Images

Hospital Besar Ng Teng Fong, NUS hasilkan aplikasi bantu pengguna amal gaya hidup sihat

SINGAPURA: Hospital Besar Ng Teng Fong dan Universiti Nasional Singapura menghasilkan satu aplikasi dipanggil 'JurongHealth Food Log'. Menerusi aplikasi tersebut, para pengguna dapat memeriksa kandungan nutrisi makanan.

Dengan cara itu, mereka boleh terus memantau pengambilan kalori masing-masing untuk menjaga diet mereka.

Bukan itu sahaja, aplikasi itu membolehkan para pengguna untuk mendapatkan nasihat secara langsung daripada pakar-pakar kesihatan tentang diet dan rutin senaman mereka.

Aplikasi itu diperkenalkan kepada 20 pesakit bagi satu kajian pada Mei tahun lalu. Mereka didapati berisiko menghidapi penyakit kencing manis.

Kajian itu mendapati, 90 peratus daripada mereka berjaya mengurangkan berat badan dengan sebanyak 5 peratus, selepas menggunakan aplikasi tersebut.

"Ia satu pendekatan yang baik untuk menjangkaui masyarakat umum. Ramai yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menghadiri sesi-sesi kesihatan," kata Pengarah Operasi Gabungan Kesihatan dan Masyarakat Hospital Besar Ng Teng Fong, Encik Lee Hee Hoon.

Kajian dijangka selesai pada hujung tahun ini. 

- CNA/AQ/aq

Top