Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hos podcast OKLETSGO mesti 'belajar dan bangkit' dari kritikan komen misoginis, nasihat Shanmugam

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata pada Selasa (16 Jun) bahawa beliau berharap ketiga-tiga hos lelaki di sebalik saluran podcast popular OKLETSGO "belajar dan bangkit" daripada kritikan berhubung komen-komen mereka yang berunsur misoginis dalam podcast tersebut. 

Anggaran Waktu Membaca:
Hos podcast OKLETSGO mesti 'belajar dan bangkit' dari kritikan komen misoginis, nasihat Shanmugam

Hos-hos OKLETSGO (dari kiri) Dyn Norahim, Dzar Ismail dan Raja Razie. (Gambar: Qashrul Hidafi menerusi Facebook/OKLETSGO)

Diterbitkan : 17 Jun 2020 10:48AM Dikemas Kini : 17 Jun 2020 10:53AM

SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata pada Selasa (16 Jun) bahawa beliau berharap ketiga-tiga hos lelaki di sebalik saluran podcast popular OKLETSGO "belajar dan bangkit" daripada kritikan berhubung komen-komen mereka yang berunsur misoginis dalam podcast tersebut.

Encik Shanmugam menambah kenyataan oleh ketiga-tiga hos itu "melampaui batas" dan "salah sama sekali".

Menteri itu menulis di Facebook untuk menjawab pertanyaan mengenai kedudukannya berhubung hak wanita kerana beliau mengambil bahagian dalam episod terkini siaran podcast tersebut pada Selasa (16 Jun).

Encik Shanmugam berkata kekecohan berhubung komen ketiga-tiga hos itu pada minggu lalu adalah satu peluang untuk mengadakan perbincangan yang sukar tetapi penting. "OKLETSGO perlu memainkan peranannya untuk membina jambatan. Saya berharap mereka dapat belajar untuk memperbaiki diri dan bangkit semula," katanya.

Encik Shanmugam turut menegaskan bahawa kedudukannya mengenai hak-hak wanita diketahui oleh mereka yang sudah mengikuti ucapannya dan pindaan pada undang-undang yang dibuat oleh kementeriannya. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini misalnya, ujar beliau, undang-undang diluluskan untuk memberi wanita lebih banyak perlindungan dan mempermudakan mereka untuk mengakses mahkamah bagi masalah keluarga.

Hos-hos podcast itu mengundang Encik Shanmugam untuk membincangkan tentang undang-undang bagi membanteras penyebaran berita palsu di Singapura, iaitu Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) serta Akta Mengekalkan Keharmonian Agama yang memperuntukkan kuasa untuk memelihara keharmonian agama di Singapura.

"Saya bersetuju kerana adalah penting untuk memberitahu orang ramai tentang pemikiran di sebalik penggubalan undang-undang ini," katanya.

Encik Shanmugam menerima maklum balas tentang hos-hos podcast itu memperalatkan wanita dan menggunakan bahasa yang tidak boleh diterima hanya selepas temu bual tersebut.

OKLETSGO diterajui oleh tiga bekas penyampai stesen radio Ria 89.7, Dzar Ismail, 34 tahun, Dyn Norahim, 38 tahun, dan Raja Razie, 38 tahun. Ia diikuti lebih 100,000 pendengar di Spotify, menjadikannya podcast tempatan yang paling popular.

Kecaman terhadap trio itu bermula dengan satu ciapan Twitter yang tular pada 9 Jun oleh seorang pengguna, anygalien. Beliau berkata ketiga-tiga hos tersebut mengingatkannya tentang lelaki-lelaki Melayu dalam hidupnya yang "secara santai memperlekehkan serta membahankan kaum wanita sebagai objek seks dan menjadikannya sebagai lawak jenaka".

Catatan Twitter itu dengan pantas dibanjiri dengan sokongan daripada pengguna media sosial lain yang memetik contoh komen menyinggungkan perasaan yang dibuat oleh hos-hos tersebut selama ini.

Dalam satu episod, misalnya, salah seorang hos berkata beliau tidak dapat mengalihkan pandangannya daripada lurah buah dada seorang wanita transgender yang dijemput ke podcast itu untuk membicarakan tentang kerja-kerja aktivisnya bagi Project X - sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak pekerja seks.

