Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Heng Swee Keat, Chan Chun Sing 'gandingan hebat': PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyuarakan sokongannya terhadap keputusan menteri-menteri lebih muda dalam Kabinet, yang bersepakat menentukan Menteri Kewangan Heng Swee Keat menjadi ketua mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Nov 2018 07:20PM Dikemas Kini : 23 Nov 2018 10:29PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyuarakan sokongannya terhadap keputusan menteri-menteri lebih muda dalam Kabinet, yang bersepakat menentukan Menteri Kewangan Heng Swee Keat menjadi ketua mereka.

PM Lee turut berkongsi bahawa Encik Heng sendiri yang mempelawa Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing supaya menjadi timbalannya.

"Saya menyokong keputusan pasukan lebih muda ini, saya gembira dengan hasilnya," katanya menerusi catatan Facebooknya hari ini (23 Nov).

"Saya sudah mengenali dan bekerja dengan Swee Keat dan Chun Sing selama bertahun-tahun, dan melihat sendiri bagaimana mereka menjadi bertambah baik dalam menggalas pelbagai tanggungjawab. Mereka mempunyai kekuatan yang saling melengkapi dan satu gandingan yang hebat."

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang baru dilantik mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini (23 Nov) dan melantik para pemegang jawatan dalam jawatankuasa itu, tulis PM Lee menerusi catatan di laman Facebook PAP.

Encik Heng dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama PAP dan Encik Chan kini Penolong Setiausaha Agung Kedua, umum parti hari ini (23 Nov).

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pula pengerusi baru PAP manakala Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli menjadi Naib Pengerusi. PM Lee kekal sebagai Setiausaha Agung PAP.

"CEC baru ini akan memimpin parti dalam Pilihan Raya Umum akan datang, yang harus diadakan sebelum April 2021," tulis PM Lee.

Beliau berkata, menteri-menteri lebih muda dan pemegang jawatan politik mengadakan beberapa mesyuarat kebelakangan bulan ini bagi membincangkan siapa yang harus memimpin mereka.

(Gambar: PAP)

Para Anggota Parlimen PAP turut menyuarakan sokongan terhadap pemilihan Encik Heng sebagai pemimpin mereka seterusnya dan Encik Chan sebagai timbalannya, kata PM Lee.

"Saya yakin mereka akan terus mendewasa dalam aspek berpengalaman dan sentuhan mereka, serta mampu mendapat sokongan serta kepercayaan rakyat Singapura," tulisnya.

PM Lee menambah bahawa perubahan Kabinet akan diumumkan apabila tiba waktunya.

Dalam pada itu, para pemegang jawatan politik yang lebih muda juga mengeluarkan satu kenyataan hari ini (23 Nov) bagi menyatakan bahawa mereka memilih Encik Heng untuk memimpin pasukan itu selepas membuat pertimbangan teliti.

"Kami sokong Swee Keat dan Chun Sing sebagai ketua kami," menurut mereka.

"Kami akan terus bekerja secara kohesif sebagai satu pasukan, dan menjalin kerjasama kukuh dengan semua rakyat Singapura. Kami sehati dalam matlamat kami untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura sebaik mungkin."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan