Images
  • haji couple

Hikmah haji kena tangguh bagi pasangan ini

BERITAmediacorp: Keberangkatan 900 jemaah haji Singapura ke Tanah Suci tahun ini ditunda hingga tahun depan dek pandemik COVID-19.

Reda dengan keputusan itu, sepasang suami-isteri berkongsi bersama BERITAmediacorp bagaimana masa tambahan itu memberi mereka peluang untuk memperdalamkan pengetahuan tentang ibadat haji dan memperbaiki kesihatan mereka.

NIAT TUNAIKAN HAJI BELUM KESAMPAIAN LAGI

Encik Mohd Yunos Abu Bakar, 58 tahun dan isterinya, Cik Noni Yusran, 56 tahun sudah menunggu lapan tahun untuk dijemput ke Tanah Suci bagi menjalani menunaikan haji tahun ini.

Mereka mendaftarkan nama mereka pada 2012.

Cik Noni berkata: "Semestinya ada niat untuk menunaikan haji sebab ia satu kewajiban kan? Jadi penantian itu agak lama. Walaupun lama tetapi bila diluluskan kita rasa bersyukur."

Berita gembira dipilih menunaikan haji tahun ini berubah menjadi hampa apabila diumumkan ibadat haji bagi jemaah Singapura ditangguh kerana ancaman virus COVID-19 yang masih berleluasa.

Namun, pasangan itu tetap bersyukur kerana harapan dan impian mereka tidak berakhir untuk menjadi tetamu di Baitullah bersama 900 jemaah Singapura keseluruhannya bagi ibadat haji akan datang.

Encik Yunos berkata: "Sebenarnya rasa seperti jantung terputus. Sedih tetapi sekejap sahaja. Sebab kita faham COVID-19 menjejas semua orang di seluruh dunia bukan kita seorang sahaja."

"Jadi kita terima pelan-pelan, dengar nasihat ustaz, dengan lebih kita reda, Alhamdulillah, hati ini mula faham kenapa kita tidak dapat pergi, kenapa kita kena sabar ini semua sebahagian daripada haji."

Cik Noni pula menambah: "Jadi rasa sedih, itu tidak boleh dinafikan tetapi tak kecewa sebab ini semua di ketentuanNya. Apa yang terbaik untuk umatNya, semoga tak memudaratkan diri kita, keluarga jemaah-jemaah yang lain dan negara kita."

'KORBANKAN' IBADAT HAJI TAHUN INI

Mengikut jadual asalnya, Encik Yunos dan isterinya sepatutnya berangkat Sabtu lepas (25 Jul) bersama 60 jemaah haji lain dari Hagel Travel & Tours.

Meskipun terpaksa "mengorbankanhaji mereka pada tahun ini, mereka akur pasti ada hikmah yang tersirat.

Antaranya, mereka dapat menggunakan masa yang ada untuk terus memperdalamkan pengetahuan ibadat haji dan memperbaiki kesihatan mereka.

"Saya rasa masa dengan keluarga lebih erat. Masa untuk membuat apa yang kita belum buat atau apa yang kita kurang buat," ujar Cik Noni.

Encik Yunos berkata: "Saya rasa kalau ada COVID dan banyak sekatan, tidak ada kebebasan. Kalau boleh bila kita buat ibadah ini, biarlah ia lebih tenang, tiada sekatan-sekatan jadi kita dapat kerjakan dengan lancar."

LAKSANAKAN HAJI TAHUN DEPAN

Para jemaah yang sudah berdaftar untuk mengerjakan haji tahun ini secara automatik dijadualkan untuk melaksanakannya pada tahun depan.

Cik Noni berkata: "Jadi dengan harapan dan doa, keadaan akan bertambah baik. Impian setiap umat Islam itu dapat ditunaikan dengan sempurna. Insya-Allah dengan kesihatan dan panjangkan usia, kita dapat laksanakan impian kita. Alhamdulillah, nama sudah disahkan kita rasa 'okay' lah." 

- BERITAmediacorp/tq

Top