Images
  • honestbee staff
    (Gambar: Honestbee)

Honestbee hentikan khidmat penghantaran makanan di S'pura

SINGAPURA: Honestbee akan menghentikan khidmat penghantaran makanan di Singapura sebagai sebahagian daripada langkah semakan strategik perniagaannya.

Dalam kenyataan media pada Rabu (15 Mei), syarikat itu mengumumkan pihaknya akan turut menggantung khidmat membasuh pakaian. Kedua-dua khidmat akan dihentikan pada 20 Mei.

Sekitar 400 kakitangan penghantaran, ramai daripadanya merupakan pekerja sambilan akan terjejas oleh langkah terbaru syarikat itu sejak pengasasnya Joel Ng meletak jawatan sebagai CEO awal bulan ini.

Bagaimanapun menurut syarikat itu, khidmat penghantaran barangan dapur dan pasar raya fizikal, 'habitat by honestbee', akan terus beroperasi.

"Keputusan dibuat untuk mengoptimumkan struktur perniagaan dan memberi tumpuan lebih baik selaras dengan keutamaan strategik honestbee buat masa ini," tambah syarikat tersebut.

"Meskipun ramai kakitangan penghantaran bekerja secara sambilan, mereka memainkan peranan penting dan adalah anggota keluarga honestbee yang penting. Jumlah pekerja sepenuh masa di Singapura tidak terjejas.

"Pasukan eksekutif yang baru dilantik sedang melakar rancangan masa depan untuk kekal relevan dan berdaya tahan dalam sekitaran perniagaan hari ini yang pesat berubah."

Encik Ng diambil alih sebagai CEO oleh Encik Brian Koo, yang berkata beliau akan bekerjasama dengan pasukan eksekutif untuk menjalankan penilaian semula yang mendalam ke atas perniagaan syarikat itu dan "menyelaraskan kepentingan strategik rentas geografi dan pasaran".

- CNA/TQ/tq

Top