Pada Isnin, Presiden Halimah Yacob menegur hos-hos berkenaan atas kenyataan-kenyataan ofensif, memalukan dan misoginis sambil menggesa ketiga-tiga lelaki itu supaya "meminta maaf dengan setulus hati kepada semua wanita".

Beberapa jam kemudian, OKLETSGO tampil di Facebook untuk meminta maaf kerana mengambil masa begitu lama untuk menyedari betapa mereka sudah menyinggung perasaan pendengar.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp pada Selasa, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menyatakan ia sudahpun menerima maklum balas daripada orang awam bahawa sesetengah rancangan podcast OKLESTGO mengandungi kenyataan yang tidak menghormati kaum Hawa.

Ia menambah semua penyedia kandungan internet di Singapura dikawal melalui Lesen Kelas Penyiaran dan mesti mematuhi syarat pelesenan serta kod amalan internet.

Pihak berkuasa itu menyatakan OKLETSGO sudahpun memperakui dan meminta maaf atas komen-komennya.

ANGGOTA PARLIMEN TURUT BERSUARA

Di tengah-tengah reaksi hebat orang ramai, beberapa Anggota Parlimen (AP) juga bersuara berhubung isu berkenaan.

Ada dalam kalangan mereka pernah tampil dalam saluran podcast OKLETSGO sebelum ini, termasuk Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli serta Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin.

Meskipun mengalu-alukan permintaan maaf hos-hos itu, mereka menegaskan bahawa 'misogyny' atau merendah-rendahkan kaum wanita tidak tempat dalam masyarakat Singapura.

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, pada Selasa berkata bahawa setiap orang mempunyai peranan untuk menangani isu-isu yang berkisarkan stereotaip jantina terhadap kaum wanita "yang sudah lama berakar umbi". "Bahasa seksis dan yang menjatuhkan maruah wanita tidak boleh dipandang remeh atau dibiarkan begitu saja," katanya.

Tokoh politik lain yang pernah tampil dalam saluran podcast OKLETSGO termasuk Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman.

HOS "PERLU PENDEKATAN BARU TERHADAP ISU KRITIKAL"

Pertubuhan-pertubuhan yang telah menyuntik dana atau melibatkan OKLETSGO sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan awamnya juga menegaskan kedudukan masing-masing dalam hal ini.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menyatakan dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp bahawa ia melibatkan OKLETSGO bagi satu projek sekali sahaja pada bulan Mei untuk mengajak umat Islam kekal sihat sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya.

Projek itu berakhir pada 27 Mei tanpa sebarang pelibatan lanjut dirancangkan.

HPB menambah bahawa ia percaya akan perlunya untuk bersikap bertanggungjawab dan sensitif serta akan mendekati usaha pendidikan masyarakat dengan “kepekaan dan teliti”.

Pertubuhan bukan meraih keuntungan, Nur Insan, yang menaja kandungan agama di OKLETSGO menyatakan sebilangan ibu bapa pelajar di madrasah atau programnya telah didampingi oleh rakan mereka, meminta mereka menarik anak mereka keluar daripada madrasah atau programnya atas kaitan pertubuhan itu dengan OKLETSGO.

"Ini adalah masalah yang sangat membimbangkan. Kami memahami sentimen iklim semasa. Namun, kami menggesa masyarakat supaya jangan membiarkan emosi mengaburi perspektif kita.

"Janganlah kita merendahkan usaha dan mempersoalkan niat asatizah dan relawan yang bekerja di balik tabir," nasihat Nur Insan.

Presiden pertubuhan itu, Muhammad Faaris Ameerjan, berkata sejauh ini, tiada seorang pelajar pun menarik diri.

"Kami mendapati sesetengah komen (yang dibuat oleh hos-hos OKLETSGO) mengganggu dan secara peribadi, kami sudahpun memberikan nasihat serta berbincang dengan mereka. Mereka sangat terbuka kepada nasihat kami,” ujarnya.

Encik Faris berharap OKLETSGO akan mengubah pendekatannya terhadap isu-isu kritikal dan menyesuaikan kandungannya.

Apabila ditanya sama ada Nur Insan akan terus membiayai program OKLETSGO, beliau berkata pertubuhan itu sentiasa berusaha untuk menjangkaui pelbagai sektor masyarakat. Oleh itu, ia bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan melalui berbagai wadah.  

LAPORAN BERKAITAN:

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan