Images
  • heroin dirampas
    Wang tunai dan heroin yang dirampas. (Gambar: CNB)

Heroin bernilai S$78,000 dirampas susuli operasi CNB, 2 diberkas

SINGAPURA: Heroin seberat 1.1kg yang dianggar bernilai lebih S$78,000 dirampas semalam (21 Jun) oleh Biro Narkotik Pusat (CNB).

Dua suspek pengedar dadah - seorang lelaki rakyat Singapura 24 tahun dan seorang wanita warga Malaysia 25 tahun - turut diberkas di East Coast Parkway (ECP) menurut CNB dalam satu kenyataan media hari ini (22 Jun).

Kedua-dua mereka ditemui di sebuah tempat letak kereta di Telok Blangah Crescent di mana wanita itu menaiki kereta lelaki tersebut. Para pegawai mengekori mereka dan menahan kedua-duanya berdekatan susur keluar 10B di lebuhraya tersebut.

Heroin seberat 1.1kg itu ditemui dalam sebuah beg dalam kereta yang dipandu lelaki itu, dedah CNB, sambil menyatakan bahawa jumlah dadah yang dirampas cukup untuk menampung ketagihan 524 penagih dadah buat tempoh seminggu.

Beberapa paket plastik kosong, straw yang dipotong dan sebuah alat timbang digital juga ditemui dalam serbuan susulan di kediaman lelaki berkenaan di Kampong Bahru.

CNB menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan.  

- CNA/SM/sm

Top