Images
  • hospital generic
    (Gambar hiasan: Olga Kononenko/Unsplash)

Hospital akan benarkan pelawat dari dua isi rumah mulai 2 Jun

SINGAPURA: Para pelawat akan dibenarkan menziarahi pesakit di hospital mulai 2 Jun, namun ini akan terhad kepada anggota isi rumah yang sama dengan pesakit, atau dari satu rumah lain.

Hanya seorang sahaja dibenarkan melawat pada satu-satu masa, namun sehingga lima pengunjung boleh mendaftarkan diri dengan hospital, menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (22 Mei).

Pihak hospital juga mungkin memperkenalkan langkah-langkah tambahan untuk menjarakkan masa kunjungan dan mengelakkan kesesakan, menurut kementerian itu sambil menekankan perlunya untuk melindungi pesakit yang lebih mudah terdedah kepada risiko.

Dalam kenyataannya, MOH juga mengumumkan bahawa beberapa khidmat jagaan kesihatan yang sebelum ini dianggap sebagai tidak penting semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan bagi membendung COVID-19, akan disambung semula secara bertahap-tahap mulai 2 Jun.

Tempoh pemutus rantaian jangkitan yang bermula pada 7 April dijadualkan berakhir pada 1 Jun, dengan sekatan kegiatan sosial dan perniagaan dilonggarkan secara berperingkat-peringkat.

Awal minggu ini, Mediacorp melaporkan bahawa MOH telah mengeluarkan surat pekeliling kepada pemegang lesen klinik am dan klinik perubatan pakar, dengan menyatakan bahawa khidmat kesihatan terpilih boleh dilanjutkan dalam "rangka kerja berperingkat".

Khidmat jagaan kesihatan yang disambung semula pada fasa pertama termasuk vaksinasi untuk selesema, pneumokokal dan vaksinasi lain yang disyorkan untuk orang dewasa, saringan kesihatan pra-pendaftaran Perkhidmatan Awam, semua khidmat persenyawaan in-vitro dan khidmat pengawasan, seperti ujian skop bagi golongan berisiko tinggi.

Pembedahan yang ditangguhkan selama beberapa bulan dan tidak dapat ditunda lagi tanpa menimbulkan risiko yang lebih besar juga boleh disambung semula. Prosedur-prosedur ini termasuk pembedahan untuk katarak tahap lebih lanjut bagi mata, implan pendengaran bagi kanak-kanak dan pembedahan sendi untuk pesakit dengan masalah pergerakan teruk.

Beberapa khidmat penjagaan gigi juga akan disambung semula, seperti pemasangan mahkota gigi, pembedahan saluran akar gigi dan pembuatan gigi palsu.

Dalam kenyataannya pada Jumaat, MOH menyatakan bahawa lebih banyak khidmat penjagaan kesihatan akan disambung semula pada fasa kedua, sekiranya kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat kekal rendah dalam beberapa minggu akan datang dan keadaan di dormitori pekerja asing tetap terkawal.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- TODAY/TQ/tq

Top