Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hospital Besar Changi antara 8 kelompok baru COVID-19 dikesan di S'pura

Singapura melaporkan 98 kes baru tempatan COVID-19 setakat tengah hari Selasa (3 Ogos), termasuk satu kelompok jangkitan baru di Hospital Besar Changi (CGH) tiga hari selepas satu kelompok di sana diisytihar ditutup.

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital Besar Changi antara 8 kelompok baru COVID-19 dikesan di S'pura

Gambar fail CGH (Gambar: Facebook/Hospital Besar Changi)

Diterbitkan : 04 Aug 2021 07:51AM Dikemas Kini : 04 Aug 2021 07:53AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 98 kes baru tempatan COVID-19 setakat tengah hari Selasa (3 Ogos), termasuk satu kelompok jangkitan baru di Hospital Besar Changi (CGH) tiga hari selepas satu kelompok di sana diisytihar ditutup.

Dalam kalangan kes baru tempatan yang dilaporkan pada Selasa, 31 tidak berhubung kait dengan jangkitan terdahulu.

Sebanyak 46 ke jangkitan baru berhubung kait dengan kes-kes sebelumnya dan sudahpun dikuarantin, menurut Kementerian Kesihatan (MOH). Lagi 21 kes yang berhubung kait dikesan menerusi ujian pengawasan.

Antara kes baru itu, tujuh adalah warga emas berusia lebih 70 tahun yang belum divaksinasi atau belum selesai menerima vaksin dan berisiko menghidapi penyakit serius, dedah MOH.

Ini adalah kali pertama dalam sekitar dua minggu jumlah kes tempatan harian merosot di bawah 100. Kali terakhir adalah pada 18 Julai, apabila terdapat 88 jangkitan tempatan.

Empat kes import dilaporkan pada Selasa. Mereka dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan semasa ketibaan. Tiga jangkitan dikesan setibanya mereka di Singapura sementara satu menghidap penyakit itu semasa menjalani tempoh SHN atau pengasingan.

Kesemuanya, Singapura melaporkan 102 kes baru COVID-19 pada Selasa.

CGH ANTARA 8 KELOMPOK BARU

Lapan kelompok jangkitan baru dilaporkan, termasuk satu di Hospital Besar Changi (CGH).

"Dengan ujian proaktif dan secara kerap, kami dapat mengesan tiga kes COVID-19 dalam satu wad," menurut CGH dalam satu catatan Facebook.

"Kes-kes ini tidak berhubung kait dengan kelompok terdahulu di CGH yang sudah disahkan tamat oleh Kementerian Kesihatan pada 31 Julai."

Kelompok tersebut, yang sebelum ini mempunyai 20 kes, diisytihar tamat setelah tiada kes dikaitkan dengannya selama 28 hari atau dua tempoh pemeraman.

"Kerja-kerja pembersihan menyeluruh (terminal cleaning) di kawasan-kawasan terjejas sudah selesai dan protokol kawalan jangkitan sedang dikuatkuasakan. Pengesanan kontak dan ujian swab pengawasan tambahan bagi para pesakit dan kakitangan adalah rutin dan semua keputusan ujian adalah negatif bagi virus itu."

"Sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit yang terjejas tidak boleh menerima sebarang pelawat. Operasi hospital adalah seperti biasa dan para pesakit boleh dengan selamat meneruskan janji temu pesakit luar," tambah CGH.

Setakat Selasa, terdapat 100 kelompok jangkitan aktif di Singapura.

Lagi 22 kes ditambah kepada kelompok jangkitan Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar dan Pusat Penjaja Hong Lim, menjadikannya kini sebanyak 1,097 kes kesemuanya. Ia kekal sebagai kelompok aktif terbesar di Singapura.

7 KES DALAM KEADAAN KRITIKAL

Sebanyak 592 kes dimasukkan ke hospital. Sebilangan besar berada dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan, menurut MOH.

Terdapat 37 kes penyakit serius yang memerlukan sokongan oksigen dan tujuh lagi yang berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Enam daripada 44 kes itu sudah diberi vaksin sepenuhnya. Daripada jumlah tersebut, empat memerlukan bantuan oksigen sementara dua memerlukan rawatan ICU kerana mereka mempunyai penyakit-penyakit lain.

Seramai 31 daripada mereka berusia lebih 60 tahun, yang mana 27 belum divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, sakit teruk, menurut MOH.

63% PENDUDUK SINGAPURA SELESAI DAPATKAN VAKSIN

Setakat Isnin 2 (Ogos), 63 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani rejimen penuh vaksinasi atau menerima dua dos vaksin COVID-19 di bawah program vaksinasi nasional.

Sekitar 77 peratus penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

"Rejimen penuh merujuk kepada individu yang sudah menerima kedua-dua dos vaksin atau satu dos vaksin untuk individu yang sudah pulih daripada COVID-10," jelas MOH.

Selain itu, 108,815 dos vaksin Sinovac sudah diberikan setakat Isnin, merangkumi 75,856 individu.

"Ada bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius jika seseorang dijangkiti," menurut MOH.

Sepanjang 28 hari lalu, 66 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen, dimasukkan ke ICU, atau meninggal dunia. Sebanyak 39 belum divaksinasi, 21 belum selesai divaksinasi dan enam sudah divaksinasi sepenuhnya.

UJIAN PENGAWASAN MASYARAKAT

MOH turut memberikan kemas kini berasingan mengenai hasil ujian pengawasan dalam masyarakat di beberapa lokasi di sekitar Singapura.

Ujian untuk penduduk, pelawat dan individu yang berinteraksi dengan penduduk Blok 438 Ang Mo Kio Avenue 10 sudah selesai pada 30 Julai, dedah MOH. Daripada mereka yang diuji, dua orang disahkan positif COVID-19 sementara 430 diuji negatif.

Di Blok 430 dan 445A Clementi Avenue 3, empat orang didapati mengalami jangkitan dan 842 diuji negatif. Ujian bagi penduduk, pelawat dan individu yang berinteraksi dengan penduduk dua blok itu selesai pada 31 Julai.

Empat kes positif dikesan dalam kalangan penduduk Blok 3 Teck Whye Lane, sementara 371 orang diuji negatif.

Tiada kes positif dalam kalangan 260 penduduk yang menjalani ujian COVID-19 di Blok 357 Yung An Road.

Di Blok 510 West Coast Drive, tiga kes disahkan positif dalam dalam kalangan penduduk sementara 397 yang lain diuji negatif.

TREND KES-KES TEMPATAN

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot daripada 967 kes pada minggu sebelumnya kepada 799 kes pada minggu lalu.

"Kita mungkin akan terus menyaksikan jumlah kes yang tinggi dalam beberapa hari akan datang ketika kami meningkatkan usaha untuk pengesanan agar penularannya dalam masyarakat dapat dikekang," tambah MOH.

Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat bertambah daripada 173 kes pada minggu sebelumnya kepada 254 kes pada minggu lalu.

Setakat Selasa, Singapura melaporkan 65,315 kes COVID-19 dan 38 kematian akibat penyakit tersebut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan