Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HomeTeamNS rai ulang tahun ke-15 dengan kelab baru

 Kelab kelima dan terbaru HomeTeamNS dibuka kepada orang ramai di utara Singapura. Terletak di Khatib, Kelab terbaru HomeTeamNS itu dilengkapi dengan keupayaan digital, inovasi mesra alam dan pelbagai prasarana canggih. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kelab kelima dan terbaru HomeTeamNS dibuka kepada orang ramai di utara Singapura. Terletak di Khatib, Kelab terbaru HomeTeamNS itu dilengkapi dengan keupayaan digital, inovasi mesra alam dan pelbagai prasarana canggih.

Seluas 21,000 meter persegi, bangunan lima tingkat itu mempunyai ciri-ciri mesra alam termasuk pemasangan panel suria di bumbungnya dan sistem tapisan air kolam renang mesra alam tanpa menggunakan klorin. Ini menjadikannya antara kolam renang bebas klorin pertama di Singapura.

Selain itu, dengan penggunaan sistem pengawalan lampu bijak dan peralatan mesra alam, jumlah tenaga elektrik yang digunakan kelab tersebut sama seperti jumlah tenaga elektrik yang diperlukan untuk menyalakan satu bal lampu sahaja!

KEMUDAHAN UNIK DAN PERTAMA DI SINI

Dengan 90 peratus kemudahan, kedai serta restoran kini dibuka, orang ramai boleh membuat tempahan untuk menggunakan kemudahan-kemudahan yang ditawarkan menerusi aplikasi telefon "GetKaki".

Antara kemudahan yang dinanti-nantikan mereka yang gemar melakukan sukan lasak dan mencabar ialah hab kembara "Adventure HQ" yang merupakan hab pelbagai pemasangan di bawah satu bumbung terbesar di Singapura. Selain kegiatan panjat tembok, pengunjung juga boleh mencuba gelongsur terpanjang Singapura sepanjang 14 meter atau menyusuri gua buatan manusia pertama sedalam 165 meter.

Simulator taktikal yang meniru secara realistik persekitaran latihan pula disediakan bagi mereka yang pernah menjalani anggota Perkhidmatan Negara (NS). Beberapa unsur latihan mereka sewaktu menjalani perkhidmatan negara diterapkan di gimnasium "Fitness Workz Premium" bagi menggamit memori semasa menjalani NS dahulu. Ini termasuk tangga dan patung "Big John" yang digunakan semasa latihan bomba.

Walaupun tidak mempunyai kemudahan penginapan seperti chalet, para pengunjung masih boleh meluangkan masa bersama anggota keluarga mahupun sahabat handai dalam keadaan santai dan selesa di "ManCaves" yang menyediakan kemudahan seperti ruang tamu dan dapur yang berhawa dingin dan kawasan terbuka untuk kegiatan barbeku.

Bagi yang mempunyai anak kecil pula, mereka boleh meluangkan masa dan merapatkan lagi hubungan di taman permainan "T-Play Khatib". Taman permainan berbumbung ini merupakan satu-satunya di sini yang bertemakan budaya Peranakan.

ULANG TAHUN HOMETEAMNS KE-15

Dengan kemudahan yang pelbagai dan sesuai bagi seisi keluarga, kelab itu berharap dapat menjadi destinasi yang boleh dinikmati seluruh keluarga.

Presiden HomeTeamNS, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata pembukaan Kelab HomeTeamNS Khatib itu tepat pada masanya memandangkan HomeTeamNS meraikan ulang tahunnya yang ke-15 tahun ini.

Tambah beliau, "Tahun ini, kita meraikan hubungan para pegawai NS HomeTeam kami dengan ahli keluarga mereka dengan tema "We are Family". Bagi menggalakkan dan bantu membina hubungan yang lebih baik antara pegawai NS HomeTeam kami dan keluarga mereka, HomeTeamNS akan memperkenalkan beberapa inisiatif dan ganjaran keahlian dalam beberapa bulan mendatang"

LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN COVID-19

Kegunaan beberapa kemudahan seperti "Mancaves" juga diubah bagi memenuhi permintaan semasa. Walaupun ruangan "Mancaves" boleh memuatkan sehingga 50 orang, hanya lima orang sahaja dibenarkan masuk dan ruangan itu ditukar menjadi ruangan bekerja ataupun mesyuarat buat sementara waktu ini.

HomeTeamNS yang membuka dua lagi kelab yang lain di kawasan Bedok dan Tengah dalam dua tahun akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan