Images
  • heng swee kiat
    Menteri Kewangan Heng Swee Keat. (Gambar: TODAY)

Heng Swee Keat teroka bidang kerjasama baru di Suzhou, Beijing

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan melakukan lawatan ke bandar Suzhou dan Beijing dari 22 November hingga 26 November untuk menghadiri satu siri mesyuarat dan program pendampingan.

Demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya hari ini (22 Nov).

Encik Heng akan berada di Suzhou untuk mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerjasama Singapura-Jiangsu (SJCC) bersama Gabenor Jiangsu Wu Zhenglong pada 23 November.

Mesyuarat tersebut, yang dianjurkan bersama oleh International Enterprise Singapore (IE), akan menyemak dan menilai kemajuan inisiatif kerjasama tahun lalu dan akan meneroka bidang-bidang kerjasama baru untuk tahun depan, menurut MOF.

Lebih 65 wakil peniagaan daripada lebih 35 syarikat Singapura akan menghadiri mesyuarat SJCC dengan Encik Heng.

Beliau juga akan melancarkan BLOCK 71 Suzhou NUS Enterprise, iaitu sebuah hab bagi syarikat-syarikat pemula yang berpangkalan di Taman Perindustrian Suzhou. Ini merupakan pembinaan BLOCK71 yang pertama di China, tambah MOF.

Selepas Suzhou, Encik Heng akan ke Beijing untuk menghadiri Sidang Puncak Teknologi dan Inovasi IE Singapore-CapitaLand pada 24 November, di mana beliau akan melancarkan Perikatan Inovasi Global (Beijing).

Persidangan tersebut bermatlamat untuk menyediakan wadah bagi syarikat-syarikat pemula untuk memperolehi aplikasi praktikal dalam senario sebenar, menurut MOF.

Semasa di Beijing, Encik Heng juga akan mengunjungi Universiti Tsinghua di mana beliau akan menyampaikan ucapan yang menggariskan pandangan dan pendapat beliau mengenai hubungan Singapura dan China. Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan para pegawai kanan China dan mengunjungi platform pengangkutan mudah alih Didi Chuxing.

Encik Heng akan diiringi oleh Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara Koh Poh Koon dan juga pegawai daripada beberapa kementerian dan agensi pemerintah.  

- CNA/FA/sm

Top