Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Heng Swee Kiat komen tentang kesihatan dan kesediaannya untuk pimpin pasukan generasi ke-4

Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengatakan bahawa kini beliau sudah beransur pulih dan dapat menjalani kegiatan hariannya seperti sediakala.

Anggaran Waktu Membaca:
Heng Swee Kiat komen tentang kesihatan dan kesediaannya untuk pimpin pasukan generasi ke-4

Gambar fail Heng Swee Keat. (Gambar: Olivia Siong)

Diterbitkan : 23 Jan 2018 12:13AM Dikemas Kini : 23 Jan 2018 12:15AM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengatakan bahawa kini beliau sudah beransur pulih dan dapat menjalani kegiatan hariannya seperti sediakala.

Beliau berkongsi demikian semasa satu sidang anjuran Institut Kajian Dasar (IPS) ketika ditanya tentang perkembangan kesihatannya selepas diserang angin ahmar pada 2016. Menurut Encik Heng, insiden itu sesuatu yang mengejutkan para doktor yang merawatnya kerana beliau bukanlah pesakit berisiko tinggi.

"Semasa saya berkhidmat dalam pasukan polis, kami pernah menyampaikan satu mesej kepada para penduduk. Berisiko rendah tidak bermakna tiada risiko. Jadi anda perlu menjaga kesihatan dan gaya hidup anda.

"Tetapi, saya gembira kini saya dapat kembali bekerja dan mampu melakukan banyak perkara seperti dulu. Kecuali, kini saya lebih serius lagi tentang senaman," kata Encik Heng.

Menteri Kewangan itu juga ditanya jika beliau sudah siap untuk memimpin pasukan pemimpin generasi ke-4 Singapura.

Beliau menjawab bahawa pasukan generasi keempat kini bekerjasama dengan baik sekali.

"Ia sebuah pasukan pemimpin yang berfikiran serius, yang cuba melakukan yang terbaik dan saya seronok dapat bekerja dengan semua orang dalam pasukan ini. Dan saya harus katakan ia bukan sahaja tentang pemimpin generasi ke-4, tetapi tentang seluruh kabinet ini. Perdana Menteri menunjukkan contoh yang baik dan ia pasukan yang sangat sepadu.

"Kami membincangkan pelbagai isu setiap minggu yang meliputi pelbagai bidang. Daripada isu keselamatan, penjagaan sosial, penjagaan kesihatan, pendidikan dan ekonomi. Jadi ia sebuah pasukan yang mempunyai pemikiran yang serius," kongsi Encik Heng.

Beliau - yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi menjadi Perdana Menteri, sebaris dengan Encik Chan Chun Sing dan Encik Ong Ye Kung - bagaimanapun menambah, ada satu perkara yang perlu ditangani dalam tahun-tahun mendatang. Iaitu tentang keadaan yang semakin kompleks yang dihadapi Singapura.

Menurut Encik Heng, ini termasuklah keadaan yang semakin rumit untuk memerintah Singapura.

Juga akan semakin sukar untuk mencapai persetujuan tentang apa yang penting bagi rakyat sebagai sebuah negara. Faktor-faktor luar juga akan kian menjadi rumit, ujar beliau.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan