewarnaan HER2 yang tidak optimum di jabatan KPTH yang mengendalikan ujian makmal itu.

NHG menyatakan bahawa protokol HER2 kurang optimal itu disebabkan oleh kesilapan manusia semasa menentukan protokol, menyebabkan kadar positif HER2 lebih tinggi daripada biasa.

Kesilapan itu tidak dikesan kerana pihak hospital gagal melakukan pemeriksaan ketat ketika protokol itu ditentukan.

NHG menyatakan bahawa siasatan oleh jawatankuasa semakan menunjukkan kelemahan dalam kawalan mutu di bahagian berkenaan.

Kakitangan dari bahagian itu juga gagal melakukan pemeriksaan kawalan mutu dengan betul, termasuk memantau dan menganalisa trend positif HER2 dengan teliti dari semasa ke semasa, yang mempengaruhi penafsiran keputusan dan kelewatan dalam mengesan kesilapan tersebut, tambah NHG.

Ia hanya dikesan pada tahun lalu, apabila pakar perubatan yang meneliti kes barah payudara mendapati kadar positif yang luar biasa tinggi. Semakan dalaman dilakukan sebagai tindakan susulan untuk menentukan puncanya.

TINDAKAN DISIPLIN

Lembaga Siasatan (BOI) ditubuhkan untuk meneliti peranan, tanggungjawab dan tindakan kakitangan tertentu yang terlibat.

Selepas pertimbangan BOI, sebuah jawatankuasa disiplin kemudiannya dibentuk oleh Lembaga NHG pada Mac.

Lima individu, termasuk anggota pengurusan dan kakitangan KTPH, dikenal pasti kerana tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan cekap, hingga menyebabkan kesilapan serius tersebut, kata NHG.

Hukuman yang dikenakan terhadap mereka termasuk diberhentikan kerja, denda, dan amaran tegas.

NHG tidak menamakan kakitangan-kakitangan tersebut, dan juga tidak menyatakan berapa ramai yang diberhentikan atau dikenakan denda.

"Sesi kaunseling, latihan semula dan pendidikan semula sedang dilakukan," tambah NHG.

MAAF DAN PAMPASAN

Dalam kenyataan NHG, pengerusi lembaga perubatan KTPH, Profesor Bersekutu Pek Wee Yang, berkata bahawa pihak hospital sudah menghubungi semua pesakit yang terjejas dan "akan menilai jumlah pampasan bagi setiap pesakit".

Namun beliau menambah bahawa proses itu akan "memakan masa" untuk diselesaikan.

KTPH juga akan memberi kaunseling psikologi kepada pesakit-pesakit tersebut, jika diperlu, semasa tempoh ini, tambah beliau.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan